Buku mencerdikkan, Whatsapp melekakan

Saya percaya bukan saya seorang sahaja yang sedih melihat sesetengah daripada kita sekali lagi terjerumus dalam arus modenisasi dan tenggelam kerana tidak bijak memanfaatkannya. Kemodenan yang datang sewajarnya memberi manfaat, tetapi disebabkan tersihir dan tidak berfikir, orang lain mengaut untung, orang Melayu hanya makan “puntung”.

Amat menyedihkan apabila kita menoleh di kiri dan di kanan kita, anak-anak muda, orang dewasa malah orang tua hanya menjadi pembaca WhatsApp Group, pembaca Facebook dan pelayar Instagram. Banyak yang tidak lagi membaca buku kerana masa telah dialihkan kepada media sosial.

Pelantar teknologi itu mempunyai kebaikan tersendiri. WhatsApp ada baiknya untuk tujuan komunikasi. Tetapi yang buruknya sesetengah orang Melayu tidak tidak kira anak muda atau yang dewasa menjadikan tabiat membaca WhatsApp sebagai membaca buku.

Maka terkekehlah mereka dengan lawak-lawak murahan atau video lucu dan lucah. Tidak setakat itu disebarkan pula kepada grup lain dan merebak menjadi tular. Yang ditular itu hanya yang menunjukkan kerendahan pemikiran orang Melayu.

Percayalah orang Melayu akan terus di bawah tempurung kalau terus menjadi pembaca WhatsApp Group, Facebook dan Instagram. Barat menggunakan pekakas ini untuk menyebarkan ideologi, memasarkan barangan dan mengeksport nilai-niai yang ditolak di sana ke negara kita. Untuk keluar dari tempurung kenalah membaca buku.

Pada masa ini buku bukan barang mewah. Buku ada di mana-mana. Banyak pula kedai buku yang membentangkan ilmu yang seluas langit dan sedalam lautan kalau ditelaah, dikaji dan difikirkan maksudnya. Buku adalah senjata untuk melawan musuh yang mahu memperbodohkan kita.

Ketika tentera Tartar yang dipimpin oleh Kazan menyerang Damsyek pada tahun 699 Hijrah, antara tindakan yang dilakukan selain membunuh orang Islam, mencabul wanita ialah memusnahkan perpustakaan. Mereka memusnah buku. Orang yang membaca buku sukar untuk ditawan rohani dan jasmaninya.

Perpustakaan yang menyimpan banyak buku agama merangkumi pelbagai bidang kehidupan mengundang bahaya kepada tentera Tartar dan Kazan. Buku-buku yang tersimpan di perpustakaan itu bukan sahaja boleh membakar semangat orang Islam mempertahankan agama dan negara, malah menjadikan orang Islam cerdik dan pandai.

Begitu juga halnya apabila pemimpin komunis Khmer Rough di Kemboja, Pol Pot mendapat kuasa, perkara pertama yang dilakukan ialah membunuh cerdik pandai; pensyarah dan tokoh agama. Kemudian memusnahkan perpustakaan.

Pot Pot tidak mahu rakyat Kemboja menjadi cerdik. Kerana orang yang cerdik dan luas pemikirannya tahu keburukan pemimpinnya. Maka dia memuskankan sumber yang memberi ilmu kepada rakyat iaitu buku. Buku itu kuasa. Buku juga menjadi jendela fikir kepada manusia untuk melihat dunia di luar kawasan “kepala lutut” nya.

Analogi kawasan “kepala lutut” menggambarkan satu lingkungan atau lingkaran yang sangat sempit yang kita lihat apabila menunduk kepala. Begitulah juga “dunia” atau “pandangan dunia” orang yang tidak bersahabat dengan buku.

Tentulah sangat merugikan kerana pada zaman ini buku boleh didapati dengan mudah masih banyak yang menjauhkan diri dari buku. Orang bijak pandai ada berpesan, untuk mengenal seseorang lihatlah buku apa yang dibaca dan siapa yang menjadi kawan-kawannya.

Maknanya buku boleh dijadikan cermin peribadi kepada seseorang. Sama seperti kawan-kawan, buku yang kita baca membolehkan orang mengetahui siapakah kita sebenarnya. Seorang ahli falsafah dan political theorist zaman Rom 806 Masihi, Marcus Tullius Cicero pernah berkata, “Sebuah rumah yang tidak ada buku ibarat tubuh yang tidak ada jiwa.”

Jane Austen, pengarang hebat abad ke 18, pula ada berkata, “Seseorang, tidak kira lelaki atau wanita yang tidak suka membaca novel yang bagus, secara tidak langsung boleh dianggap tidak cerdik.”

Pada zaman ini cabarannya bukan sahaja membaca buku tetapi membaca buku yang paling baru, yakni seboleh-boleh mahu membaca buku-buku yang orang belum lagi membacanya.

Seperti kata pengarang kontemporari Jepun, Haruki Murakami, “Kalau anda hanya membaca buku yang orang lain juga sudah membaca, anda hanya berfikir sama dengan orang lain.” Ini diperkukuhkan dengan pesanan Frank Lebowitz supaya, “Berfikir sebelum berkata-kata dan membaca sebelum berfikir.”

Oleh kerana itu kemampuan ulama tersohor, Ibnu Taimiyyah yang sepanjang hidupnya 63 tahun telah menulis lebih 500 kitab dalam pelbagai disiplin ilmu adalah suatu yang sangat menyumbang kepada pembangunan pemikiran orang Islam.

Menulis 500 kitab satu hal yang sangat luar biasa tetapi yang paling luar biasa sebahagian besar kitab-kitabnya ditulis semasa dipenjarakan oleh pemerintah-pemerintah Islam pada zamannya sekitar 650 Hijrah. Malah ada diceritakan Ibnu Taimiyyah memilih untuk masuk penjara apabila pemerintah memberi kata dua, berhenti berdakwah atau masuk penjara.

Buku (kitab) yang ditinggalkan terus menjadi rujukan hingga kini. Begitulah tingginya nilai ilmu yang tersimpan dalam buku. Daripada generasi kepada generasi ilmu itu mengalir sekiranya khalayak mempunyai kesungguhan menggali ilmu dengan membaca.

PENGUMUMAN:

Pasar Buku Bangi di ruang letak kereta Perpustakaan Awam Bangi, Selangor akan diadakan secara regular pada 12 Ogos, 26 Ogos, 9 September, 23 September, 14 Oktober, 28 Oktober, 11 November, 25 November, 9 Disember dan 23 Disember 2017. Bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.

 

Memoir Ahmad Boestamam

Buku Memoir Seorang Penulis ini lebih 30 tahun berada dalam perpustakaan mini saya. Semalam saya mengulang baca buku yang ditulis oleh salah seorang pejuang kemerdekaan Abdullah Thani Raja Kecil (Ahmad Boestamam). Buku nipis ini diterbitkan oleh DBP pada 1979. Pertalian Boestamam dengan saya adalah Utusan Melayu. Boestamam juga salah seorang wartawan Utusan Melayu era Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri.

Memoir Seorang Penulis merupakan sebuah catatan ringkas secebis daripada pengalaman panjang Boestamam dalam kewartawanan, kesusasteraan dan politik. Walaupun ringkas memoir ini memperjelaskan sosok pemikiran dan perjuangan Boestamam untuk memerdekakan negara dengan wadah kewartawanan, kesusasteraan dan politik.

Perjuangan politik Boestamam bermula pada tahun 1940-an dan menyertai badan-badan politik Melayu bergabung menentang Malayan Union di sekitar tahun 1945 dan 1946. Beliau mengetuai API (Angkatan Pemuda Insaf) cabang pemuda sayap kiri.

Boestamam menubuhkan Parti Rakyat Malaya yang kemudiannya bergabung dengan Parti Buroh sebagai Socialist Front. Hasilnya beliau memenangi pilihan raya bagi Parlimen Setapak pada 1959. Sungguhpun demikian kejayaan itu menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.

Pada tahun 1941 beliau ditahan di bawah akta keselamatan tetapi dibebaskan sebaik sahaja Jepun menguasai Malaya. Kemudian ditahan semula pada 1948 hingga 1955 ekoran pengharaman API oleh penjajah Inggeris. Semua pergerakan politik diharamkan Inggeris kecuali UMNO.

Pada tahun 1963 hingga 1967 beliau dipenjarakan sekali lagi kerana dituduh menyokong pemberontakan Brunei dan membantu Indonesia melancarkan konfrantasi ke atas Malaysia.

Boestamam dalam konteks hari ini adalah pejuang kemerdekaan yang dipadamkan dari sejarah kemerdekaan negara. Bukan sahaja Boestamam malah tokoh seperti A. Samad Ismail, Pak Sako, Said Zahari dan Ibrahim Yaacob juga ikut terpadam. Demikianlah apabila sejarah ditulis dengan penuh prasangka dan dendam oleh pihak yang menang.

Saya tidak pasti adakah semua nama-nama ini dipadamkan dari sejarah kemerdekaan kerana mereka bukan dari UMNO. Memang benar mereka bukan UMNO tetapi perjuangan untuk memerdekakan negara. Kalau sang pencatat sejarah berjiwa besar sudah tentu mereka tidak memadamkan nama musuh politik yang pernah menyumbang untuk negara.

Boestamam seorang yang luar biasa, pada usia 16 tahun beliau diberi kepercayaan menulis pojok sebuah akhbar mingguan dan pada usia 19 tahun menjadi timbalan pengarang sebuah akhbar.

Saya memiliki buku ini sebelum menyertai dunia kewartawanan di Utusan Melayu. Saya menyertai Utusan Melayu tahun 1984. Secara kebetulan dalam satu bab buku ini Boestamam menulis tentang pengalaman berkerja di Utusan Melayu dan pengalaman pahit diarahkan meninggalkan Utusan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman. Sebabnya Boestamam memilih menulis suatu yang benar walaupun tidak disukai oleh Tunku.

Tulis Boestamam:
Melan Abdullah datang menemui saya menyuruh saya memilih satu di antara dua – saya menulis surat meletak jawatan atau menunggu Utusan Melayu membuang saya dengan notis 24 jam. Saya memilih menulis surat meletak jawatan kerana saya tidak mahu orang menyangka saya begitu bergantung kepada Utusan.”

Memoir nipis ini sebenarnya sangat mengharukan sekaligus menginsafkan. Ketika menikmati kemakmuran dan kesenangan hasil daripada kemerdekaan pejuangnya kita padam, lupa dan benam dari sejarah. Kejamnya kita.