Kebakaran tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur yang mengorbankan 23 nyawa termasuk 21 pelajar baru-baru ini boleh dimanfaatkan bagi melihat secara holistik sistem pendidikan negara ini. Malah boleh dijadikan anjakan untuk merangka pelan pendidikan negara yang seimbang antara keperluan akademik dan   pendidikan ilmu dari Quran.

Memang benar kerajaan mewujudkan sekolah rendah agama dan sekolah menengah agama.   Tetapi hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah pendidikan Islam belum berada pada arus perdana pendidikan negara. Ini kerana ada dua aliran pendidikan; sekolah kebangsaan dan sekolah agama.

Sekolah integrasi yang memberi penekanan sama rata akademik dan pengajian Islam juga bukan arus perdana. Yang menjadi arus perdana adalah sekolah rendah dan menengah yang mengutamakan akademik,  pengajian Islam satu subjek yang kecil.

Pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

Menurut statistik,   terdapat lebih kurang 1,000 pusat tahfiz di seluruh negara. Daripada jumlah itu,  618 daripadanya berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Maaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Negeri.   Selebihnya tidak didaftarkan.

Kenapa sampai 1,000 pusat tahfiz?   Angka ini adalah besar dan yang kelihatan di sini sambutan terhadap pusat tahfiz adalah menggalakan. Kenapa? Kalau hendak dikatakan pusat tahfiz tidak mengenakan yuran, sekolah kebangsaan juga tidak mengenakan yuran.

Daripada statistik ini kita tidak boleh menolak bahawa telah wujud satu kesedaran dalam kalangan ibu bapa tentang peri pentingnya membentuk generasi yang berpandukan kepada Quran dan sunah. Dalam berdepan dengan cabaran semasa, Quran dan sunah dianggap boleh dijadikan benteng kebobrokan yang dibawa dari luar.

Kita tidak perlu lagi berhujah tentang aspek keselamatan kerana sudah banyak pihak bercakap mengenainya. Hal keselamatan adalah dalam bidang tugas penguatkuasa misalnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Begitu juga dengan hujah-hujah yang condong kepada stigma pusat tahfiz. Simpan dulu. Cukuplah sesetengah daripada kita berprasangka buruk kepada pendidikan Islam tetapi tidak mengusulkan cadangan yang boleh dimanfaatkan. Imej pusat tahfiz diburukkan oleh Islam sendiri, bukannya daripada mereka yang bukan Islam.

Advertisement

Andaian-andaian liar itu tidak membuka ruang untuk kita melihat suatu yang lebih utama misalnya kesungguhan atau iltizam keluarga untuk memberikan pendidikan berteras Quran kepada anak-anak. Benarlah, kalau sekadar boleh hafal Quran macammana hendak menjadi arkitek atau jurutera mendirikan bangunan.

Tetapi alangkah baiknya kalau boleh menjadi arkitek atau jurutera mendirikan bangunan yang pada masa sama boleh hafal Quran yakni mengutip ilmu dari Quran. Ini samalah dengan lepasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang mempunyai jati diri yang kuat dan akademik.

Tetapi pengusaha tahfiz tidak mampu melakukan ini. Hanya pembuat dasar sahaja yang boleh arusperdanakan pendidikan Islam untuk melahirkan jurutera, arkitek, peguam, pakar perubatan atau saintis yang sekaligus menguasai bidang akademik dan ilmu Quran secara seimbang.

Wujudnya lebih 1,000 pusat tahfiz perlu dilihat sebagai suatu yang positif. Ini menggambarkan ada kesedaran melahirkan generasi masa depan kepada nilai-nilai yang digariskan oleh Quran dan sunah. Sikap positif dalam kalangan masyarakat ini harus dimanfaatkan, bukan dipatahkan dengan kecaman, sindiran dan penghinaan.

Inilah masanya untuk kerajaan merangka pelan jangka panjang terhadap pusat tahfiz dalam sistem pendidikan negara. Kalau ini mampu dilakukan, kita tidak lagi memerlukan pusat tahfiz yang sesetengahnya tidak diuruskan dengan baik. Memang sudah ada sekolah berkonsep integrasi, agama dan akademik. Tetapi jumlahnya kecil berbanding konsep pendidikan biasa di sekolah rendah dan menengah.

Tidak ada salahnya kalau meminjam konsep SJKC dengan memberi penekanan sama rata terhadap pendidikan Islam mengikut Quran dengan akademik. Kenapa kita tidak kata sistem pendidikan di SJKC jumud kerana belajar bahasa dan budaya Cina?

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

3 thoughts on “Cukup-cukuplah hina pusat tahfiz”
  1. Kerajaan sudah ada Darul Quran, di Kuala Kubu Baru yang layak dijadikan modul pusat pengajian cemerlang borkonsepkan tahfiz/ sekolah biasa.
    Memasuki pusat pengajian kelolaan Jakim ini perlu lulus ujian penilaian yang agak sukar demi memilih calon terbaik kerana tempat terhad.
    Pengajian begini masih bersifat pilihan kerana tidak semua ibubapa mahu anak mereka dididik kuat agama.
    Bagaimanapun, permintaan untuk hantar anak ke tahfiz kian meningkat setelah terbukti bahawa pelajar yang hafal Quran juga berjaya dalam pengajian akademik.
    Dikatakan bahawa menghafal Quran lebih mencerdaskan otak dan menguatkan daya ingatan.

  2. kesian budak tahfiz ramai jadi penagih dadah dan check kat pengasih. Dan siapa yang nak ambil budak tahfiz bekerja. Lepas itu yang ujudkan sekolah tahfiz , pemiliknya duduk rumah banglow , duit dapat ihsan orang ramai. Memandangkan ramai penderma,kemungkinan besar banyaklah sekolah tahfiz akan dibakar oleh pemilik untuk mendapat derma.Lagipun banyak sangat sekolah tahfiz terbakar sama ada di sengajakan atau kemurkaan allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *