Salur arteri jantungnya dirempuh peluru penembak tepat tentera Zionis Israel. Seragam paramedik bertumpuk merah kelam dan jasadnya pun rebah atas bumi Palestin menjelang senja (waktu Palestin) Jumaat 1 Jun. Semangat srikandi menyala tatkala jasadnya longlai. Dan dalam hitungan minit, berakhirlah usianya sebagai mangsa ke 119 sejak tunjuk perasaan dua bulan lalu.

Kembalilah srikandi bangsa kepada Maha Pencipta seusai mengabdikan kudrat pada nusa yang dijarah Israel. Senja Jumaat itu seluruh umat Islam dan pencinta keamanan di dunia berduka. Usianya muda, baru menjengah 21 tahun, tetapi diberikannya keberanian untuk berbakti kepada nusa yang sudah enam dekad dirampas Israel.

Demikian warna senja terakhir Razan Al Najjar yang tewas oleh peluru Israel di kem penunjuk perasaan Khan Younis di selatan Gaza. Menurut laporan The New York Times, ayah Razan, Ashraf Al Najjar, 44 tahun paling terkesan kepulangan tragis puteri sulung daripada enam adik beradik. Razan membawa sebahagian jiwanya, tetapi berbangga puteri itu berkorban demi memperjuangkan maruah agama dan nusa.

Ironinya pada Jumaat yang sama (sebelum pembunuhan berlaku) Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan mengutuk tindakan Israel yang “menggunakan kuasa secara berlebihan, tidak profesional dan diskrimanatif” terhadap rakyat Palestin. Bagaimanapun resolusi itu terhalang dikeluarkan oleh kuasa veto Amerika Syarikat (AS).

Razan Al Najjar
Beribu-ribu warga Palestin di Gaza memberi penghormatan terakhir kepada Razan Al Najjar

 

Razan Al Najjar di kem Khan Younis, Gaza.

Ashraf rebah ketika menerima berita duka menjelang waktu berbuka puasa itu. Dan katanya, seperti dilaporkan oleh The New York Times, malam sebelumnya adalah kali terakhir mereka sekeluarga bersahur bersama-sama, paginya Razan bergegas ke kem penunjuk perasaan sebagai sukarelawan paramedik. Jumaat senja jasad itu sudah tidak bernyawa.

Menurut saksi, saat tragedi Razan berseragam putih menandakan dia pasukan paramedik sedang bertugas. Dia berhempas pulas membantu seorang penunjuk perasaan yang parah. Itulah khidmat bakti terakhirnya selepas tiba-tiba penembat tepat Israel melepaskan tembakan dari seberang pagar. Razan rebah dan kecederaan dalaman yang parah itu membuatkan nyawanya tidak boleh tertolong lagi.

Reaksi awal Israel mendakwa Razan mengangkat senjata membuatkan penembak tepat melepaskan tembakan mempertahankan diri. Tetapi saksi memberitahu Razan mengangkat kedua-dua tangan kosong. New York Times memetik Ibrahim Al Najjar, saudara Razan bahawa gadis itu tidak menembak kerana tidak bersenjata. Saat itu amat genting untuk menyelamatkan penunjuk perasaan yang parah.

Ashraf menjungkir balik masa lalu yang manis bersama-sama Razan, dia mengulangi kata-kata anaknya, “Saya mahu menyampaikan pesan kepada dunia bahawa dengan tanpa senjata juga saya boleh melakukan sesuatu untuk agama dan tanah air saya.”

Razan tidak sempat melanjutkan pengajian ke universiti kerana keputusan yang kurang baik dalam pengajian tinggi di sekolah. Dia mengusulkan kepada ayahnya untuk menjadi sukarelawan di kem Khan Younis.

Advertisement

Razan Al Najjar sedang bertugas di barisan depan kem Khan Younis
Razan Al Najjar

Walaupun sangat terdera jiwanya dengan tragedi itu, Ashraf berbangga punya anak gadis yang bersemangat waja seperti lelaki memperjuangkan negara Palestin. Detik-detik terakhir bersahur kemudian berjemaah sembahyang subuh Jumaat itu pasti akan dikenang sepanjang umurnya.

Ashraf adalah warga Khuzaa kini menganggur selepas bengkel motornya musnah diledak bom Israel pada 2014. Mereka sekeluarga menetap sebuah desa pertanian dan hidup dalam kesempitan di perbatasan Palestin – Israel di sebeah timur Khan Younis di selatan Gaza.

Razan pernah membertahu Times pada Mei lalu tentang tugasnya. “Tugas saya memberikan bantuan awal kepada mangsa yang cedera hingga dibawa ke hospital,” kata Razan. Dalam sehari dia memberikan bantuan awal kepada tidak kurang 70 mangsa terkena peluru getah tentera Israel dan bertugas tidak kurang 13 jam sehari bermula 7 pagi hingga 8 malam.

Mengenai penglibatannya dalam tugas berisiko tinggi itu, Razan berkata dia mahu mengubah persepsi konservatif sesetengah pihak Palestin di Gaza bahawa wanita tidak kemampuan memikul tugas melindungi negara. Tetapi dia beruntung kerana ayahnya berfikiran terbuka dan mengizinkan.

“Paramedik bukan sahaja tugas lelaki tetapi untuk wanita juga. Kami memikul tanggungjawab besar dan tidak melakukan kerana duit. Kami tidak mahu dibayar. Ada juga yang bertanya ayah kenapa membiarkan saya bekerja tanpa bayaran tetapi ayah memberitahu mereka bahawa dia berbangga dengan saya yang bekerja untuk negara,” beritahu Razan kepada The Times.

Serangan tentera Israel Jumaat itu mencederakan sekurang-kurang 100 penunjuk perasaan cedera termasuk 40 daripadanya parah dan seorang terkorban. Mangsa itu adalah Razan yang juga satu-satunya mangsa yang terkorban pada Jumaat sejak sepulun minggu tunjuk perasaan memprotes berdirinya Kedutaan AS di Jerusalem.

Sebanyak 119 orang awam terkorban sejak rakyat Palestin melancarkan Great Return March dua bulan lalu. Pada 14 Mei sahaja lebih 60 orang awam Palestin terkorban akibat berkonfrontasi dengan tentera Israel. Penyelaras Khas Proses Keamanan Asia Barat, Nickolay E. Mladenov dalam twitternya menyatakan simpati terhadap tragedi yang menimpa Razan tetapi menekankan. “sukarelawan perubatan bukan sasaran” tentera Israel.

Razan menggegarkan dunia. Tewasnya dia oleh peluru tentera Israel dilaporkan oleh media di seluruh dunia. Beribu-ribu warga Gaza menyertai acara pengebumian Razan dan mencetuskan gelombang kebangkitan yang bukan kecil untuk menentang Israel. Takziah, semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan para syuhada yang mengabdikan kudrat dan nyawa kepada agama dan nusa semasa hidupnya.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *