Kenapa pesta arak mesti ditentang?

Pesta arak,  The Better Beer Festival 2017 sepatutnya diadakan pada 6 dan 7 Oktober depan di sebuah premis di Kuala Lumpur. Difahamkan sudah beberapa kali pesta arak dianjurkan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun hanya kali ini pihak penganjur tidak diberi kebenaran oleh pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kalau benarlah sudah beberapa kali dianjurkan dan mendapat kebenaran DBKL, pihak berkuasa tempatan itu perlu tampil memberikan penjelasan untuk mengelakkan kekeliruan bahawa kebenaran akan terus diberikan sekiranya tiada penentangan daripada orang ramai.

Ada pihak yang berhujah, apakah luar biasanya arak di Kuala Lumpur?   Banyak pusat hiburan yang menyediakan arak dan sebuah pusat hiburan terbesar dan paling berprestij di Jalan Tun Razak juga menyediakan arak.

Nah, kalau arak bersepah dijual secara terbuka di Kuala Lumpur, kenapa pula kecoh dengan pesta arak yang diadakan selama dua malam itu? Seolah-olah wujud pilih kasih antara pusat hiburan yang menjual arak dan penganjur pesta arak.

Difahamkan pesta arak ini bermula pada 2012 sebuah premis di Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan disertai oleh lebih 200 pengunjung. Penganjuran pada 2016 di sebuah pusat membeli belah di Sri Hartamas menyediakan 150 jenama arak dan dihadiri oleh 3,500 orang.

Pada tahun ini penganjur merancang membawa lebih 250 jenama arak daripada 43 syarikat di seluruh dunia san sasaran pengunjung dijangka lebih 6,000 orang. Saiz penganjurannya semakin besar dan kalau tahun ini juga mendapat kebenaran DBKL, pesta arak akan membawa nama Malaysia sebagai lokasi pesta arak yang bertaraf dunia.

Dari satu sudut, pesta arak ini mesti ditentang kerana bercanggah dengan semangat Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Memang benar sasarannya bukan kepada orang Islam tetapi kesan sosialnya tidak mengira agama atau bangsa.

Memang benar, sebagai sebuah negara yang pelbagai kaum dan agama, menjual arak kepada bukan Islam bukanlah satu kesalahan dengan syarat ada lesen yang halal dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. Mungkin kerana itulah bersepah tempat minum arak di Kuala Lumpur walaupun sepatutnya tidak begitu.

Bagaimanapun menganjurkan acara yang menjurus kepada mempromosikan gaya hidup minum arak memberikan kesan yang berbeza iaitu mempengaruhi untuk turut serta dalam gaya hidup itu. Maka kita  mesti menentang kerana minum arak membawa keburukan kepada manusia.

Dari sudut yang lain, semua agama dan budaya mengaku dan bersetuju  bahawa arak membawa keburukan kepada manusia. Pakar-pakar perubatan tidak kira Islam atau bukan sependapat mengatakan kesannya menjahanamkan manusia dan kemanusiaan.

Maka menentang pesta arak bukanlah satu tindakan yang berat sebelah (bias) kepada bukan Islam. Ini juga untuk menyelamatkan mereka dari terperangkap dalam gaya hidup yang memudaratkan ini.  Setiap tindakan khalayak yang menghalang sesuatu yang membawa mudarat kepada kehidupan mereka adalah undang-undang yang baik.

Misalnya merokok di tempat awam,  pada mulanya bukan dilarang dengan kuasa undang-undang.  Tetapi disebabkan merokok di tempat awam membawa mudarat kepada orang ramai,  penentangan terhadap perbuatan ini dijadikan undang-undang dan sudah dilaksanakan.

Samalah juga dengan perbuatan minum arak atau pesta arak.  Apabila orang ramai merasakan perbuatan itu mengancam atau membawa keburukan,  sepatutnya sudah dijadian undang-undang untuk menghalangnya.  Jadi,  tindakan DBKL  walaupun terlambat adalah suatu yang baik kerana arak sememangnya membawa keburukan kepada orang ramai.

Bagaimanapun penentangan pesta arak di Kuala Lumpur tidak datang daripada pihak yang mendabik dada kononnya mengaku sanggup berjuang “demi agama dan bangsa.” Sebaliknya suara mereka tenggelam dalam retorik perebutan kuasa padahal kalau mahu melihat dari sudut Islam, pesta arak ini sangat mencemarkan Kuala Lumpur sebagai sebuah ibu negara Islam.

Di mana “pejuang-pejuang agama dan bangsa” ketika Kuala Lumpur akan muncul dalam kalendar pelancongan dunia sebagai pusat arak terkemuka? Siapa sebenarnya yang mereka lindungkan di sebalik  “kebenaran” pesta arak sebelum ini? Suara siapa pula  sebenarnya yang membawa kepada  pengharaman penganjuran pesta arak tahun ini?  

