Saya terimbas kembali pada tahun 1999 iaitu 19 tahun lalu dua hari sebelum Pilihan Raya Umum 1999. Ketika itu RTM menayangkan drama dua episod, Bisikan Malaya. Cerita dan lakon drama itu ditulis oleh sarjana dan pengkritik filem, Allahyarham Dr. Anuar Nor Arai. Diarahkan oleh Arief Karmahani dan Dr Anuar juga bertindak sebagai pengarah seni.
Bisikan Malaya adalah sebuah lontaran tentang UMNO, sikap orang UMNO dan orang Melayu yang merosakkan UMNO. Drama ini untuk tujuan propaganda UMNO. Tetapi agak malang apabila RTM menayangkan drama ini di luar waktu perdana (tengah malam) dan saya percaya pihak berkenaan tidak “membaca” drama ini. Mereka hanya menonton, itu pun tidak memahami subteks, semiotik dan lambang-lambang.
Kerana tidak puas menonton di TV, saya pinjam pita video (ketika itu belum ada VCD) daripada Dr Anuar dan mengulang tonton beberapa kali kerana tertarik dengan sebuah karya propaganda yang sangat indah dan memikat. Saya tahu Bisikan Malaya adalah sebuah propaganda UMNO.
Tetapi propaganda terlindung di sebalik keindahan kreatif, baik di segi teks dan juga bahasa visualnya. Propaganda yang dituangkan Dr Anuar sangat puitis dan saya pasti penonton lain juga terlupa bahawa ini sebuah karya propaganda. Pemikiran tentang Melayu dan politik jauh lebih menonjol berbanding propaganda.
Bisikan Malaya sangat menginsafkan orang Melayu terhadap perjuangan UMNO pada zaman awal. Dalam Bisikan Malaya, UMNO dan Pas bukan lagi parti politik tetapi sebuah entiti perjuangan Melayu Islam. Watak pemimpin Pas dimainkan oleh Roslan Madun seorang pelakon teater yang kini dikenali sebagai tokoh lagu rakyat.
Menonjolkan watak Tan Sri Yatim (Jalaluddin Hassan), berasal dari Muar, Johor ketika itu (tahun 1999) seorang tokoh korporat yang dihormati di Kuala Lumpur. Pada tahun 1950-an, Yatim seorang aktivis UMNO di Muar tetapi kemudiannya tawar hati selepas isterinya, Halimah (Nasha Aziz) terkorban dalam kemalangan yang diatur oleh musuh politik.
Kawan-kawan lama Tan Sri Yatim di Muar memujuk beliau bertanding dalam PRU 1999. Dia menolak. Tetapi kawan-kawan lamanya tidak berputus asa kerana mereka melihat hanya Yatim yang boleh menyelamatkan UMNO yang sudah mulai dihidapi penyakit bongkak dan gila kuasa ketika itu.
Beberapa kali juga Yatim menolak kerana telah tawar hati dengan politik. Tetapi akhirnya beliau setuju bertanding demi “membetulkan” UMNO dan mencapai kemenangan. Ini bertentangan dengan realiti di luar drama di mana berlaku perebutan untuk menjadi calon.
Bisikan Malaya adalah sebuah intrig politik Melayu dengan Melayu dan Melayu dengan Cina ditampilkan secara periodik pada zaman awal UMNO. Ini adalah perutusan retrospektif tentang UMNO kepada orang Melayu. Drama ini bermula dengan zaman UMNO belum kenal status quo, duit, upah, sogok dan bermewah-mewah dengan hasil parti.
Latar Bisikan Malaya memperlihatkan UMNO zaman aal sebagai entiti perjuangan demi agama (Islam), bangsa (Melayu) dan negara (Malaya). Ketika ini pemimpin UMNO kaya dengan kemiskinan, upahnya hanya nasi bungkus dan air serbat sahaja. Maka ungkapan, “Demi agama, bangsa dan negara” tidak klise atau basi seperti selepas UMNO kenal duit dan bertukar menjadi materialistik.
Saya masih ingat salah satu petikan dialog Yatim dalam Bisikan Malaya, “Tak ada perjuangan yang berdiri di atas pentingnya duit. Kawan (saya) tengok dua zaman perjuangan parti. Pemimpin parti yang kawan (saya) sayang ini tak ada apa. Megah kerana Melayu. Berarak ke sana ke sini dengan capal yang senget tumitnya.”
Saya fikir drama ini bukan sahaja boleh membawa orang mengundi UMNO malah yang lebih penting membetulkan hala tuju dan moral sesetengah pemimpin UMNO yang ada pada 1999. Saya percaya mereka akan terkesan kalaupun tidak menginsafkan tentang pemimpin dulu yang pakai “capal yang senget tumitnya” demi perjuangan agama, bangsa dan negara.
“Inilah saja sumbangan saya untuk Melayu dan UMNO. Nak sumbangan wang ringgit saya tak ada,” itu antara reaksi Dr Anuar sewaktu kami bertemu di sebuah kafe di KLCC selepas pilihan raya 1999. Dr Anuar seorang sarjana dan ahli akademik tetapi bukan seperti sesetengah ahli akademik belaan parti pada masa ini.
Kerana sayangkan UMNO yang dulu, Dr Anuar mengkritik UMNO dan memberikan sosok peribadi yang seharusnya menjadi rujukan UMNO iaitu Tan Sri Yatim. Kalau UMNO mahu terus hidup “seribu tahun lagi” seperti kata Chairil Anwar, Dr Anuar menegaskan, UMNO memerlukan sosok seperti Tan Sri Yatim. Tetapi adakah?
Saya bertanya lagi, kenapa Muar? Tidak di tempat-tempat lain? Kata Dr Anuar Muar sebahagian dari alam kehidupannya. Politik di Muar umpama muara; tenang di permukaan tetapi berkeladak dan berkocak ganas di dasar. “Kalau lihat permukaan sahaja, kamu akan karam di dalamnya,” jelas Dr Anuar.
Hari ini, di luar drama saya tidak tahu tentang UMNO dan sudah tidak mengikuti secara khusus tentang parti ini. Sekadar menumpang dengar bualan dari meja sebelah di gerai-gerai di kaki lima tentang zaman kelam UMNO. Itu persepsi penganalisis kaki lima, mungkin tidak benar sama sekali. Mungkin sebenarnya UMNO berada pada kedudukan yang sangat kukuh ketika ini. Mungkin.