Oleh: Zabidin Haji Ismail
Hajat di hati untuk melihat Bang Mat (Mohamed Radzi Mahmud)
menerima anugerah khas sempena Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-6 pada November ini tidak kesampaian. Beliau telah kembali ke rahmatullah semalam, 26 Ogos 2018 pukul 9.30 pagi di kediamannya di Kota Damansara, Selangor.
Bang Mat yang berusia 78 tahun tersohor dengan samaran nama anak jin, Tamar Jalis menerusi karya autobiografi Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ). Beliau juga mempunyai nama samaran Ramadhan A.M dan Atma A.M untuk genre novel, Ahmad Mahmud (cerpen dan esei) adalah anak kelahiran Beruas, Perak.
Beliau merupakan pengarang Melayu yang muncul selepas era ASAS 50. Asalnya menulis cerpen dan cerpen sulungnya dikesan tersiar dalam Berita Harian Singapura pada tahun 1958.
Bang Mat seorang pendiam, tawaduk dan terlalu berahsia orangnya. Saya terpaksa memujuknya bertahun-tahun sehingga suatu hari pada tahun 2011 beliau bersetuju dengan rancangan saya dan Karyawan Pk untuk mengadakan program Wacana Siri Bercakap Dengan Jin di Ipoh.
Pada sidang media selepas program tersebut Bang Mat membocorkan rahsianya yang dipendam selama 30 tahun bahawa beliau adalah Tamar Jalis yang ramai peminatnya menyangka Allahyarham Jalil Miran. Jalil merupakan wartawan majalah Variasari.
Selepas pendedahan itu banyaklah acara susulan Tamar Jalis bertemu peminat SBDJ yang sudah melewati tiga generasi. Tamar Jalis menulis SBDJ selama 23 tahun enam bulan tanpa henti dan disiarkan di majalah Variasari mulai April 1981 hingga Januari 2005.
Ini merupakan suatu siri yang terpanjang disiarkan di majalah dan tidak dinafikan mencapai rekod dunia mengalahkan siri televisyen Dallas dan Little House On Prairie di Amerika Syarikat.
Perjuangan belum selesai dalam mengangkat karya beliau sebagai khazanah emas Perak Darul Ridzuan selepas Misa Melayu (Raja Chulan Abd Hamid), cerita hikayat ikayat Pawang Ana (Awang Sulung Merah Muda, Anggun Cik Tunggal, Raja Muda, Malim Deman dan Malim Dewa).
Namun sempat juga beliau menerima anugerah khas Kerajaan Negeri Perak iaitu Karyawan Ceritera Sepanjang Zaman disampaikan oleh mantan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada majlis sambutan 100 tahun Beruas pada tahun 2017.
Sayang sekali SBDJ tidak diiktiraf sebagai karya autobiografi terpanjang di Malaysia (284 siri) 221 siri telah dibukukan sebanyak 16 jilid dan siri selebihnya bertebaran di sana sini.
Buku saku SBDJ berharga RM2.50 senaskhah itu menurut penerbitnya, Variapop Group telah terjual kira-kira sejuta naskhah dan beberapa jilid dicetak ulang beberapa kali atas permintaan pembaca.
Kulit buku tersebut sengaja direkalukis gambar rupa jin bagi menarik khalayak tetapi karya ini sebenarnya bukan cerita hantu, jin dan jembalang tetapi pemburuan wira Kulup Mohd Diah atau datuk Tamar Jalis dalam kehidupan masyarakat Melayu sekitar 1950-an hingga 1960-an dan merupakan rakaman sejarah yang bernilai tinggi.
Tamar Jalis menggunakan pendekatan instrinsik manipulatif untuk memaparkan kepakaran Melayu dalam perubatan tradisional, mistik, penggembaraan sehingga ke Sumatera, sejarah tempatan, nilai-nilai setempat, seni mempertahankan diri khususnya persilatan, petua dan sebagainya yang dapat dicungkil menerusi karya ini.
SBDJ perlu diterbitkan semula dalam bentuk kontemporari dan diiktiraf sebagai khazanah sastera genre autobiografi yang ulung di negara ini selepas Enda Gulingku karya Sasterawan Negara, Arenawati.
Semoga Bang Mat menerima curahan rahmat Allah Ta’ala – daripada Dia kita datang, kepada-Nya kita pulang, al-Fatihah buat Tamar Jalis.
Asyik ubah lay out blog je. Pening kepala..hehehe
Ha ha ha nak cari design yang menarik
Saya mencari koleksi buku Bercakap dengan jin dari mula ke akhir….saya mencari edisi pertama yang diterbitkan….sila roger klu ada….
*/* Walaupun Abg Mat sudah tiada namun bukunya masih di hati…..