Saya sangat tidak setuju dengan tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas memohon prosiding pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak dalam bahasa Inggeris. Ketidaksetujuan saya bukan disebabkan taksub melulu terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi berasaskan ini melanggar Seksyen8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Apabila sesuatu akta itu digubal dan diwartakan, semua pihak lebih-lebih lagi yang arif dalam hal undang-undang perlu menjunjungnya, yakni melaksanakannya. Saya tidak pasti alasan Peguam Negara tidak memilih prosiding dalam bahasa Melayu.
Keengganan Peguam Negara menggunakan bahasa Melayu telah mencetuskan kontroversi apabila sekumpulan individu menjerit-jerit dan mewujudkan situasi tegang di depan mahkamah di Putrajaya baru-baru ini. Difahamkan sekumpulan individu ini terdiri daripada penyokong sebuah parti politik.
Beberapa akhbar memetik kejadian tegang ini sebagai bantahan atau protes terhadap pihak yang dikatakan meminggirkan bahasa Melayu yang termaktub sebagai bahasa kebangsaan. Malah berita susulan dari kejadian ini juga menjurus pada isu bahasa Melayu.
Walaupun saya sangat tidak setuju dengan tindakan mengenepikan bahasa Melayu di mahkamah, apa lagi dilakukan oeh Peguam Negara tetapi sama sekali tidak percaya bahawa bantahan yang kontroversial itu sebagai satu kesedaran mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tidak sama sekali.
Malah sama sekali tidak setuju usaha memartabatkan bahasa Melayu dilakukan dalam keadaan dan tindakan yang rendah akhlak dan akal budi seperti ini. Bahasa Melayu bukan akan terjulang malah akan semakin dipandang rendah dengan sikap sesetengah pihak yang menumpang isu bahasa Melayu untuk kepentingan politik.
Saya percaya kalau bukan Najib Razak yang didakwa hari itu, gerombolan ini tidak ambil kesah pun bahasa apa yang digunakan untuk prosiding di mahkamah. Jadi, kekecohan atau ketegangan yang berlaku di depan mahkamah itu tidak lebih sebuah reaksi untuk kepentingan politik semata-mata. Di mana mereka ketika pejuang bahasa menentang pelaksanaan Dual Language Programme (DLP)?
Saya sangat realistik dengan perkara ini kerana sejak mencapai kemerdekaan enam dekad lalu, tidak ada kesungguhan politik untuk meletakkan bahasa Melayu di tempatnya. Walaupun begitu bahasa Melayu akan segera digunakan apabila ada faedah politik untuk memperlihatkan kepada rakyat marhaen parti yang menerajui kerajaan endah dan sanggup berjuang demi bahasa Melayu.
Sejak negara mencapai kemerdekaan enam dekad hingga 9 Mei lalu, Barisan Nasional (dulunya Perikatan) menerajui kerajaan. Selama itulah juga tidak ada usaha yang dilihat berkesan meletakkan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bahasa Melayu cuma bernasib baik apabila diletakkan sebagai bahasa kebangsaan dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan. Bagaimanapun Perlembagaan pun enggan dipatuhi. Bahasa Melayu bernasib malang apabila kerajaan tidak melakukan sesuatu terhadap bahasa Melayu yang tinggi duduknya dalam Perlembagaan.
Oleh hal yang demikian saya juga tidak menaruh harapan tinggi terhadap kerajaan baru yang diterajui oleh Pakatan Harapan meletakkan bahasa Melayu di tempat yang disediakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Belum ada petunjuk dalam kerajaan baru sekarang bahasa Melayu akan teranjak dari kedudukan rendah sebelum ini.
Kejadian pertama, Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan akhbar yang diterjemahkan pada bahasa Mandarin sebagai satu tanda yang sangat membimbangkan. Betullah bahasa Mandarin hanya terjemahan. Tetapi agak pelik kerana pihak yang berurusan iaitu media dan pegawai kerajaan semuanya boleh berbahasa Melayu.
Selama lebih 30 tahun dalam dunia persuratkhabaran, belum ada dalam kalangan wartawan akhbar vernakular (Cina dan Tamil) yang tidak mahir berbahasa Melayu. Jadi, apa perlunya diterjemahkan pada bahasa Mandarin?
Kemudian disusuli dengan Peguam Negara menggunakan bahasa Inggeris ketika prosiding di mahkamah. Perkara ini pun berlalu begitu sahaja walaupun banyak dalam kalangan pengamal undang-undang mempersoalkan kewajaran tindakan itu.
Kesimpulannya, usaha meletakkan bahasa Melayu di tempat yang disediakan dalam Perlembagaan menuntut iltizam yang tinggi dalam kalangan pemimpin politik terutama Melayu. Kesedaran terhadap kebahasaan pemimpin bukan Melayu misalnya bahasa ibunda begitu tinggi.
Bagaimanapun kesedaran kebahasaan sesetengah pihak dalam kalangan pemimpin Melayu begitu rendah. Hal ini perlu diberi perhatian oleh pemimpin politik Melayu khususnya kerana pejuang bahasa Melayu sudah melakukan yang termampu dalam sempadannya. Pastikan bahasa Melayu tidak dinafikan sebagai bahasa kebangsaan dulu, kini dan selamanya.