Keluasan tanah rizab  Melayu selepas merdeka 60 tahun lalu ialah 12.9 juta hektar.  Tetapi statistik pada 2009  hanya tinggal lebih kurang 4 juta hektar.  Mengikut Perlembagaan,  tanah rizab Melayu yang diambil untuk pembangunan misalnya mesti diganti.  Statistik di atas menunjukkan tanah rizab Melayu yang diambil tidak diganti.  Siapa yang merembat tanah yang diberikan oleh Raja-Raja Melayu kepada orang Melayu?  - ADMIN

 

Di mana letak tanah simpanan Melayu?

Oleh: Ku Amirul Faiz Ku Seman

(Utusan Malaysia 14 Ogos 2017)

SALAH satu resolusi yang diputuskan dalam Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat yang diadakan baru-baru ini adalah mengenai isu tanah rizab Melayu. Isu ini menjadi ­tumpuan memandangkan terdapatnya tindakan tidak bertanggungjawab yang gagal menguruskan tanah rizab Melayu dengan baik seperti yang dimandatkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tanah simpanan Melayu mempunyai sejarah panjang yang mendasari pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Memetik salah satu ungkapan Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang berbunyi: “Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kami isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.”

Kini, setelah 60 tahun merdeka masih ada pihak yang gagal menghayati pentingnya tanah simpanan Melayu. Malah isu hak pegangan tanah juga kadangkala dikaitkan dengan isu perkauman yang sempit. Maka, seeloknya rujukan dibuat kepada Perkara 89 dan 90 Perlembagaan Persekutuan yang memperjelaskan kedudukan tanah simpanan Melayu, tanah adat di Negeri Sembilan dan Melaka serta tanah Pegangan Melayu di Terengganu.

Perkara ini secara jelas memperuntukkan semua hal berkaitan tatacara pengurusan, pembangunan dan pengelasan tanah simpanan Melayu.

Dalam menangani hujah nakal yang mempersoalkan kewujudan tanah simpanan ini, rujukan boleh didorong dengan pemahaman tanah rizab seperti yang dinyatakan di Perkara 89(1) Perlembagaan Persekutuan. Tanpa memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi pun, ia secara tersurat mengesahkan bahawa telah wujud tanah-tanah rizab sebelum merdeka dan status tanah-tanah rizab ini hendaklah kekal selepas kemerdekaan. Perkara 89(1) ini secara tidak langsung juga menyatakan wujudnya undang-undang di negeri-negeri Me­layu yang mengawal selia urusan ­tanah simpanan Melayu ini.

Secara ringkas undang-undang tanah simpanan Melayu mula diperkenalkan pada 1 Januari 1914 apabila Enakmen Rizab Melayu 1913 dikuatkuasakan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Enakmen ini bagaimanapun dimansuhkan dan diganti pula dengan Enakmen Rizab Melayu 1933 yang seterusnya disemak semula pada 1935 dan diterbitkan semula sebagai Enakmen Rizab Melayu (Negeri Melayu Bersekutu Bab 142). Bagi negeri-negeri seperti Kedah, Perlis, Terengganu, Johor dan Kelantan juga terdapat enakmen yang mengawal selia rizab Melayu.

Advertisement

Menurut Perkara 89(6) Perlembagaan Persekutuan, tanah simpanan Melayu adalah tanah yang disimpan untuk diberi hakmilik kepada orang Melayu atau kepada anak negeri bagi negeri tempat terletaknya tanah itu; dan `orang Melayu’ termasuklah mana-mana orang yang, di bawah undang-undang negeri tempat dia bermastautin, dikira sebagai orang Melayu bagi maksud pe­rizaban tanah.

Bagi mengidentifikasikan Melayu dalam konteks ini, kita harus merujuk kepada enakmen-enakmen negeri kerana takrifan sebagai ‘Melayu’ adalah berbeza mengikut negeri-negeri.

Misalnya, menurut Enakmen Perlis, Melayu itu ditakrifkan sebagai seorang daripada bangsa Malaya atau orang keturunan Arab yang lazimnya berbahasa Melayu dan menganut agama Islam manakala bagi Enakmen 1913, Melayu adalah bangsa Malaya yang bertutur bahasa Melayu atau mana-mana bahasa Malaya dan menganut agama Islam.

Hakim Abdul Malik Ishak dalam kes Muthammah a/p Govindran v Masri Mohamed & Anor ada mengulas mengenai tanah rizab Melayu ini dengan menya­takan bahawa Enakmen Rizab Melayu bertujuan bagi negeri-negeri Melayu melindungi orang Melayu berhubung de­ngan kepentingan mereka di tanah simpanan Melayu.

Tambah beliau, sebarang transaksi untuk menjual, memperoleh atau percubaan untuk menjual atau memperoleh tanah simpanan Melayu yang bertentangan dengan enakmen-enakmen adalah tidak terpakai dan terbatal. Kes ini membuktikan tanah simpanan Melayu bukanlah sesuatu perkara baharu dan adanya undang-undang mengenainya sejak sebelum merdeka.

Justeru ini adalah satu hujah yang pramatang sekiranya terdapat pihak yang menyatakan amalan tanah simpanan Me­layu ini bersifat perkauman dan tidak relevan. Fakta sejarah serta undang-undang telah membuktikan kewujudan tanah simpanan Melayu dan ia dilindungi oleh undang-undang sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi.

Maka adalah menjadi tanggungjawab bagi kerajaan yang memerintah untuk melaksanakan wasiat Raja-Raja Melayu ini dan memelihara tanah rizab ­Melayu ini seperti mana yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *