Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Saya memulakan anekdot ini dengan ucapan jutaan terima kasih kepada pihak Utusan Melayu yang mempelawa saya menyumbang tulisan dalam akhbar ini. Dengan kepercayaan yang diberikan, saya akan sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk akhbar ini yang kesannya dinikmati oleh pembaca dan masyarakat seluruhnya.

Mengapa namanya Dari Puncak? Sebenarnya ini bukan bermaksud penulisnya sudah berada di puncak kejayaan. Tetapi puncak dalam konteks tulisan ini adalah satu disiplin dan etika untuk melihat atau menanggapi sesuatu secara menyeluruh. Melihat sudut-sudut yang terlindung dari mata zahir mungkin disebabkan keterbatasan berfikir atau sebab-sebab lain.

Dari tempat yang tinggi dan keupayaan mata zahir sahaja ada kalanya tidak mencukupi untuk melihat yang terlindung atau sengaja dilindungkan. Maka di sini perlunya keupayaan berfikir di luar lingkaran. Pembacaan dan pengamatan yang tajam menjadi salah satu kaedah untuk melihat dari puncak.

Memang banyak orang membaca tetapi apakah yang mereka baca? Kalau sekadar membaca Whatsapp Group atau laman Facebook yang kredibiliti isi kandungkan amat dicurigai hanya membantutkan pemikiran. Keluasan alam fikir antara ciri-ciri melihat dari puncak untuk mendapatkan tanggapan yang menyeluruh atau hampir tepat.

Dalam peperangan konvensional, perkara pertama yang dilakukan ialah kedua-dua belah pihak berusaha menawan atau menguasai tempat yang tinggi, bukit atau gunung misalnya. Bukit Melawati di Kuala Selangor menjadi kubu pertahanan kerana boleh melihat dengan jelas dari kaki bukit hingga ke laut.

Ini tempat yang strategik untuk melihat pergerakan musuh dari segenap sudut. Hal yang demikian dapat membantu perancangan untuk mematahkan serangan musuh. Begitu juga kedudukan Kota A Farmosa di Melaka pada ketinggian yang membolehkan pergerakan musuh dilihat dengan jelas.

Dalam kewartawanan, melihat dari segenap sudut adalah teras yang utama. Seboleh-bolehnya tidak ada sudut yang terlindung daripada pengamatan wartawan. Maka wartawan perlu berada dan melihat dari puncak yakni mempunyai keluasan maklumat dan pemikiran yang analitikal untuk melihat sesuatu yang berlaku dalam masyarakat.

Orang tua-tua kita sangat bijaksana memetik pengalaman dan pengamatan berinteraksi dengan alam. Pesan mereka, untuk melihat kebenaran atau kepalsuan yang terlindung, terbanglah bersama helang dan tumpang melihat dengan matanya. Terbang menunjukkan berada di tempat tinggi dan mata helang membawa maksud keupayaan melihat yang luar biasa.

Banyak yang terlindung sekiranya kita melihat sesuatu perkara daripada sudut pandangan terlindung atau daripada sebelah pihak. Tanpa disedari kita terikat atau terpengaruh setidak-tidaknya “malu alah” dengan teman-teman di sekeliling untuk berkata suatu yang sebenarnya.

Wartawan berdiri dan terus utuh kerana adanya prinsip dan etika. Maka sama-samalah kita meluruskan dan perlihatkan ketegasan kepada anasir-anasir yang cuba menggoyangkan prinsip dan etika. Tanda aras tidak ditentukan oleh pihak lain melainkan kekentalan prinsip dan kepercayaan wartawan itu sendiri. Sasterawan Negara A. Samad Said menghuraikan dengan jelas impiannya tentang dunia kewartawanan dalam novel realisme magis Hujan Pagi.

Apabila wartawan melihat dengan mata fikir yang mungkin tidak tergapai oleh masyarakat kebanyakkan, di sinilah kedudukan wartawan dan kewartawanan dalam membina peradaban manusia. Masyarakat menumpang mata fikir wartawan untuk melihat dunia yang bulat dan sudut yang terlindung. Maka wartawan bukan sahaja perlu telus malah berkeupayaan membaca dinamiknya yang tersirat daripada statiknya yang tersurat. Yang tersirat itulah sudut yang terlindung.

(DISIARKAN DI UTUSAN MALAYSIA 28 SEPTEMBER 2018)

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *