“Orang selalu bertanya kenapa saya berminat dengan jenayah. Sebenarnya saya tidak minat jenayah, saya cuma minat sesuatu yang berkaitan dengan profesion saya sebagai pembikin filem. Filem thriller. ” Demikian kata Alfred Hitchcock dalam buku Film Makers On Film Making (1969).
Lebih setengah abad dari usianya, Hitchcock dengan seloluid dan kamera memberi perspektif lain di atas lakaran jenayah yang sadis sebagai sebahagian dari dunia kerja filemnya. Dalam pengembaraan kreatifnya, Hitchcock menemui nahu thriller yang luar biasa. Di tangannya, hidup penuh kejutan demi kejutan dan debaran demi debaran.
Nahu thriller Hitchcock terus menjadi rujukan. Pengaruh Hitchcock tidak pernah mati sekalipun bapa filem thriller ini meninggal dunia pada 29 April 1980 dulu. Bermula filem pertama Number 13 (1922) hingga yang terakhir Family Plot (1976), Hitchcock memperlihatkan karya yang konsisten sekalipun dekad terakhir hidupnya dianggap zaman menurun.
Filemnya menjadi ilham generasi perfileman hari ini. Lihat sahaja bagaimana Danny De Vito menerusi Throw Momma from the Train (1987) diilhamkan daripada Strangers on a Train (1950) arahan Hitchcock. Sementara Michael Douglas dan Gwyneth Paltrow dalam Perfect Murder (1998) mengulangi watak lakonan Ray Milland dan Grace Kelly dalam Dail for a Murder (1953).
Malah Gus Van Sant juga membuat semula Psycho (1988) dengan memberi persepsi baru terhadap Psycho (1960). Hitchcock terus hidup dan nahu filem thrillernya dilangsungkan oleh beberapa generasi pembikin filem selepasnya. Dia bukan sahaja mampu mendebar penonton malah memberikan kesan yang psikologikal yang hebat di sebalik thrillernya.
Apabila manusia mula beralih mencari hiburan dengan membayar untuk berkongsi rasa takut, ngeri dan seram, Hitchcock adalah manusia yang mampu memberikan santapan yang berbeza. Thriller kini antara genre filem yang boleh memberikan nilai komersial yang tinggi. Hitchcock kepada banyak orang akan mengingatkan kesan debaran yang luar biasa dalam karya masterpiece Psycho. Psycho dihasilkan pada kemuncak zaman kegemilangan Hitchcock.
Kekaguman masyarakat perfileman Amerika terhadap bapa filem thriller ini tidak pernah susut. Bukan sahaja kagum tetapi memanfaatkan nahu thriller dan dipergayakan sebanyak mungkin dalam dunia filem Amerika.
Kerana itu Hitchcock terus hidup selagi tidak ada pengarah generasi baru yang memecah tradisi dan menongkah nahu Hitchcock. Dia menjadi besar dalam genre ini kerana berani melanggar hukum hakam thriller sebelumnya. Ternyata tidak ada suatu hukum hakam filem yang tidak boleh dilanggar dan mencipta aliran baru seperti yang dilakukan oleh Hitchcock pada zaman awalnya.
Bagi masyarakat filem dunia, karya Hitchcock adalah khazanah milik umum. Filem-filemnya bebas dihujah, dianalisis malah dikecam seperti yang dilemparkan oleh pengkritik terhadap Psycho. Tetapi pada masa yang sama masyarakat perfileman Amerika memanfaatkan Hitchcock, bukannya memuja melulu kerana berlandaskan nostalgia semata- mata. Karya filemnya sentiasa dikaji oleh para sarjana dan pelajar perfileman.
Cara generasi baru melihat Hitchcock boleh dijadikan contoh. Misalnya sempena ulang tahun kelahiran ke 100 Hitchcock pada Ogos 1999, The Museum of Modern Art di Oxford menayangkan filem-filem retrospektif Hitchcock. Selama dua bulan itu hampir semua filem- filem pengarah besar itu ditayangkan kepada umum selain pameran koleksi peribadinya.
Tetapi anehnya Hitchcock tidak pernah dipilih sebagai pengarah terbaik Anugerah Akademi sekalipun Rebecca pernah dipilih sebagai filem terbaik tahun 1940. Dia hanya diberi anugerah kerana pencapaian cemerlang sepanjang hayat pada 1968. Semasa menerima anugerah itu, Hitchcock hanya berkata, “Terima kasih” dan berjalan meninggalkan pentas.
Sepuluh filem terbaik arahan Hitchcock:
- Vertigo (1958)
- Psycho (1960)
- Notorious (1946)
- North by Northwest (1959)
- Rear Window (1954)
- The Thirty Nine Steps (1935)
- The Birds (1963)
- Strangers on a Train (1951)
- Shadow of a Doubt (1943)
- Rebecca (1940)