Definisi “negara maju” dalam konteks Malaysia tidak wajar terlepas daripada kompas agama (Islam) kerana kedudukan agama itu dalam Perlembagaan supaya wujud keseimbangan antara kemajuan fizikal dan keharmonian kehidupan.
Tidak bererti sesuatu kemajuan sekiranya terlepas dari kompas Islam di mana memungkinkan wujud urus tadbir yang tidak mendokong citra yang bersih (dari rasuah dan penyelewengan), cekap dan amanah (memikul tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat kepada pemimpin).
Negara maju bukan sahaja menyediakan kemudahan tahap tinggi kepada rakyat, tetapi pada masa sama rakyat diberikan keselesaan sosial misalnya kadar jenayah berada di tahap terendah, kesedaran sivik yang tinggi, citra kemanusiaan yang tebal. Semua ini akan mengimbangi “maju” dari sudut fizikal dengan “maju” dari sudut kemanusiaan.
Sesetengah pihak bermegah bahawa negara ini akan menjadi negara maju. Tetapi pada masa sama nilai yang bercanggah dengan Islam berleluasa; rasuah berleluasa, kepimpinan yang tidak memberikan teladan dan politik niat menghalalkan cara.
Adakah hanya disebabkan untuk menjadi negara maju keperluan manusia untuk hidup dengan aman dan harmoni dikorbankan? Apakah dengan pencapaian kita dari segi fizikal dan material sekarang ini mewajarkan sesetengah pihak berbangga kita semakin hampir menggenggam status negara maju?
Oleh kerana itu definisi “maju” dan “kemajuan” mesti dibaca dalam konteks yang lebih luas merangkumi kepentingan manusia secara umumnya. Tidak ada ertinya pencapaian material seperti pendapatan perkapita atau KDNK kalau rakyat hidup dalam kebimbangan dan diganggu oleh ruang kebebasan melampau hak asasi manusia lain.
Apakah ertinya berdiri megah Bangsar South, Sri Hartamas, Mount Kiara dan berceracak penginapan mewah pencakar langit di sekitar Jalan Duta, kalau generasi muda Melayu terus ketinggalan sekaligus menjadi mangsa gaya hidup materialistik?
Inilah model kemajuan materialistik Barat. Kita tidak seharusnya merujuk model begini untuk menentukan status negara maju di negara ini. Sebabnya model ini tidak dapat menyelesaikan masalah jurang kaya dan miskin, agama, sosial dan juga moral.
Dengan peningkatan graf pelanggaran garis moral dan agama serta bertambahnya kadar jenayah berat seperti bunuh dan kekejaman yang melampaui naluri manusia, ini membuktikan model negara maju cara Barat tidak boleh digunakan.
Kemajuan secara mudahnya bukan sahaja di segi material tetapi mewujudkan satu ruang kehidupan yang aman serta tinggi citra manusia dalam kalangan warganya. Maknanya sekiranya kita mendiami sebuah kawasan perumahan elit di Kuala Lumpur tetapi jalan menuju ke kediaman kita penuh dengan jenayah, manusia rosak akhlak seperti di Jalan Alor (pusat persundalan yang tidak diambil tindakan), semua itu menunjukkan kita belum mengecapi kemajuan yang sebenar.
Tetapi dalam konteks kita, agama, moral dan rasa kemanusiaan menjadi kompas utama. Kalau terlepas dari kompas ini tandanya kita belum maju. Dalam kata lain kemajuan material dan fizikal bukanlah tanda aras mutlak menjadi negara maju kecuali rakyat dapat menikmati keamanan, kesejahteraan dan ruang penyuburan kemanusiaan yang yang secukupnya.
Setuju. Kemajuan negara mesti seimbang antara kemajuan fizikal dan akhlak. Masyarakat hari ini seolah-olah sudah terdidik dengan kemajuan negara bergantung kepada berapa banyaknya bangunan pencakar langit dan betapa banyaknya pusat membeli belah bertaraf 5 bintang.