Kassim Ahmad dan skeptisisme agama

Tokoh akademik dan aktivis politik kontroversial, Dr. Kassim Ahmad telah kembali ke rahmatullah pada pagi ini (10 Oktober) di Hospital Kulim, Kedah pada usia 84 tahun.   Dua bulan lalu Kassim telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Syariah di atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menyeleweng dari ajaran Islam dalam satu seminar pada 2014.

Kassim dilahirkan pada 9 September 1933 di Kedah ini pernah menjadi Pengerusi Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) selama 18 tahun sebelum menyertai UMNO pada 1986. Tindakannya menyertai UMNO telah mendapat tentangan keras daripada Sasterawan Negara Usman Awang.

Kontroversi awal yang melanda Kassim ialah apabila allahyarham mengangkat Hang Jebat  dalam tesisnya sebagai wira. Hang Tuah yang sudah sebati dengan pemikiran orang Melayu diketepikan dan ini satu ketegesan yang luar biasa. Tetapi saya bersetuju dengan Kassim.

Saya percaya Kassim melihat Hang Tuah dan Hang Jebat dalam konteks yang pelbagai. Tidak semestinya dalam konteks Hikayat Hang Tuah atau Sejarah Melayu sahaja. Misalnya hari ini terlalu banyak “Hang Tuah” yang setia secara bisu, buta dan tuli. Sudah tentulah “Hang Tuah” begini bukan wira yang kita mahukan.

Saya tiada kemampuan untuk mengulas tentang pemikiran dan pandagan Kassim dalam isu agama. Cuma saya melihat Kassim adalah antara yang tergolong   dalam fenomena yang disebut sebagai skeptisisme agama (religious scepticism). Fenomena ini telah lama wujud dan Kassim hanyalah sebahagian daripada mereka yang skeptikal terhadap Islam.

Dalam definisi longgarnya skeptisisme agama ialah persepsi sinis terhadap agama, bukan sahaja Islam malah terhadap agama-agama lain juga. Mereka ini juga ragu-ragu terhadap agama (dalam konteks negara ini Islam ) kerana realiti yang berlaku tidak seperti yang dibaca, dipelajari ataupun diasuh di sekolah dan sebagainya mengenai Islam.

Banyak yang bertentangan, lalu rakyat jadi keliru dan akhirnya skeptikal terhadap Islam. Mereka telah hilang keyakinan kepada golongan yang digelar ulama, institusi kehakiman Islam dan pengemudi birokrat agama yang tidak bertindak seperti termaktub dalam Islam.

Misalnya wujud pilih kasih dalam mengambil tindakan, tidak memperlihat ketegasan untuk turut mengemudi negara dengan menegur sesetengah pemimpin Islam yang berkelakuan buruk. Sebaliknya sesetengah birokrat agama membiarkan itu dijadikan bahan jual beli di pasar politik.

Di Barat, skeptisisme agama adalah satu cabang kajian akademik oleh ahli sosiologi dan teologi mengenai sikap sinis dan ragu-ragu terhadap agama Kristian. Tetapi tidak semestinya yang skeptikal terhadap agama menolak kewujudan Tuhan dan antiagama.

Ini satu gerakan massa tetapi individu bukanlah puncanya. Skeptisisme agama bukan satu cetusan, sebaliknya satu tindak balas. Maknanya, Kassim bukan mencetuskan tetapi memberikan tindak balas terhadap sesuatu yang berlaku dalam lingkungan agama, sistem dan institusi agama.

Isunya kenapa wujud golongan yang bersikap sinis kepada agama? Inilah yang perlu ditanyakan kepada birokrat agama. Untuk menangani skeptisisme agama tidak semudah menangkap atau mengurung idealis seperti Kassim. Saya tidak mengatakan hujah Kassim semuanya betul tetapi pendekatan menangani orang seperti Kassim mesti betul.

Skeptis melihat sesetengah ulama kita sangat pasif, tidak berfikir di luar kotak, angkuh dengan kuasa dan menolak mentah-mentah apabila ada gagasan yang menongkah arus utama tanpa diberi ruang berhujah. Persepsi mereka mungkin tidak betul tetapi itulah yang dilihat.

Birokrat agama wajar bertanggungjawab apabila wujud pemikiran begini dalam kalangan masyarakat. Ia seharusnya menjadi cabaran kepada birokrat agama untuk terus mempertingkatkan keupayaan dan memperlihatkan ketinggian Islam sebagai cara hidup yang sesuai untuk semua manusia.

Mudah-mudahan sebenarnya memang ada ulama atau birokrat agama yang mengambil pendekatan yang disarankan oleh Imam Al Ghazali supaya menegur pemimpin secara terhormat dan tertutup.

Leave a Reply

Your email address will not be published.