Sepanjang jalan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) kelihatan banyak papan iklan produk kecantikan seperti pemutih. Begitu juga di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari Jalan Duta hingga Alor Setar. Ini belum lagi iklan di media.
Tetapi terlalu sedikit papan iklan mempromosi gaya hidup yang menjadikan pengguna sihat, isalnya alat bantu senaman dan sebagainya. Malah tidak ada papan iklan yang menawarkan rahsia-rahsia atau formula untuk kekal sihat dengan diet yang betul. Adakah ini menunjukkan pengguna di negara ini memilih menjadi putih untuk cantik berbanding sihat yang sebenarnya?
Memang benar, ini hanya tanggapan rambang terhadap keutamaan yang diberikan untuk kelihatan cantik berbanding kesihatan. Tetapi boleh lihat fenomena di sekeliling kita di mana wujud perlumbaan untuk kelihatan putih dan cantik dengan cara menelan suplimen atau ubat.
Disebabkan kegilaan yang luar biasa terutama wanita Melayu untuk berkulit putih, ia menjadi pemangkin tumbuhnya pengusaha produk pemutih tempatan. Jumlah pengusaha produk begini tumbuh bagai taugeh. Pantas dan berkembang pesat.
Dalam sekelip mata pula usahawan menjadi jutawan. Kemudian menjadi buruan media seterusnya menjadi selebriti. Baguslah menjadi jutawan tetapi tentunya lebih baik kalau bidang yang diusahakan memangkin anjakan pemikiran wanita Melayu melalui perniagaan mereka. Bukan setakat putih tetapi pemikiran dan matlamat hidup tidak berubah.
Kini lebih parah lagi apabila ada pula produk yang menjanjikan anak dalam kandungan juga boleh berkulit putih. Syaratnya si ibu perlu perlu mengambil suplimen (atau ubat) semasa mengandung. Ini sudah melampau. Kalaupun suplimen ini benar-benar berkesan, ini adalah suatu yang sangat mengarut.
Sebenarnya ini penyakit baru orang Melayu di negara ini. Melayu di negara lain tidak dapat dipastikan. Tetapi bangsa lain di negara lain tidak pula menjadikan tidak putih sebagai masalah besar dalam hidup. Malah mahu menjadi putih bukanlah suatu yang tertanam dalam psikik orang Melayu sejak dulu. Tidak ada. Dalam psikik orang Melayu mahu menjadi umat yang teguh beragama (Islam) dan kaya.
Habis, sejak bila wanita Melayu sudah pandai mengimpikan kulit putih? Jawapannya sejak mereka menjadi hamba budaya konsumerisme yang memperagakan berbagai-bagai mitos. Salah satunya kulit putih adalah tanda aras kecantikkan. Bukanlah menafikan kulit putih tidak cantik tetapi cantik dan putih adalah dua perkara berbeza. Perang konsumerisme telah mewujudkan kekeliruan.
Barangkali golongan yang sama juga terlalu banyak menonton drama-drama Melayu yang berkualiti rendah di televisyen. Atau drama-drama substandard yang diimport dari Indonesia, Filipina atau Amerika Latin yang berlatarkan kelas elit. Sebahagian besar yang tampil dalam drama picisan ini berkulit putih dan secara kebetulan pula cantik wajahnya. Hingga yang berlakon watak tukang sapu pun mesti berkulit putih dan cantik macam ratu.
Sekali lagi, sangat bermasalahkah mereka yang tidak berkulit putih? Adakah hanya yang berkulit putih sahaja yang mendapat peluang dalam dunia pekerjaan? Adakah diskriminasi warna kulit berlaku di negara ini hingga sesetengah daripada wanita begitu terasuk untuk menjadi putih?
Di Barat suatu ketika dulu walaupun berkulit hitam menimbulkan masalah yang sangat besar tetapi tidak ada yang berusaha menjadi putih dengan memakai pemutih. Mereka terus bangga dengan warna kulit yang asal dan kejayaan hidup tidak pernah disukat pada warna kulit.
Hal yang demikian pasti membuatkan kita tertanya-tanya akan matlamat hidup mereka. Adakah matlamat hidup hanya untuk putih bukannya mahu tubuh badan yang sihat. Dan mereka tidak berminat menjadi sihat berbanding menjadi putih dan cantik.
Kalau benar propaganda pengusaha produk pemutih bahawa putih itu cantik, kenapa banyak selebriti Barat yang berkulit hitam tidak bertukar warna kulit menjadi putih selepas popular dan kaya raya? Hanya Michael Jackson seorang saja yang lupa hakikat asalnya hitam kemudian menjadi putih. Yang lain tetap terus dengan kulit hitam.
Penyanyi tersohor Whitney Houston, Oprah Winfrey dan beberapa lagi tidak terasuk untuk menjadi putih. Malah isteri bekas Presiden AS, Michelle tidak menukar warna kulit menjadi putih. Rasa-rasanya dengan kekayaan yang ada mereka juga mampu kalau hendak menjadi putih. Tetapi mereka memilih hitam yang asal.
Apakah agaknya kata mereka sekiranya tahu di suatu pelosok dunia ada manusia yang dilahirkan sebagai kulit berwarna (bukan hitam) menggunakan produk pemutih untuk menjadi putih? Apa pula kata orang kulit putih di Barat yang menganggap kulit orang Asia termasuk Melayu sebagai sangat cantik dan mempesonakan apabila mendapat tahu ada wanita Melayu mahu menjadi kulit seperti mat salih?