Johan Jaaffar

Dikemaskini pada 8.51 am 6 Mei 2019

Tan Sri Johan Jaaffar telah dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Wartawan Negara 2019 pada 26 April 2019 yang lalu.  Semasa memberi ucapan pada majlis berkenaan,  beliau berpesan kepada para wartawan bahawa ahli politik boleh datang dan pergi.  Bagaimanapun wartawan tetap pada kedudukan mereka.

“Tapi kita tetap berada di sini. Kita tidak akan dinilai kerana kesetiaan kita kepada mereka tetapi kerena kredibiliti dan profesionalisme kita,” demikian pesan Johan. Ini bermakna wartawan tidak perlu menjadi ‘orang lain’  atau hingga setia melulu seolah-olah satu prasyarat bagi wartawan.

Pesan beliau lagi,  sesuai dengan kedudukan wartawan sebagai tunggak keempat (fourth estate) selepas judiasiari, legislatif dan eksekutif,  wartawan mesti menunaikan tanggungjawab itu kepada rakyat.  Maknanya kad prestasi wartawan bukan untuk ditunjukkan kepada ahli politik atau penguasa,  tetapi kepada rakyat.

Dalam keadaan ada sesetengah wartawan yang bersekongkol dengan majikan menjadi penulis pamplet ahli politik,  pesanan ini seharusnya memberikan keinsafan.  Wartawan bukan profesion yang penuh berkemilau tetapi sarat dengan tanggungjawab yang tidak boleh memutihkan yang hitam dan menghitamkan yang putih.

Johan turut memetik peristiwa ‘mogok Utusan Melayu’ pada 1961 yang berlarutan selama 90 hari sebagai satu sejarah pahit para wartawan dan dunia kewartawanan di negara ini. Usaha generasi awal wartawan Melayu  menolak campur tangan politik dalam organisasi media menemui kegagalan. Akibatnya ada wartawan yang dibuang kerja kerana tidak mengikut skrip penguasa.

“Good soldiers don’t die, they just fade away, good journalists don’t fade away, they got fired.”  tegas Johan yang pernah melalui stigma ‘orang Anwar’. Bukan sahaja tersingkir malah tidak punya tempat untuk menulis di mana-mana akhbar. Bagaimanapun Tan Sri A Samad Ismail yang berani memberikan ruang untuk  menulis dalam New Straits Times pada 2002 selama 14 tahun.

Johan juga mengakui angin segar kebebasan media yang dapat dirasakan selepas kerajaan menunaikan janji tidak mengawal media seperti sebelumnya. Bagaimanapun kebebasan akan hilang nilainya kalau tidak dimanfaat dengan penuh bijaksana. 

Kepada kerajaan,  Johan mengingatkan bahawa kebebasan media ini bukan percubaan. Dalam kalangan wartawan yang sebenar wartawan, mereka tidak mahu berulang lagi keadaan di mana parti politik yang memerintah memperketatkan kawalan ke atas media untuk kelangsungan hayat politik.

“Bagi saya kebebasan baharu itu harus dipertahankan. Manfaatkanlah keterbukaan baharu itu  dengan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan zaman  gelap memperketatkan kawalan ke atas media sudah berakhir,”  tegas beliau.  – KU SEMAN

Johan Jaaffar (tiga dari kiri) menerima anugerah daripada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. Di kiri ialah Penasihat Media Perdana Menteri, A. Kadir Jasin.

Berikut adalah ucapan penuh Tan Sri Johan Jaaffar selepas menerima anugerah Tokoh Wartawan Negara di Malam Wartawan Malaysia 2019 pada 26 April 2019.

Saya menganggap penganugerahan ini sebagai satu penghormatan bagi saya. Rasanya saya sebahagian daripada generasi  “orang surat khabar lama” yang semakin berkurang. Generasi saya tidak lagi aktif memimpin akhbar atau organisasi media. Kami merupakan  the last of the Mohicans. 

Editor dan wartawan yang lebih kurang sezaman dengan saya – Datuk CC Liew, Tan Sri Zainuddin Maidin, Datuk Kadir Jasin, Tan Sri Rahman Sulaiman, Mendiang Datuk V.K. Chin, Datuk Ng Poh Tip, Datuk Mohd Nazri Abdullah, Datuk  Ahmad Talib, Datuk Rejal Arbee,  Datuk Hardev Kaur, Datuk Khalid Mohd, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Wong Chun Wai sekadar menyebut beberapa nama, bekerja dalam suasana dan era yang sama sekali berbeza dengan sekarang. 

Saya sendiri bolehlah dianggap accidental journalist  yang terhumban ke dalam dunia kewartawanan tanpa dirancang. Banyak yang mengatakan bahawa saya “outsider” apabila saya diberikan amanah memimpin kumpulan akhbar Utusan Melayu pada tahun 1992. 

Namun demikian semasa saya mula berkhidnat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1977, saya berketuakan tokoh sasterawan-wartawan seperti Datuk Usman Awang dan duduk sebilik dengan Datuk Abdullah Hussein. Usman Awang atau Tongkat Warrant memang terkenal sebagai sasterawan  malah menjadi penerima Amugerah Sastera Negara  yang ketiga pada tahun 1983. 

Namun beliau juga pernah menjadi wartawan  Utusan Melayu di Singapura mulai tahun 1952. Abdullah Hussein pula adalah penerima Anugerah Sasterawan Negara yang kelapan, pernah berkhidmat dengan majalah Gelanggang Filem yang dimiliki oleh P Ramlee pada zaman gemilang filem Melayu tahun 1950-an dan 1960-an.

Tradisi kewartawanan DBP selalu dilupakan oleh pengkaji. Perliu juga diingat bahawa wartawan yang pernah berkhidmnat di Utusan Melayu dan Majlis banyak yang menyambung karier mereka  di DBP pada zaman awalnya. Antara mereka ialah Abdul Wahab Muhammad atau Awal Il-Sarkam, Abu Yazid Abidin atau Wijaya Mala dan A. Samad Ahmad selain Keris Mas dan Usman Awang. Keris Mas dan Usman Awang juga adalah  dua orang pengasas Angkatan Sasterawan 50 atau Asas 50 kemudiannya menjadi orang kuat DBP. 

Tradisi kewartawanan inilah yang dilanjutkan oleh Baharuddin Zainal, Mohd Noor Azam, A.F. Yassin, Sulaiman Masri, Nik Zainal Abdidin Hassan, Fatini Yaakub dan ramai lagi di DBP. 

Malah, dari 13 orang penerima Anugerah Sastera Negara setakat ini, tujuh orang dari DBP. Dari 13 orang Sasterawan Negara,  enam orang pernah terlibat dalam kewartawanan  majalah atau akhbar. Bagi saya hubungan antara dunia kewartawanan dan kesusasteraan di negara ini amat sukar dipisahkan.

Saya lebih beruntung kerana saya pernah berkhidmat di Utusan Melayu, yang dianggap syarikat yang menjadi suara keramat orang Melayu. Tradisi gemilang ini bermula dengan A. Rahim Kajai yang dianggap Bapa Kewartawanan Melayu dan pengasas syarikat itu, Yusof Ishak yang kemudiannya menjadi Presiden Republik Singapura yang pertama.

Dalam tradisi panjang itulah muncul nama-nama seperti Said Zahari (salah seorang tahanan ISA paling lama di negara ini, 17 tahun), Tan Sri Melan Abdullah, Tan Sri Mazlan  Nordin dan Tan Sri Zainuddin Maidin. Utusan mempunyai cerita yang tersendiri dalam mencorakkan dunia kewartawanan tanah air.

Bagi saya, mogok Utusan Melayu tahun 1961 yang berlarutan selama 90 hari merupakan satu sejarah pahit para wartawan ketika itu. Usaha untuk  menolak campur tangan politik dalam menjalankan tugas mereka  menemui kegagalan.

Wartawan berdepan dengan banyak cabaran. Wartawan terbunuh ketika membuat liputan di wilayah berkonflik. Wartawan ditahan, dipenjara malah diseksa dalam menjalan tugas mereka. Dan wartawan dibuang kerja apabila tidak mengikut skrip penguasa. 

Benarlah agaknya kata orang, good soldiers don’t die, they just fade away, good journalists don’t fade away, they got fired. Ramai dalam kalangan generasi saya telah melalui proses itu. Para wartawan yang terpinggir melalui zaman getir untuk menyesuaikan diri, terpalit dengan stigma dan prejudis. Saya mempunyai pengalaman peribadi dalam soal itu – saya tidak punya tempat untuk menulis, sesuatu yang menjadi sebahagian darah daging saya. 

Saya teringat dalam keadaan yang sukar itu, Tan Sri Samad Ismail menenangkan saya dengan mengingatkan nasibnya lebih buruk lagi mengalami tahanan bertahun-tahun. Beliaulah yang memberikan saya ruang untuk menulkis di New Straits Times setiap minggu mulai 2002. Saya menulis sebagai kolumnis di akhbar itu selama 14 tahun. 

Kita tentu sedar cabaran baru bagi wartawan dan organisasi media hari ini. Dalam masa setahun dua kebelakangan ini kita dapat melihat bagaimana Internet dan media sosial menjadi disruptor utama media tradisional. Syarikat media terhimpit oleh pulangan pendapatan iklan yang merosot dan jualan yang mengecil. Malah lebih 2000 petugas media telah kerhilangan pekerjaan dalam setahun dua ini. 

Syarikat media harus membuat penyesuaian, begitu juga pimpinan media  dan para wartawan sendiri – change or be changed. Mungkin model perniagaan harus berubah atau pendekatan cara kerja juga harus difikirkan semula. 

Namum sebagai wartawan, tugas kita tidak berubah. Tuntutan untuk menjadi lebih credible semakin kedengaran. Sekalipun lanskap media telah melalui proses transformasi  namun tanggungjawab kita tidak boleh berubah – etika, komitmen dan niat kita. 

Kata orang news is the first draft of history. Kita pelapor, pencatat dan penganalisis. Kita harus memberikan teguran dan pandangan without fear and favour. Kita dikatakan kuasa Estet Keempat. Maka itu kita harus memainkan peranan yang sepatutnya.

Ahli politik boleh datang dan pergi. Tapi kita tetap berada di sini. Kita tidak akan dinilai kerana kesetiaan kita kepada mereka tetapi kerena kredibiliti, wibawa dan profesionalisme kita. Itu sahajalah nasihat saya pada pengamal media masa ini. 

Saya gembira kerana ada angin segar kebebasan baharu media di negara ini akibat kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihanraya umum tahun lalu. Bagi saya kebebasan baharu itu harus dipertahankan. Manfaatkanlah keterbukaan baharu itu sebaik-baiknya. 

Bagi kerajaan pula, ini bukan percubaan. Kita tidak mahu keadaan lama berleluasa di mana  the control over the press was inversely proportional to the strength of the ruling party. Bila kerajaan lemah, maka kawalan ke atas media diperketat. Zaman itu mudah-mudahan sudah berakhir. 

Namun demikian kebebasan tanpa tanggungjawab pasti membawa kerosakan. Harapan saya hanyalah kerajaan PH akan menunaikan janjinya dalam memastikan undang-undang, akta dan peraturan yang tidak relevan dengan zaman, yang bersifat pukat tunda dan yang membataskan kebebasan bersuara dan media harus dikaji atau dimansuhkan. 

Harapan saya juga bahawa ura-ura mewujudkan Majlis Media Malaysia harus dijadikan realiti. Ini bagi memastikan integriti kewartawanan kita akan sentiasa dipertahankan. Salah saru elemen penting di dalammya membabitkan press complains bureau. Majlis ini harus merupakan inisiatif industri dan bukan dijadikan sebahagian outfit penguasa.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana penghargaan yang diberikan oleh panel pemilih yang dilantik oleh Malaysian Press Institute (MPI). Saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada keluarga saya – isteri dan anak-analk saya yang harus hidup bersuami dan berbapakan seorang wartawan. Terlalu ramai guru dan pembimbing saya juga teman-teman wartawan yang bersama–sama saya dalam susah dan senang. 

Juga pada semua teman-teman saya baik di DBP, Utusan Melayu, Media Prima Berhad, juga yang telah memberi saya peluang untuk menulis, menjadi hos program TV, baik di RTM, Media Prima, Sinar Harian atau banyak akhbar dan majalah yang telah hilang dari sejarah yang pernah menyiarkan tulisan saya.

Kepada semua, terima kasih.  Saya menerima penghormataman ini bagi pihak para wartawan seluruhnya. 

Please follow and like us:

Author / Editor

2 thoughts on “Pesan Johan kepada wartawan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *