Ada pelbagai respon daripada warga maya setelah kerajaan mengumumkan inisiatif memberi elaun sepanjang hayat kepada Sasterawan Negara yang masih hidup sebanyak RM5,000 sebulan. Ada yang setuju, membangkangnya, malah menggunakannya sekadar alasan untuk menghentam kerajaan.
Apapun, inisiatif dari kerajaan ini mengingatkan saya tentang satu peristiwa peribadi pada 2011. Pada tahun itu, saya telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi Pengarah Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) kali ke-3 yang diadakan di Akademi Kenegaraan.
Majlis perasmiannya pula diadakan di Hotel Intercontinental bersekali dengan Jubli Emas persatuan Penulis Nasional (PENA). Sudah tentu, ini ialah pengalaman yang sangat mahal kerana mendedahkan saya dengan perangai manusia, dan dalam konteks ini, manusia itu tidak lain ialah golongan penulis dan sasterawan.
Saya masih ingat lagi ada seorang sasterawan negara yang membuat kenyataan supaya penulis muda jangan turun menyertai perhimpunan ini kerana ini adalah program kerajaan menabur dedak. Kenyataan ini digunakan dan disebarkan pula oleh seorang penulis terkenal. Jangan turun, kata mereka, kerajaan nak tabur dedak.
Tidak cukup dengan itu, ada pembentang yang menarik diri saat akhir kononnya atas alasan tidak mahu terlibat dengan perhimpunan propaganda ini. Saya menghormati keputusan mereka. Namun, saya juga ada cara tersendiri untuk menguji tahap kejujuran mereka. Hasilnya, cukuplah saya simpan dalam ingatan.
Puncak kepada “kempen menabur dedak” ini ialah pengumuman khas oleh Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Razak. Beliau mengumumkan inisiatif RM 5 juta untuk merancakkan penerbitan hasil karya penulis muda dan penjenamaan semula Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) kepada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITMB). Pengumuman oleh Perdana Menteri itu ternyata di luar jangkaan, tiada siapa yang menyangkanya. Besar benar dedaknya.
Ternyata inisiatif itu memberikan kesan yang positif kepada penerbitan buku khususnya sastera orang muda yang pada waktu itu, hampir tiada. DBP waktu itu memang tak menerbitkan buku orang muda sebab, melalui penjelasan oleh salah seorang Pengarah Bahagian yang saya dengar sendiri dari mulutnya dalam sesi meja bulat, “Kami hanya menerbitkan karya penulis mapan dan Sasterawan Negara saja”.
PPMN ke-3 aka program “menabur dedak” itu berakhir juga. Kami tutup dengan pembacaan beberapa resolusi. Beberapa resolusi itu kemudiannya diterjemahkan dalam penerbitan yang banyak, wujudnya sayembara dan penataran ITBM untuk penulis muda hingga ke London.
Suka saya sebutkan, ketiga-tiga “hasil dedak” ini satu pun saya tak merasa, kecuali mungkin beberapa perkhidmatan profesional seperti saguhati penilaian dan saguhati bayaran untuk penyaring pertama Sayembara Penulisan ITBM-BH kali pertama. Seronok juga sebenarnya apabila menjadi pembaca pertama kepada semua manuskrip mentah sayembara. Alhamdulillah.
Namun, hal yang paling nikmat adalah apabila melihat usaha kecil kami itu memberikan kesan kepada semua, termasuk orang-orang yang sebelumnya melarang dan menyatakan jangan turun ke PPMN ke-3 sebab kerajaan nak tabur dedak.
Malah ada dalam kalangan mereka awal-awal lagi menerbitkan buku dengan ITBM. ITBM juga makin membesar selepas itu, kakitangannya bertambah, dan sudah ada JK Penerbitan yang melibatkan pelbagai rakan strategik.
Terus terang, saya menikmati perkembangan terbaru itu, melihat sendiri fitrah manusia, ada yang bermuka-muka, ada yang jujur, ada yang sebenarnya siap sedia mengambil peluang, ada yang kekal warna kulitnya, dan ada yang sentiasa berubah warna kulitnya.
Untuk pengetahuan, dari dedak RM 5 juta itu, saya sangat pasti, saya tidak pernah pun menghantar walau satu manuskrip ke ITBM untuk dinilai bagi tujuan penerbitan, sehinggalah pada tahun 2015, buku saya “Dondang Pembukaan” diterbitkan kerana mendapat tempat pertama sayembara. Sayembara kali kedua itu sudah pasti tidak menggunakan wang RM 5 juta itu.
Justeru, bila kerajaan mengumumkan elaun buat SN, saya menyambut inisiatif tersebut dengan sikap yang positif. Itu adalah tugas sebuah Kerajaan. Sama ada itu dedak atau bukan, seorang penulis yang jelas kesedarannya, tidak pernah pun dibeli oleh dedak kerajaan. Dia akan kekal bersuara sesuai dengan suara hatinya, sesuai dengan kepercayaannya.
Lagipun, duit itu datangnya dari kantung kewangan negara. Seperti mana RM 5 juta itu bukannya dari poket Datuk Seri Najib, RM 5,000 untuk setiap SN itu juga bukannya dari kantung Lim Guan Eng.
* MUHAMMAD LUTFI ISHAK adalah penulis muda. Tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM. Tulisan ini pertama kali disiarkan di laman Facebook Muhammad Lutfi Ishak.