Gambar hiasan ihsan BERNAMA.

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Dalam satu forum yang disiarkan menerusi laman web, seorang panelis bercakap mengenai falsafah dan dunia pendidikan di negara ini. Dalam forum yang panjang itu diselitkan tentang warna kasut murid sekolah. Kata panelis itu kasut putih akan ditukarkan pada kasut hitam.

Kita tidak semestinya bersetuju dengan gagasan panelis itu dalam soal pendidikan. Tetapi sebaik sahaja forum selesai, gagasan panelis itu terhenti di forum itu sahaja. Sebaliknya yang menjadi tular sohor di media sosial ialah isu warna kasut. Mereka tidak ambil tahu tentang pendidikan. Mereka teruja dengan warna kasut. Tentunya ini tidak menghairankan kerana masyarakat media sosial (netizen) tidak ambil peduli isu yang besar.

Maka apabila mereka menjadikan warna kasut bahan parodi, ejekan dan lawak sengal, maka itulah tahap pemikirannya. Ini bertepatan dengan ruang dan naratif media sosial yang memburu sensasi lagi kontroversi. Tentu salah penalis juga yang kurang arif kecenderungan dan ruang pemikiran sebahagian besar masyarakat media sosial kita. Lalu berhari-hari kasut hitam kasut putih menjadi tular memualkan di media sosial.

Padahal isu hala tuju pendidikan berkaitan dengan semua orang. Salah hala tuju akan karam kita dibuatnya. “Ke laut” jugalah impian menjadi negara maju, menzahirkan Wawasan 2020 juga Tranformasi Nasional (TN50). Tukar warna kasut hanya mungkin bermasalah ialah kapitalis kasut. Tetapi gelombang yang mengangkat isu itu seolah-olah menjadi masalah semua orang.

Ke mana kita selepas ini? Persoalan ini dizahirkan apabila isu-isu yang menjadi tular di media sosial sebahagian besarnya sangat remeh dan tidak ada nilai membangunkan dalam konteks menuju negara maju. Isu yang tular ini menjadi tanda aras sebahagian besar masyarakat pengguna media sosial.

Advertisement

Tidak banyak malah sangat sedikit isu kepentingan umum ditular di media sosial. Ini menunjukkan sebahagian besar masyarakatnya menganggap isu itu tidak ada nilai perbualan masyarakat (conversational currency). Ini berpandukan pada tahap pemikiran dan kecenderungan mereka. Remeh bagi kita mungkin sangat penting bagi mereka.

Isu yang menjadi tular dan kontroversi selalunya yang mempunyai nilai bahan bualan masyarakat. Ada kalanya sangat mengarut dan tidak masuk akal bahawa orang Malaysia banyak yang hilang akal. Ketika ini definisi “masyarakat” sudah teranjak menjurus kepada masyarakat menjadi pengguna utama media sosial. Kelompok ini lahir daripada kecanggihan teknologi kemudian menjadi mangsa teknologi.

Topik-topik yang bergantungan dan berterbangan di alam maya menjadi penentu kepada naratif masyarakat pada umumnya. Artis sengal ditendang kuda atau makcik Bawang terlanggar tiang menjadi sangat penting dan utama. Apa yang menjadi minat “masyarakat” dengan mudah boleh diteka di media sosial. Masyarakat kita sebahagiannya lebih teruja dengan suatu yang menghiburkan dan melekakan. Seolah-olah mereka sangat ketandusan hiburan padahal mereka sudah mabuk hiburan. Terlebih hiburan hingga penceramah agama pun kena pandai menghibur.

Cuma lebih membimbangkan apabila media utama menjadikan isu tular di media sosial sebagai tanda aras “itulah yang orang mahu baca.” Sebagai media utama seharusnya bukan sahaja memberikan “apa yang orang mahu baca” tetapi juga “apa yang sepatutnya orang baca.”

Banyak isu yang tular di media sosial hanya menepati kriteria “itulah yang orang mahu baca” tetapi bertentangan dengan “apa yang sepatutnya orang baca.” Media sosial tidak ada pasukan editorial tetapi media utama ada pasukan yang memegang kompas hala tujunya.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *