OLEH: ANUAR AHMAD (3.35 pm 13 Mac 2019)

(1) Ramai pakar kajian perpaduan sejak 1960-an yakin bahawa isu ekonomi menjadi penyebab utama keretakan hubungan kaum. Keyakinan mereka sering kali dialas oleh beberapa bukti. Antaranya, setiap kali berlaku kemelesetan ekonomi atau inflasi yang sangat tinggi pasti akan diikuti dengan berlaku ketegangan kaum.

(2) Misalnya 13 Mei 1969 telah berlaku di sekitar akhir 1960-an dan  awal 1970-an, di saat negara juga mengalami kenaikan inflasi yang tinggi. Jurang ekonomi juga sangat besar. Ekonomi Melayu pada 1970 sekitar 2%, selebihnya kekayaan negara ini adalah milik pelabur asing Barat dan orang Cina. 

Kita pasti tidak akan lupa dengan ‘kebuluran Baling’ di awal 1970an sebagai bukti kemelesetan ekonomi waktu itu. Sekitar tahun 1998-1999 juga telah berlaku lagi kemelesetan ekonomi dan tidak lama kemudian sekitar 2001 diikuti berlaku tragedi rusuhan kaum di Kampung Medan Kuala Lumpur.

(3) Atas bukti-bukti empirikal ini, pakar kajian perpaduan percaya untuk menghalang ketegangan kaum dari terus berulang, langkah yang harus diambil oleh kerajaan ialah meningkatkan semula ekonomi negara dan memastikan agihan ekonomi sampai pada semua kumpulan rakyat khususnya B40. Ini telah dilakukan oleh pihak kerajaan terdahulu dan contoh utama ialah perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

(4) Bagaimana pun, akhir ini ketegangan kaum selepas PRU14 nampaknya tidak berpunca dari isu kemelesetan ekonomi atau inflasi yang sangat tinggi. Kali ini berbeza sama sekali. Nampaknya ketegangan kaum pasca PRU14 lebih cenderung ke arah pertentangan identiti etnik. 

Soal sensitiviti agama, mempertahankan Raja Melayu dan isu ketuanan Melayu. Kekalahan BN semasa PRU14 yang pada awalnya disambut meriah oleh kebanyakan rakyat dengan slogan “Malaysia Baru” nampaknya sudah tidak berpanjangan lagi.

(5) Semakin jelas (walaupun tidak semua) semakin ramai orang Melayu mula membina persepsi bahawa identiti dan maruah mereka ‘dirampas’  oleh penguasa baru. Tentulah ada antara mereka terpengaruh dengan kempen politik parti pembangkang. Tetapi ada juga orang Melayu yang mula percaya identiti etnik / bangsa mereka sedang  ‘dihapuskan’ secara perlahan-lahan. 

Walaupun tiada data terkini yang boleh dibentangkan berapakah ekuiti Melayu telah dipindah milik atau hilang pada era kerajaan baru ini, atau apakah ‘ketuanan Melayu’ telah benar benar terbukti hilang, persepsi dalam kalangan orang Melayu jelas tidak selesa dengan tindak tanduk kerajaan baru di negara ini. Bukti paling jelas ialah kekalahan berturut  Pakatan Harapan (PH) melalui DAP di Cameron Highlands, PPBM di Semenyih dan potensi untuk PKR kalah di Rantau di tangan BN-PAS.

Konflik kaum mencetuskan tragedi 13 Mei 1969.

(6) Jelas Malaysia telah masuk  fasa baru pengurusan hubungan kaum. Tidak lagi sepenuhnya di fasa konflik ekonomi tetapi mula berkembang ke fasa konflik identiti etnik. Berbeza dengan fasa ekonomi di mana kaedah menguruskan hubungan kaum ialah dengan membesarkan kek ekonomi, fasa konflik identiti etnik kini sebagai asas ketegangan kaum nampaknya belum ada kaedah penyelesaian yang ampuh.

(7) Ada pakar-pakar kajian perpaduan yang mencadangkan supaya agenda perpaduan pada fasa kedua ini dilakukan melalui ‘meraikan kepelbagaian’ sebagai kaedahnya, ada pula yang mencadangkan pendekatan ‘inklusif etnik’ untuk menguruskannya. Ada pula yang mencadangkan ‘meritokrasi bersasar’ sebagai caranya. Malangnya tidak ada satu pun cadangan ini boleh dianggap tekal dan mantap dalam menguruskan isu ketegangan kaum pasca PRU14. Memang belum ada.

(8) Sesuatu harus dilakukan segera. Kerajaan baru nampaknya masih mencari-cari apakah formula terbaik untuk menyelesaikan masalah ketegangan kaum di negara ini. Tapi nampaknya mereka masih belum berhasil. Semoga mereka berjaya memformulasikan pendekatan terbaik untuk menguruskan hubungan kaum di negara ini. Kebimbangan kita pasti ada, jika terlalu lambat diuruskan isu ketegangan kaum nanti tak guna lagi apabila ‘nasi sudah menjadi bubur’.

*  ANUAR AHMAD adalah seorang pelajar bidang Sosiologi Pendidikan dan sentiasa berminat dengan perbincangan dan perdebatan berkaitan isu-isu pendidikan negara. 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *