Oleh: Ku Seman Ku Hussain (11.41 am 1 Mac 2019)
Pada 1998 pengarah Peter Weir menghasilkan filem Truman Show. Filem ini mengenai kuasa media yang meragut ruang peribadi Truman Burbank (Jim Carey) yang sejak kecil hingga dewasa semua gerak-gerinya dirakam dan disiar ke seluruh dunia oleh stesen televisyen.
Di luar filem, ketika itu adalah kemuncak fenomena program berkonsep televisyen realiti. Antara program yang paling menonjol ialah Big Brother dan Survivors. Televisyen realiti adalah permulaan di mana kehidupan manusia dikawal oleh lensa kamera iaitu media.
Ketika Truman Show diterbitkan, media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter atau MySpace belum diperkenalkan lagi. Sementara sistem kamera TV Litar Tertutup (CCTV) pula sudah ada tetapi belum menjadi fenomena seperti masa ini. Bagaimanapun selepas 20 tahun lahirnya Truman Show, sebahagian daripada kita juga menerima nasib seperti Truman – lensa kamera memantau kita di mana-mana saja.
Benar, ini salah satu kaedah membanteras jenayah. Tetapi pada masa yang sama CCTV juga meragut ruang peribadi apabila setiap gerak geri dirakam tanpa sedar. Sudah banyak kali pula berlaku di mana footage rakaman yang sepatutnya sulit ini jatuh ke tangan individu tidak amanah kemudian tular di media sosial.
Memang pada asalnya CCTV bertujuan kebaikan. Misalnya dalam kes samun dalam lif di Kuala Lumpur baru-baru ini, teknologi ini membantu mengenalpasti penyamun berkenaan. Tetapi pada sisi lain, kaum wanita khususnya sudah tidak bebas lagi membetulkan baju, kain atau seluar di tempat tersorok. Manusia di sebalik kamera tersembunyi sentiasa memerhati.Bagaimanapun selepas 20 tahun lahirnya Truman Show, sebahagian daripada kita juga menerima nasib seperti Truman – lensa kamera memantau kita di mana-mana saja.
Pada era kebergantungan melampau pada CCTV, banyak premis termasuk di rumah sudah semakin kecil ruang peribadi pemiliknya. Hampir semua bilik dan ruang rumah terutama milik golongan elit dipasang kamera. Antaranya mengintip sikap pembantu rumah terhadap anak-anak.
Ini membuat ruang peribadi dalam rumah sendiri juga sudah hilang. Footage itu sebenarnya sulit dan sangat peribadi. Tidak boleh didedahkan kepada pihak yang tidak berkenaan. Tetapi disebabkan sikap amanah yang semakin nipis, potensi untuk terlepas kemudian dimuat naik di media sosial adalah besar. Jadi, apakah bezanya kita dengan Truman?
Pada masa sama banyak yang teruja hingga membiarkan kehidupan peribadi dikawal oleh media sosial. Ini dilakukan dengan separuh sedar kerana teruja menjadi popular. Tentu banyak yang masih ingat kisah seorang tauke kosmetik yang menunjukkan bilik kebal di banglo mewahnya di media.
Gambaran masa depan yang dibayangkan Peter Weir dalam Truman Show telah berlaku dengan banyaknya. Kerana membiarkan media sosial mengawal kehidupan, seluruh dunia boleh tahu di mana si polan bin si polan makan, tidur atau bercuti. Pada era media sosial, siapa sahaja yang perasan popular boleh memperagakan sendiri kehidupan peribadi semahunya.
Bukankah itu mengecilkan ruang peribadi? Banyak yang melakukannya kerana terperangkap dengan sindrom ‘gila populariti’ kononnya orang ramai boleh mengikuti perkembangan secara masa sebenar (real time) di media sosial. Mereka ini dalam konteks televisyen realiti adalah individu yang dikurung dalam satu premis yang penuh dengan kamera dan menjadi bahan tontonan umum.
Kesimpulannya pada era teknologi maklumat ini, media tidak selalunya menjadi kawan, ada kalanya menjadi musuh yang merampas ruang peribadi yang sepatutnya kita nikmati sebagai manusia merdeka. Tetapi disebabkan kurangnya pengetahuan sisi buruk media apa lagi perasan ‘hebat dan glamor’, mereka menawarkan diri untuk dimangsakan. Program Truman Show terus bersiaran dan tabir kehidupan peribadi kita menjadi tontonan orang.