“Wartawan -sasterawan” dalam perjuangan kemerdekaan

Rahim Kajai (kiri) dan Pak Sako

Sejarah telah membuktikan bahawa wartawan Melayu tidak sekadar menulis angka dan fakta. Mereka tidak sekadar makan gaji dan merakamkan peristiwa suka ataupun duka manusia. Kewartawanan yang diasuh oleh Bapa Wartawan Melayu, Rahim Kajai menggerakkan wartawan ikut terlibat dan menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah tanah air.

Wartawan telah membuktikan kejayaan daripada terlibat sebagai perancang gerakan kebangsaan hingga mengepalai penubuhan parti politik yang kekal hingga kini. Demikianlah asuhan dan tunjuk ajar Rahim Kajai pada dekad 1940-an,   wartawan bukan pemerhati dan pelapor yang pasif.

Tentulah ciri-ciri utamanya memiliki pemikiran dan berjiwa pejuang. Jika sekadar menulis banyak yang boleh menulis, atau jika sekadar melapor banyak juga yang mampu berbuat demikian. Oleh sebab itu, selain menulis dan melapor, wartawan diasuh menjadi pemimpin dalam gerakan massa serta memiliki pemikiran yang jauh ke depan.

Wartawan turut berganding bahu bersama-sama sasterawan dan budayawan memperjuangkan kemerdekaan selain hal ehwal kesusasteraan dan bahasa. Selain kekuatan kewartawanan, pengaruh kesusasteraan Melayu yang luar biasa itu dimanfaatkan untuk memerdekakan pemikiran massa.

Usman Awang (kiri) dan A. Samad Ismail

Rahim Kajailah yang memulakan kecenderungan wartawan menulis karya-karya kreatif berlatarkan sosial politik dan budaya era Perang Dunia Kedua. Selain mempunyai minat dalam kesusasteraan tetapi yang menjadi pendorong utama beliau mengembangkan penulisannya dalam bentuk kreatif kerana kekangan penjajah Inggeris mengawal akhbar dan majalah.

Demikianlah besarnya pengaruh kesusasteraan yang dimanfaatkan pada era yang genting dalam cengkaman penjajah. Iltizam wartawan sasterawan untuk keluar dari kongkongan penjajah melalui kesusasteraan amat berjaya. Karya-karya sastera yang berlatarkan era penjajahan dengan penerapan semangat kebangsaan menyumbang kepada pemikiran yang merdeka dalam kalangan massa.

Kelahiran wartawan-wartawan Melayu berjiwa kebangsaan seawal dekad 1930-an menambahkan lagi anak watan yang melibatkan diri dalam penentangan terhadap penjajah. Perang propaganda penjajah yang sengaja menonjolkan ketidakmampuan orang Melayu dalam pelbagai bidang terhalang dengan kemunculan pejuang yang “menggalas pena” seiring dengan pejuang yang memikul senjata di hutan belantara.

Benarlah kata-kata pujangga, mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Pena yang jatuh ke tangan pejuang menjadi sangat berbeza dengan pena yang jatuh ke tangan pengecut yang oportunis. Ketajamannya disalahguna, kuasa magis diseleweng untuk tujuan lain.

Hasil yang ditunjukkan oleh perjuangan persuratan atau kesusasteraan sangat ketara pada era penjajah berbanding beberapa dekad terakhir ini. Keterlibatan wartawan dalam kesusasteraan yang bermatlamat perjuangan juga tidak termampu ditandingi oleh generasi hari ini. Kewartawanan   tidak sekadar profesion yang bergaya tetapi   lapangan yang disertai oleh manusia pemberani yang strategik.

Ketika gerakan kesusasteraan seiring dengan politik untuk menghapuskan jiwa hamba dalam kalangan orang Melayu, wartawan turun ke lapangan dan antara bukti paling hebat termasuklah lahirnya Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50).

Sebahagian besar daripada pencetus, pengerak dan propagandisnya anak didik Rahim Kajai yang berpayung di bawah bumbung Utusan Melayu di Singapura. Dalam isu bahasa dan kesusasteraan, wartawan ini akan berada di barisan hadapan, bersuara lantang sebagai pendesak bukannya berdiri di pinggir sebagai pelapor yang hanya menulis berita pendek lima perenggan.

Kesusasteraan merangkumi keberadaan kita sebagai manusia dalam kelompok manusianya. Berada dengan wajah dan pemikiran yang saling mengambil tahu dan bantu membantu antara satu dengan lain. Sastera itu satu bidang yang menuntut keterlibatan yang tinggi dari aspek psikologikal kerana memperihalkan tentang manusia mesti selari ciri-ciri kemanusiaannya.

