Dua pesalah wanita yang dikenakan hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu

‘Dilema’ federalisme, sistem dwiperundangan

Oleh: Ku Amirul Faiz Ku Seman
(Utusan Malaysia 10 September 2018)

FEDERALISME adalah sistem kerajaan di mana kuasa dibahagikan di antara kerajaan di peringkat persekutuan dan pelbagai kerajaan negeri. Sebagai contoh sistem ini boleh dilihat pada sistem kerajaan Amerika Syarikat di mana kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa tertentu berbanding kerajaan pusat.

Negara-negara yang mengamalkan sistem kerajaan fe­deralisme kebanyakan mempunyai sejarah yang dibina daripada kerajaan-kerajaan negeri bersatu membentuk sebuah persekutuan.

Sejarah ini juga adalah sama dengan Persekutuan Malaysia. Sebelum terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu yang akhirnya membawa kepada pembentukan Malaysia, setiap negeri di dalam persekutuan adalah sebuah kerajaan tunggal yang berdaulat.

Perkara ini adalah struktur asas Malaysia. Lantaran itu, adalah satu hujah yang tempang sekiranya mana-mana kerajaan negeri ataupun kerajaan persekutuan cuba mencampuri bidang kuasa seperti yang dibahagikan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pembahagian bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri boleh dilihat ada dinyatakan dalam Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan, yang mana kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa seperti yang disenaraikan dalam Jadual Kesembilan.

Pada Jadual Kesembilan, secara jelas menyatakan senarai Persekutuan, senarai negeri dan senarai bersama. Perkara yang termaktub di bawah senarai Persekutuan meliputi isu seperti keselamatan dalaman, pertahanan, diplomatik, kewangan, undang-undang sivil dan jenayah kecuali syariah.

Bagi senarai negeri pula ia mengandungi isu seperti undang-undang syariah negeri-negeri, tanah, dan perhutanan. Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan secara jelas bidang kuasa kedua-dua kerajaan dan adalah manifestasi prinsip federalisme.

Adalah jelas institusi mahkamah syariah merupakan antara perkara yang termaktub pada bidang kuasa negeri kecuali bagi mahkamah syariah di Wilayah Persekutuan. Maka ia adalah kuasa negeri menerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal perkara yang berkaitan dengan senarai negeri termasuklah berkenaan undang-undang syariah dan mahkamah syariah.

Mahkamah syariah bukanlah satu institusi kelas kedua sebaliknya ia adalah satu institusi yang mempunyai kedudukan tersendiri malah telah wujud sebelum wujudnya sistem kehakiman sivil lagi. Sehubungan dengan itu, apabila Mahkamah Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman atau memberikan apa-apa perintah yang berada dalam bidang kuasanya, ia seharusnya dihormati oleh kesemua pihak. Ini termasuklah apabila hukuman sebat dijatuhkan terhadap dua orang pesalah yang mengaku bersalah ke atas kesalahan musahaqah (lesbian).

Advertisement

Alasan untuk menghormati keputusan mahkamah syariah ini mudah kerana sememangnya mahkamah syariah berkuasa untuk memutuskan apa-apa kes selari dengan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 dan keputusan hakim mahkamah syariah adalah dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

Justeru, penulis berpendapat mana-mana keputusan hakim yang diperoleh berdasarkan prosedur yang betul dan dibuat dalam bidang kuasanya, keputusan hakim tersebut hendaklah dihormati. Peluang untuk merayu juga telah diberikan kepada pesalah terhadap keputusan hakim tersebut tetapi pesalah memilih untuk tidak merayu. Keputusan hakim mahkamah syariah tersebut seharusnya dihormati sebagaimana masyarakat menghormati keputusan mahkamah sivil.

Tindakan memperlekeh keputusan hakim ini tidak mencerminkan kefahaman masyarakat mengenai amalan dwi-perundangan ini di Malaysia. Kedua-dua institusi kehakiman syariah dan sivil ini mengandungi kuasa yang tersendiri dalam bidang kuasa tersendiri. Begitulah juga dalam aspek perlaksanaan hukuman sebat tersebut. Masyarakat harus memahami wujudnya perbezaan kaedah dan mekanisme hukuman sebat mengikut perundangan syariah dan sivil.

Masyarakat sedia maklum hukuman sebat dalam perundangan sivil adalah sungguh mengerikan. Akan tetapi tidak semua pihak mengetahui bagaimana hukuman sebat dalam perundangan syariah dilakukan dan fakta ini perlu diperjelaskan.

Presiden Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal dalam artikel beliau bertajuk Sebat Syariah vs Sebat Sivil secara jelas memperincikan kekeliruan masyarakat mengenai kaedah sebat dalam perundangan syariah. Misalnya bagi sebatan syariah rotan yang digunakan adalah tidak lebih 1.22 meter dan tebal tidak melebih 1.25 sentimeter.

Sekiranya pesalah wanita tersebut hamil, sebatan perlu ditangguh selepas dua bulan pesalah tersebut melahirkan anak. Malah dari segi adab dan kehormatan pula, hukuman sebat syariah sememangnya menjaga hal ini sedangkan sebatan dalam perundangan sivil pula dikehendaki pesalah ditanggalkan pakaian menampakkan punggungnya sebelum disebat.

Tuntasnya dalam memahami dan menghargai semangat federalisme, institusi yang diwujudkan di bawah perundang­an negeri adalah penting untuk dihormati. Pelaksanaan sistem dwiperundangan yang dilaksanakan di Malaysia tidak seharusnya dilihat sebagai satu masalah tetapi wajar dilihat kewujudannya dengan sejarah yang membentuk Malaysia.

PENULIS ialah pengamal undang-undang sivil dan syariah.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *