Anekdot : Tudung mahal simbol status

Saya percaya kalau ada suami yang mempunyai isteri yang gila jenama tudung semahal itu boleh pitam juga dibuatnya. Sehelai tudung boleh membeli satu almari baju. Mana tak pitam bila sehelai tudung   bersamaan dengan sebulan gaji pemegang ijazah.

Bertudung yakni menutup aurat bagi wanita memang dituntut oleh Islam. Walaupun sesetengah pihak skeptikal menganggap bertudung sebagai berfesyen tetapi secara zahirnya si pemakai telah menghormati tuntutan agamanya.

Biarlah kalau si pemakai itu berfesyen semata-mata pun kerana dia memilih fesyen yang bersesuaian dengan tuntutan agama. Yang memberikan sudut pandangan serong pada tudung bukan kerana fesyen tetapi individu yang menjadikan tudung sebagai satu simbol status.

Fenomena tudung yang berharga beratus-ratus malah beribu ringgit sehelai membuktikan tudung telah dijadikan simbol status. Padahal Islam tidak menyusahkan umatnya, asalkan tudung itu menepati syariat, itu sudah sempurna walaupun harganya tiga helai RM10.

Pada masa sama tudung harga tidak masuk akal ini menunjukkan sesetengah wanita Melayu sangat cetek kefahaman mereka terhadap manipulasi budaya kepenggunaan. Media telah membentuk persepsi bukan sahaja wajar malah perlu tudung semahal itu untuk kelihatan hebat.

Orang tua-tua dulu pun bertudung. Cuma bezanya tidak ada media seperti sekarang yang membuatkan mereka tidak terbeban dengan tudung. Mereka tidak menjadikan tudung sebagai simbol status. Wanita Melayu dulu bijak kerana menjadikan emas (barang kemas) sebagai simbol status. Pada masa sama emas menjadi pelaburan, nilai tidak susut.

Usahawan tudung ini sebahagiannya hanya bertenggek kepada nama. Bukanlah sangat pada bahan (kain) atau aksesorinya. Ini kerana pengguna dalam kalangan wanita Melayu sesetengahnya tidak ambil tahu tentang kualiti, mereka terasuk dengan jenama.

Semakin banyak usahawan yang menjual dengan harga yang tidak masuk akal, ini menunjukkan semakin banyak wanita Melayu yang menjadikan tudung sebagai simbol status. Ini menyumbangkan kepada keterpesongan tudung sebagai yang dituntut oleh agama sekaligus boleh mendatangkan fitnah kepada Islam.

Maka yang dijual dengan harga beratus atau beribu ringgit itu bukanlah harga tudung. Itu adalah harga “keinginan atau perasan untuk muncul hebat” dalam kalangan wanita lain. Kepada wanita, usahlah tertipu atau terasuk dengan manipulasi dalam budaya kepenggunaan. Melangkahlah setapak ke depan meninggalkan media yang riuh rendah mengalih tumpuan kita kepada perkara yang lebih bermanfaat.

Kepada wanita bukan Islam,   tuntutan bertudung atau menutup aurat dalam Islam sangat mudah dan tidak membebankan. Malah Islam juga agama yang melarang pembaziran. Yang dilakukan oleh sesetengah wanita Islam itu adalah kecenderungan peribadi, tidak ada kaitan dengan Islam.

4 thoughts on “Anekdot : Tudung mahal simbol status”

  1. Ku Seman setiap orang mempunyai citarasanya sendiri kerana ada yang menganggap harga tudung itu menunjukkan kualitinya dan si pemakainya. Lin tidak pernah beli tudung harganya lebih daripada RM35 dan setakat ini ada dua helai yang mahal RM250 (hadiah suami pada hari raya) RM90 (hadiah daripada anak sedara sempena hari lahir). Syukur alhamdulillah.

  2. Baru tadi saya bercakap tentang hal ini dgn anak perempuan saya. Saya nyatakan betapa tidak selesanya hati bila agama jadi dagangan. Maaf jika ada yg terasa atau tidak setuju. Berhijab utk menutup aurat, tp bila hijab dijenamakan secara keterlaluan, tampak seperti agama diperdagangkan. Soal anak saya, habis bagaimana..sudah itu keadaan dunia sekarang? Saya kata, kerana itu saya melawan secara yang saya mampu, saya tidak akan memberi ruang untuk membiar orang membuat kekayaan melalui agama..saya tidak beli walau sehelai tudung mahal.Mungkin paling mahal dibawah rm30 (itupun pada saya dah cukup mahal), semurah rm6 pun ada. Peduli apa dengan jenama, saya beli hanya bila saya rasa saya berkenan dan sesuai untuk saya tutup apa yg Allah suruh. Saya fikir, semua org perlu ada kesedaran untuk mencegah agama dari diperdagangkan. Jangan kita tutup aurat, tp kita telanjangkan agama..agama itu indah, jgn kita perhodohkannya..

Comments are closed.