Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pihak berkuasa berdolak dalik mengenai isu pesta arak dengan mengemukakan peraturan-peraturan tertentu yang sudah dipatuhi untuk mewajarkan Oktoberfest di Kuala Lumpur. Ini bukan pertama kali malah sudah banyak kali sejak kerajaan BN dulu, peraturan-peraturan itu sekadar mewajarkan kelulusan sahaja.

Membantah pesta arak tidak ada kena mengena dengan semangat tidak meraikan prinsip kebebasan beragama di negara ini. Malah bukan juga tidak memberi ruang kepada penganut agama selain Islam mengamalkan amalan masing-masing.

Meneguk arak bukan tuntutan mana-mana agama walaupun ada yang tidak melarang. Tidak betullah kalau hendak dikatakan menghalalkan pesta arak itu sebagai salah satu pendekatan berhemah terhadap agama lain. Yang ditekankan di sini ialah arak menjadi perosak rohani dan jasmani semua manusia. Tidak ada pakar yang mengatakan arak baik kepada manusia dari sudut kesihatan.

Ironinya, kesan buruk straw terhadap kesihatan dengan mudah pula dikuatkuasakan larangannya, hingga menjadi bahan lawak. Memanglah ada kesan buruknya. Persoalannya adakah kesan buruk straw jauh lebih besar berbanding program membudayakan arak? Pesta arak bukan pesta meneguk arak tetapi membudayakan arak.

Maknanya tindakan pihak yang menghalang pesta arak tidak lebih satu usaha demi kemanusiaan sejagat, untuk menghindari dari ditimpa kerosakan dan bahaya. Salahkah tindakan mengelakkan manusia ditimpa bahaya? Arak berbahaya kepada kesihatan dan memporakperandakan ruang sosial. Ada sesiapa hendak membantah?

Antara peraturan karut pesta arak ini ialah acara mesti dibuat dalam premis. Memang jelas mengarutnya. Yang ini saja sudah kelihatan menyelamatkan penganjur kerana definisi premis itu sangat luas. Mustahil mereka menganjurkan pesta arak di Dataran Merdeka atau Dataran Putra di depan Masjid Putra di Putrajaya, setidak-tidak dalam masa terdekat ini.

Maknanya dari segi peraturan tidak ada salahnya pesta arak dibuat restoran di hotel-hotel. Lainlah kalau hotel tertentu dilabelkan dengan jelas “untuk peneguk arak sahaja.” Restoran itu adalah premis dan jelas sekali yang mereka tidak menganjurkan di luar premis. Apa lagi, luluslah permitnya.

Peraturan lain, penganjur dilarang mempamerkan kain rentang, poster atau gegantung (banner) di tempat awam. Ini juga dengan mudah dipatuhi kerana poster sekarang disiarkan di media sosial, Facebook, Instagram dan sebagainya. Penganjur mematuhi semua peraturan. Yang menjadi persoalan sekarang kenapa peraturan sekarut itu masih digunapakai?

Ada pula yang berhujah pesta arak juga ada dianjurkan di Ramallah, Palestin. Itu sebuah bandar suci Islam. Habis kenapa? Yang buruk tetap buruk. Sudah jelas banyak keburukan yang berpunca daripada arak, masakan kerana dianjurkan juga di Ramallah, maka bolehlah di mana-mana termasuk Kuala Lumpur? Siapa yang menjadikan Ramallah sebagai indikator boleh atau tidak boleh pesta arak?

Sebenarnya meneguk arak di negara ini bukan menjadi isu. Walaupun ada peraturan yang melarang orang Islam meneguknya tetapi secara sembunyi atau terbuka ada juga yang eneguknya. Bagi orang bukan Islam, teguklah berapa tempayan sekalipun tidak ada siapa yang melarang.

Undang-undang di Malaysia tidak melarang, bukan sahaja meneguk arak atau iklan arak dan malah mendirikan kilang membuat arak juga dibenarkan. Jadi, mana buktinya wujud peraturan berat sebelah kepada orang Islam? Bukankah ini satu toleransi yang sangat luar biasa bagi sebuah negara yang majoriti Islam?

Banyak rakan saya yang bukan Islam merasa pelik dengan keterbukaan kerajaan dalam bab pesta arak di negara ini. Hujah mereka, suatu yang merosakkan dan berbahaya kepada manusia secara prinsipnya mesti dihentikan. Tidak boleh dibudayakan. Memang agama anutan mereka tidak melarang tetapi arak tetap merosakkan. Ini hujah orang bukan Islam membuktikan arak adalah musuh universal, tanpa mengira agama, bangsa atau budaya.

Membantah pesta arak bukanlah hendak “mengislamkan” secara Teliban orang bukan Islam. Tanggapan itu salah sama sekali. Sebaliknya bantahan itu sebagai satu tanggungjawab sosial kepada sesama manusia. Jadi tidak perlulah birokrat tertinggi agama berputar-putar lidah mencari alasan untuk mewajarkan tindakan “berhemah” mengizinkan pesta arak.

Pihak berkuasa tempatan dan birokrat tertinggi agama perlu melihat pesta arak ini pada agenda tersiratnya. Kita telah memberi ruang seluas-luasnya untuk meneguk arak, tiba-tiba ada pula satu yang berbentuk provokasi meminta lebih daripada itu. Bacalah subteks dan teksnya. Pihak berkuasa tempatan dan birokrat tertinggi agama, nasib rakyat di tangan anda. Buatlah keputusan yang menjurus pada kesejahteraan rakyat, kalau bimbang sangat untuk mengatakan demi kemuliaan Islam.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *