Buku mencerdikkan, Whatsapp melekakan

Saya percaya bukan saya seorang sahaja yang sedih melihat sesetengah daripada kita sekali lagi terjerumus dalam arus modenisasi dan tenggelam kerana tidak bijak memanfaatkannya. Kemodenan yang datang sewajarnya memberi manfaat, tetapi disebabkan tersihir dan tidak berfikir, orang lain mengaut untung, orang Melayu hanya makan “puntung”.

Amat menyedihkan apabila kita menoleh di kiri dan di kanan kita, anak-anak muda, orang dewasa malah orang tua hanya menjadi pembaca WhatsApp Group, pembaca Facebook dan pelayar Instagram. Banyak yang tidak lagi membaca buku kerana masa telah dialihkan kepada media sosial.

Pelantar teknologi itu mempunyai kebaikan tersendiri. WhatsApp ada baiknya untuk tujuan komunikasi. Tetapi yang buruknya sesetengah orang Melayu tidak tidak kira anak muda atau yang dewasa menjadikan tabiat membaca WhatsApp sebagai membaca buku.

Maka terkekehlah mereka dengan lawak-lawak murahan atau video lucu dan lucah. Tidak setakat itu disebarkan pula kepada grup lain dan merebak menjadi tular. Yang ditular itu hanya yang menunjukkan kerendahan pemikiran orang Melayu.

Percayalah orang Melayu akan terus di bawah tempurung kalau terus menjadi pembaca WhatsApp Group, Facebook dan Instagram. Barat menggunakan pekakas ini untuk menyebarkan ideologi, memasarkan barangan dan mengeksport nilai-niai yang ditolak di sana ke negara kita. Untuk keluar dari tempurung kenalah membaca buku.

Pada masa ini buku bukan barang mewah. Buku ada di mana-mana. Banyak pula kedai buku yang membentangkan ilmu yang seluas langit dan sedalam lautan kalau ditelaah, dikaji dan difikirkan maksudnya. Buku adalah senjata untuk melawan musuh yang mahu memperbodohkan kita.

Ketika tentera Tartar yang dipimpin oleh Kazan menyerang Damsyek pada tahun 699 Hijrah, antara tindakan yang dilakukan selain membunuh orang Islam, mencabul wanita ialah memusnahkan perpustakaan. Mereka memusnah buku. Orang yang membaca buku sukar untuk ditawan rohani dan jasmaninya.

Perpustakaan yang menyimpan banyak buku agama merangkumi pelbagai bidang kehidupan mengundang bahaya kepada tentera Tartar dan Kazan. Buku-buku yang tersimpan di perpustakaan itu bukan sahaja boleh membakar semangat orang Islam mempertahankan agama dan negara, malah menjadikan orang Islam cerdik dan pandai.

Begitu juga halnya apabila pemimpin komunis Khmer Rough di Kemboja, Pol Pot mendapat kuasa, perkara pertama yang dilakukan ialah membunuh cerdik pandai; pensyarah dan tokoh agama. Kemudian memusnahkan perpustakaan.

Pot Pot tidak mahu rakyat Kemboja menjadi cerdik. Kerana orang yang cerdik dan luas pemikirannya tahu keburukan pemimpinnya. Maka dia memuskankan sumber yang memberi ilmu kepada rakyat iaitu buku. Buku itu kuasa. Buku juga menjadi jendela fikir kepada manusia untuk melihat dunia di luar kawasan “kepala lutut” nya.

Analogi kawasan “kepala lutut” menggambarkan satu lingkungan atau lingkaran yang sangat sempit yang kita lihat apabila menunduk kepala. Begitulah juga “dunia” atau “pandangan dunia” orang yang tidak bersahabat dengan buku.

Tentulah sangat merugikan kerana pada zaman ini buku boleh didapati dengan mudah masih banyak yang menjauhkan diri dari buku. Orang bijak pandai ada berpesan, untuk mengenal seseorang lihatlah buku apa yang dibaca dan siapa yang menjadi kawan-kawannya.

Maknanya buku boleh dijadikan cermin peribadi kepada seseorang. Sama seperti kawan-kawan, buku yang kita baca membolehkan orang mengetahui siapakah kita sebenarnya. Seorang ahli falsafah dan political theorist zaman Rom 806 Masihi, Marcus Tullius Cicero pernah berkata, “Sebuah rumah yang tidak ada buku ibarat tubuh yang tidak ada jiwa.”

Jane Austen, pengarang hebat abad ke 18, pula ada berkata, “Seseorang, tidak kira lelaki atau wanita yang tidak suka membaca novel yang bagus, secara tidak langsung boleh dianggap tidak cerdik.”

Pada zaman ini cabarannya bukan sahaja membaca buku tetapi membaca buku yang paling baru, yakni seboleh-boleh mahu membaca buku-buku yang orang belum lagi membacanya.

Seperti kata pengarang kontemporari Jepun, Haruki Murakami, “Kalau anda hanya membaca buku yang orang lain juga sudah membaca, anda hanya berfikir sama dengan orang lain.” Ini diperkukuhkan dengan pesanan Frank Lebowitz supaya, “Berfikir sebelum berkata-kata dan membaca sebelum berfikir.”

Oleh kerana itu kemampuan ulama tersohor, Ibnu Taimiyyah yang sepanjang hidupnya 63 tahun telah menulis lebih 500 kitab dalam pelbagai disiplin ilmu adalah suatu yang sangat menyumbang kepada pembangunan pemikiran orang Islam.

Menulis 500 kitab satu hal yang sangat luar biasa tetapi yang paling luar biasa sebahagian besar kitab-kitabnya ditulis semasa dipenjarakan oleh pemerintah-pemerintah Islam pada zamannya sekitar 650 Hijrah. Malah ada diceritakan Ibnu Taimiyyah memilih untuk masuk penjara apabila pemerintah memberi kata dua, berhenti berdakwah atau masuk penjara.

Buku (kitab) yang ditinggalkan terus menjadi rujukan hingga kini. Begitulah tingginya nilai ilmu yang tersimpan dalam buku. Daripada generasi kepada generasi ilmu itu mengalir sekiranya khalayak mempunyai kesungguhan menggali ilmu dengan membaca.

PENGUMUMAN:

Pasar Buku Bangi di ruang letak kereta Perpustakaan Awam Bangi, Selangor akan diadakan secara regular pada 12 Ogos, 26 Ogos, 9 September, 23 September, 14 Oktober, 28 Oktober, 11 November, 25 November, 9 Disember dan 23 Disember 2017. Bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.

 

LGBT, peluk anjing dan apa lagi…

Cara hidup Lesbian Gay Bisexual & Transgender (LGBT), peluk anjing, wanita menjadi imam kepada lelaki, anak tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapa biologi antara ciri-ciri negara maju. Menolak perkara-perkara ini boleh dianggap membawa kepada kekolotan dan paling dahsyat melanggar hak asasi manusia.

Para sekularis dan liberalis muncul dengan berani di sana-sini dan mereka memakai topeng Islam. Mereka mendakwa menganuti Islam yang sesuai dengan keperluan zaman dan ajaran Islam yang kita terima sejak zaman kanak-aknak dulu sudah ketinggalan zaman.

Institusi agama dituduh memundurkan pemikiran umat Islam apabila menentang LGBT, anak tidak sah taraf dibinkan nama baba biologi, memeluk anjing dan beberapa lagi. Untuk menjadi maju mengikut sekularis dan liberalis ini ialah menerima gaya hidup yang diperjuangkan. Dengan menggunakan topeng Islam, mereka meletakkan diri sebagai orang Islam. Ini lebih bahaya daripada musuh Islam yang tidak memakai “baju Islam.”

Hari ini siapa sahaja yang menentang gaya hidup baru yang sedang diperluaskan akan dianggap sebagai kolot dan   tidak berperikemanusiaan. Maka tidak hairanlah baru-baru ini seorang wanita bertudung dengan selamba memeluk dan mencium anjing.

Mereka cuba mengheret institusi agama untuk terperangkap dengan polemik di mana akhirnya mereka yang meraih kemenangan moral. Walaupun semua orang Islam percaya tidak ada keperluan untuk memeluk dan mencium anjing tetapi para sekularis dan liberals menganggap ini satu “keperluan”.

Dalam pada itu ada juga orang Islam yang dipergunakan oleh agen-agen anti Islam dengan mempotretkan   sebagai sarjana Islam dan diundang mewakili negara dalam acara-acara Islam sekular di peringkat antarabangsa. Mereka inilah yang memperjuangkan gaya hidup LGBT, peluk anjing, wanita mengimamkan lelaki dan anak tidak sah taraf dibinkan bapa biologi.

Maka sedikit sebanyak tertanam dalam pemikiran orang Islam bahawa pegang atau tidur dengan anjing adalah Islam yang “maju” dan “moden.” Jadi, kita orang Islam yang “kolot” ini tidak perlu memberikan reaksi yang berlebihan. Sebaliknya kita alu-alukan supaya mereka terus maju bersama-sama anjing dan LGBT seperti yang mereka mahu. Tetapi ini bukanlah “menganjingkan” . Ini ikhlas supaya lebih terserlah wajah sebenar mereka.

Tidak perlu menggunakan hujah agama kepada puak-puak ini. Kita pun tidak tahu benarkah yang memegang anjing atau pejuang LGBT itu Islam atau tidak sekadar pelakon. “Baju” Islam mudah dipakai oleh sesiapa dan di mana-mana. Mungkin lepas ini ada pula yang pakai serban atau jubah yang peluk babi. Tidak mustahil. Kita jangan teruja mempercayai itu adalah orang Islam.

Seandainya benarlah mereka itu Islam dan kalau tidak memegang atau tidur dengan anjing mereka akan sakit atau gila, biarlah mereka dengan keanjingan itu. Ini kerana orang waras yang gila lebih bahaya daripada anjing gila. Kita kena mengasingkan diri dengan kegilaan dan keanjingan mereka.

Kita tidak perlu menghentam atau menasihat. Mereka itu orang yang hebat-hebat. Ada yang bertaraf sarjana atau “ulama” di sisi sekularnya. Tidak perlu tunjuk minat untuk ambil peduli tentang mereka.

Cuma saya minta kepada golongan Islam “maju” itu janganlah memperagakan di media sosial yang seolah-olah mengajak orang Islam yang “kolot” mengikut cara hidup mereka. Kalau mereka suka makan bangkai, jangan anggap semua orang suka bangkai. Kalau mereka tidak cukup anjing, saya boleh minta kawan saya tangkap selori anjing liar untuk diberikan secara percuma.

Buat apalah hendak dihebah di media sosial? Pegang anjing atau tidur dengan anjing bukanlah hebat sangat pun. Lainlah kalau tidur dengan buaya. Patutlah dihebah. Itupun kalau bukan buaya darat. Hendak kahwin lelaki dengan lelaki, kahwinlah.

Kalau suatu hari nanti mereka ini digigit anjing, janganlah panggil orang media membuat liputan. Anjing gigit manusia tidak ada “news value”.   Kalau hendak masuk surat khabar atau televisyen mereka kenalah menggigit anjing. Itu baru ada “news value”. Begitu juga kalau lelaki kahwin lelaki jangan promosikan di media, itukan sudah “biasa”.

Islam penawar penyakit rasuah

Rasuah kini muncul sebagai penyakit sosial yang sangat parah dalam masyarakat kita. Disebabkan terlalu parah maka rakyat pun semakin hilang peka terhadap rasuah. Sudah tidak mengejutkan apabila tangkapan demi tangkapan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menerima berita pengawai kanan atau pemimpin kanan diheret kerana rasuah sama dengan melihat anak kucing mati dilanggar di tepi jalan. Tidak ada kejutan kerana sudah tidak dianggap perkara besar disebabkan masyarakat sudah tepu dengan cerita-cerita rasuah. Ini menunjukkan peringkat yang sangat bahaya dan parah.

Mengikut  Transparency International (TI), Indeks Persepsi Rasuah negara ini tahun lalu turun dari tangga ke 54 kepada tangga 55 dari 176. Memanglah kalau dilihat kedudukan ada negara yang lebih teruk lagi indeks rasuahnya. Di peringkat Asean, Malaysia jauh di belakang Singapura di tangga ketujuh. Kena tanya juga kenapa di belakang Singapura yang bukan negara Islam?

Mungkin ada yang berkata Singapura kecil, mudah dikawal. Tetapi banyak negara bukan Islam lain yang besar berbanding Malaysia, Indeks Persepsi Rasuah mereka jauh lebih tinggi berbanding kita.

Ada beberapa hujah mengapa Malaysia tidak sepatutnya berada di tangga 55 daripada 176. Antaranya Malaysia sebuah negara Islam di mana Islam menjadi agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan. Bukan agama rasmi yang menjadi “agama acara” tetapi agama yang dipraktikkan oleh sebahagian besar rakyat.

Islam dengan tegas mengharamkan amalan rasuah, waima dinamai apa sekalipun. Tumbuk rusuh, duit pelicin, duit bawah meja atau wang politik. Semua yang dilakukan untuk membeli sesuatu hasrat secara di luar aturan atau syarat adalah rasuah namanya. Agama-agama lain juga melarang keras penganutnya mengamalkan rasuah.

Di mana silapnya Islam di negara kita apabila sebahagian yang dituduh, didakwa dan didapati bersalah pada skala yang sangat besar adalah orang Islam? Adakah ini menunjukkan Islam sudah tidak sesuai dengan zaman yang sangat materialistik ini? Tentu sekali tidak.

Kita percaya setiap orang Islam termasuk yang berada di puncak kuasa dalam perkhidmatan awam atau politik diasuh sejak kecil lagi dengan asas-asas Islam. Antaranya diterangkan tentang amalan atau tindakan yang dilarang oleh agama termasuk rasuah. Kenapa ajaran yang diterima pada usia kanak-kanak dan remaja itu luntur dengan mudah apabila melihat duit di depan mata? Salah asuhan atau salah orangnya?

Ironinya juga di negara Islam ini memerlukan sebuah suruhanjaya mengenai integriti atau amanah. Tidak cukupkah Islam yang mengajar umatnya supaya beramanah? Memang ada penganut agama lain yang mengamalkan rasuah tetapi bilangan orang Islam sangat ketara.

Maknanya ajaran Islam pun diketepikan, inikan pula suruhanjaya untuk meningkatkan amanah. Padahal di negara bukan Islam sifat amanah berada di tangga teratas. Dan dalam Islam amanah ditekankan sebagai satu sifat terpuji.

Di negara-negara luar misalnya Jepun, apabila seseorang penguasa terperangkap dengan rasuah, dia dengan rela hati bukan sahaja meletakkan semua jawatan supaya organisasi tidak turut terpalit malah sanggup bunuh diri kerana malu yang amat sangat. Itu baru dituduh yang belum pasti lagi salahnya.

Merasa malu kepada diri sendiri adalah satu rasa yang datang dari dalam jiwa seseorang. Kerana itu sekiranya ada tentangan dari dalam jiwa, rasuah tidak akan berjaya menguasai kita. Islam telah jauh ke depan dengan menanamkan penentangan dalam jiwa umatnya melalui ajaran-ajaran yang disampai seawal usia kanak-kanak.

Baru-baru ini SPRM melancarkan kempen Ikrar Bebas Rasuah, tumpuan peringkat awal diberikan kepada kakitangan awam dan ketua-ketua agensi serta jabatan kerajaan. Tanpa memperkecilkan usaha SPRM membanteras rasuah, tetapi kempen sebegini tidak lebih kepada program kegiatan SPRM sahaja. Kalau kempen ini memberikan kesan yang besar, syukurlah.

Tetapi saya berkeyakinan tindakan yang bersifat luaran atau aku janji sahaja tidak akan membuahkan hasil yang diharapkan. Lagipun semua kakitangan awam sudah menandatangani aku janji yang dalamnya secara tidak langsung termasuk melarang amalan rasuah. Ketua-ketua jabatan pun serupa juga, apabila menjawat jawatan itu mereka sudah memberi aku janji.

Pemimpin politik ada aku janji juga semasa dilantik, tidak kiralah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan Menteri. Sebelum itu mereka membuat aku janji dengan rakyat yang memilihnya. Bagaimanapun ternyata ikrar dan tanda tangan adalah reaksi luaran. Tidak semua yang menandatangani aku janji semasa dilantik ke sesuatu jawatan turut berjanji dengan jiwanya.

Oleh yang demikian ada baiknya SPRM menggunakan pendekatan agama dalam agenda membanteras rasuah. Pembanterasan perlu dimulakan dari dalam jiwa, yakni menanamkan atau mengembalikan kehidupan beragama (Islam) kerana dalam Islam sudah dilatih untuk menolak amalan rasuah. SPRM wajar berkempen supaya umat Islam kembali kepada agamanya kerana dengan cara itu mereka dengan sendiri terhindar dari amalan rasuah.

Biarlah orang Islam menolak rasuah seperti menolak dengan kerasnya ayam yang tidak disembelih. Ini salah satu ajaran Islam supaya memakan haiwan yang disembelih cara Islam. Malah orang yang terima rasuah juga akan mengamuk kalau dihidangkan dengan ayam yang tidak disembelih. Penolakan terhadap ayam yang menjadi “bangkai” itu datang dari dalam jiwa, bukan luaran.

Saya harap SPRM tidak jemu memerangi rasuah dengan syarat pendekatannya perlu diubah kepada menerapkan Islam dalam diri individu. SPRM boleh menggunakan pemimpin agama lain untuk tujuan yang sama dan dijalankan secara berterusan, bukan bermusim.

Pada masa sama kita sangat faham tentang persepsi “jerung terlepas, bilis yang kena pukat” terhadap SPRM. Mungkin kuasa SPRM ada had-had tertentu. Tetapi tidak mengapa kerana kalau SPRM berjaya membanteras rasuah dengan cara meningkatkan kesedaran beragama dan kembali kepada Islam, pihak yang kebal daripada SPRM akan menjadi kera sumbang. Kalau di hutan, kera sumbang ini lama-lama akan mati. Tetapi bukan kerana tidak makan. Kera sumbang mati kerana hidup tertekan dipulaukan.