Perjuangan menuntut kemerdekaan menerusi kewartawanan dan kesusasteraan jauh lebih awal daripada lahirnya pergerakan politik oleh UMNO. Utusan Melayu diperbadankan di Singapura pada tahun 1938 dan menerbitkan akhbar pertama pada 29 Mei 1939. UMNO ditubuhkan pada 1946, iaitu hasil perjuangan wartawan Utusan Melayu yang menggerakkan Kongres Melayu.

Maka tidak hairanlah semasa akhbar Utusan Melayu diterbitkan pada 29 Mei 1939, pengarang pertamanya Rahim Kajai yang bukan sahaja seorang wartawan malah sasterawan. Beliau mendapat jolokan Bapa Cerpen Melayu. Ketajaman tulisannya sebagai wartawan sama hebatnya dengan ketajaman menulis cerpen.

Kajai telah menyediakan landasan yang diikuti oleh wartawan lainnya . Kemunculan Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako yang menjadi salah seorang pengasas Utusan Melayu itu, juga menjadi sasterawan terbilang walaupun dilabelkan sebagai berhaluan kiri.  

Berdasarkan buku Wajah; Biografi Penulis Melayu, daripada 100 orang penulis dalam senarai awal penulis Malaysia, 33 orang datangnya dari Utusan. Kesemua mereka adalah wartawan yang mengembangkan jalur penulisan dalam kesusasteraan untuk meniupkan kesedaran kebangsaan.

Nama-nama seperti Keris Mas, Usman Awang , A. Samad Said, A Samad Ismail, Jymy Asmara, Ahmad Boestamam, Salmah Mohsin, Zaharah Nawawi, AS Amin, Abu Zaki Fadhil, Adi Mas, Alias Ali, Mohamad Dahlan Hj Masud (Hamdam), Harun Hassan, Ilias Zaidi, Ahmad Lufti, Khatijah Hashim, A. Shukor Harun, A.R. Kamaluddin, Atondra, Awam Il Sarkam, Hamzah Hussein, Ibrahim Omar, Baharuddin CD, Ali Hj Ahmad (Nora) dan Zahari Affandi, Johan Jaaffar adalah antara wartawan-sasterawan yang dimiliki oleh Utusan Melayu.

Ternyata dunia sastera memerlukan pelibatan dalam kalangan wartawan sebagai penggerak dan pejuang dalam isu yang melibatkan kesusasteraan dan bahasa selain sasterawan dan pejuang bahasa. Wartawan mempunyai akses yang lebih luas khususnya untuk mencetuskan gelombang dalam kalangan rakyat. Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu misalnya memerlukan wartawan yang benar-benar faham peri pentingnya bahasa Melayu diletakkan pada kedudukan paling tinggi.

Memali yang saya susuri

Tragedi berdarah di Memali pada 19 November 1985

(Memali – 1983) Ketika tercetus isu kafir mengkafirkan dalam kalangan sesama Islam   awal 1980-an, saya menjadi wartawan sambilan (stringer) Utusan Melayu di Alor Setar, Kedah.   Saya berkerja dengan Utusan Melayu di Alor Setar pada 1983 kemudian datang ke Kuala Lumpur untuk menjadi wartawan tetap pada 1984.

Isu itu tercetus daripada khutbah yang disampaikan oleh pemimpin politik muda, Abdul Hadi Awang di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981. Petikan khutbah itu dijadikan poster serta dirakam kemudian diedarkan ke seluruh negara.

Baling menjadi tarikan saya selepas menjadi subjek dalam demontrasi pelajar besar-besaran di Kuala Lumpur tahun 1974 kerana didakwa berlaku kebuluran di daerah ini. Bagaimanapun kerajaan menafikan adanya kebuluran di Baling dalam media kawalan mereka.

Apabila berada di Baling awal tahun 1980-an pun keadaannya sangat memilukan. Apatah awal 1970-an. Saya tidak percaya dengan penafian kerajaan bahawa pernah berlaku kebuluran di Baling. Ini berdasarkan keadaan hidup awal tahun 1980-an yang saya saksikan sendiri.

Salah sebuah kampung yang saya susuri ialah Kampung Memali dalam mukim Siong di daerah Baling. Kampung Memali  antara 27 kampung dalam Mukim Siong.

Walaupun hampir semuanya dibelenggu kemiskinan tetapi mereka sangat meraikan tetamu. Saya dilayan dengan baik walaupun tahu saya dari Utusan Melayu. Selain dijamu dengan apa yang ada, saya juga dibekalkan dengan jagung yang baru dipetik dari kebun untuk dibawa pulang. Keakraban begitu terasa.

Mereka sangat terharu dengan kedatangan saya untuk menulis tentang kedaifan kampung itu yang sebahagian besarnya dihuni oleh penyokong-penyokong tegar Pas. Walaupun Utusan Melayu akhbar UMNO tetapi saya menyakinkan mereka yang saya tidak ada kena mengena dengan UMNO.

Menonjolkan kemunduran di Memali bukan agenda politik saya; sama ada untuk memberikan imej buruk kepada kerajaan negeri atau Pas.   Ini agenda keinsanan saya selain mengharapkan upah sebagai wartawan sambilan.

Tragedi berdarah di Memali 19 November 1985

Saya tidak diberi gaji bulanan, cuma dibayar upah berdasarkan berita yang ditulis dengan kadar satu perenggan 80 sen. Selain agenda insani, saya mesti ada inisiatif untuk banyak menulis berita atau rencana dengan harapan lebih banyak mendapat bayaran.

Saya pula sangat terharu kerana walaupun kemiskinan harta benda, mereka kaya dengan hati insani. Mujurlah beberapa berita tentang rungutan mereka diberi perhatian oleh kerajaan negeri dan persekutuan waktu itu. Saya secara peribadi juga merasa turut membantu mereka. Ini agenda insani saya tanpa mengira kepercayaan politik.

Selain mengutip rungutan orang kampung, saya juga memerhati kesan-kesan sosial yang tenat daripada ketegangan politik seperti mengkafirkan sesama Islam kerana perbezaan fahaman politik.   Mereka ketiadaan maklumat untuk   membezakan   antara taksub dan waras. Sebahagian besarnya hanya bersumberkan “ceramah agama” di madrasah oleh tok guru dan penceramah yang dibawa dari luar.

Mereka tidak boleh dipersalahkan kerana tertutup.   Memang tidak ada sudut pandangan pilihan kedua dan ketiga. Satu-satu sudut pandangan yang diterima ialah daripada tok guru, ustaz atau penceramah dari luar sangat membekas di fikiran. Ini memberikan tindak balas keterlaluan kepada kelakuan politik.

Akibat terputus dengan dunia luar, sukarlah bagi mereka untuk mencari garis pemisah antara propaganda politik dan ceramah agama.

Pernah berlaku di sebuah daerah lain (bukan di Baling)   jenazah yang didakwa orang berfahaman berbeza tidak diziarahi, jauh sekali untuk diuruskan pengebumiannya oleh jiran sekampung. Tragedi begini pernah berlaku di depan mata saya apabila jenazah seorang lelaki terpaksa diuruskan oleh orang dari kampung yang berselang dengan kampungnya.

Di daerah lain pula pernah berlaku hanya lima atau enam orang sahaja yang mengusung keranda melintasi sawah yang luas terbentang. Bermakna jenazah itu telah dipulaukan kerana api politik yang menyala dan membakar kewarasan orang Islam di pedalaman Kedah.

Kampung Memali sekarang

Begitu juga berlaku beberapa kes di mana pasangan yang sudah berpuluh tahun berkahwin, beranak dan bercucu dipaksa nikah sekali lagi kerana nikah dulunya tidak sah. Saya ada mewawancara satu pasangan tua yang dipaksa bernikah semula kerana dulunya dinikah oleh orang yang sudah tidak Islam. Saya akan menceritakan kisah ini dalam posting yang lain.

Kes sembahyang Jumaat dua imam, satu imam kerajaan dan satu imam yang dipilih oleh orang kampung berlaku banyak tempat – bukan sahaja di Kedah. Inilah tingkah laku-tingkah laku politik yang saya lihat berlaku di pedalaman selepas tercetusnya isu kafir mengkafir.

Saya sangat musykil   adakah semua tindak tanduk politik yang bertentangan dengan Islam itu berlaku disebabkan “kesedaran” yang lahir secara semula jadi dari dalam diri tanpa pengaruh dari luar? Kenapa sebelum wujudnya parti politik dulu tidak wujud sengketa yang sebegini hebat? Kenapa berlaku pada awal dekad 1980-an yang pada masa sama pula meledak isu kafir mengkafir di seluruh negara? Secara kebetulan?

Semua persoalan ini berlegar di fikiran saya. Saya percaya ini kesan daripada isu kontroversi khutbah Abdul Hadi. Saya tidak pasti sama ada Abdul Hadi memang mengkafirkan orang berlawanan parti atau tidak.  

Tetapi saya pasti, kalau Abdul Hadi tidak bermaksud demikian, khutbah itu dipetik dan diletakkan dalam konteks yang salah. Dan kesalahan itu tidak diperbetulkan dengan segera malah disebarkan seolah-olah benar. Ini menjadi pemangkin orang kampung membina pemikiran dan kelakuan politik yang radikal.

Oleh yang demikian saya tidak terkejut apabila tercetus teagedi Memali yang mengorbankan 14 nyawa pada 19 November 1985. Saya lebih awal lagi membayangkan kelakuan-kelakuan politik yang radikal bakal berlaku. Mereka mempertahankan pendirian politik sama seperti mempertahankan agama.