MALANG sungguh nasib rakyat Syria kerana nyawa rakyat negara itu tiada harga jika dibandingkan dengan mereka yang berada di Barat.
Apabila berlaku sahaja insiden tembakan di Ohio, Amerika Syarikat pada awal bulan ini, semua media bertumpu ke situ. Liputannya cukup meluas, dengan reaksi dari peringkat tinggi hingga ke golongan marhaen. Simpati yang diterima mencurah-curah.
Namun dalam kes pembunuhan di Syria, mereka yang menggelar diri sebagai pembela kemanusiaan dan penentang keganasan tidak pula bersuara bahkan sanggup butakan mata dan pekakkan telinga.
Operasi terbaru regim Bashar al Assad ke atas Maaratu al Nu’man, Idlib, Syria, menyaksikan berpuluh mereka yang tidak berdosa menjadi korban dalam tempoh 24 jam.
Pembunuhan beramai-ramai yang masih berterusan sehingga ke hari ini sedikitpun tidak mengundang simpati daripada mereka yang kononnya memperjuangkan isu kemanusiaan sejagat.
Dalam pembantaian besar-besaran ke atas bandar itu pada 28 Ogos 2019, sekurang-kurangnya 14 nyawa terkorban termasuk kanak-kanak empat beradik dan wanita, manakala lebih 34 lagi cedera.
Sasaran ke atas kawasan penempatan awam membuktikan ia bukan serangan biasa tetapi pembunuhan beramai-ramai yang sememangnya dirancang.
Mengulas mengenai kejadian itu, Pengarah White Helmets di Idlib, Abassi Dhekrah berkata, regim Bashar al Assad menggunakan pesawat Su-24 untuk melancarkan 12 roket yang dilakukan secara serentak.
Middle East Eye (MEE) melaporkan sejak empat bulan lalu, lebih 1,000 nyawa telah menjadi korban dan 700,000 pelarian sedia ada terpaksa bergeladangan ke kawasan utara yang lebih selamat untuk berlindung.
Itu belum tentu selamat kerana sehingga ke hari ini, tiada satu usaha daripada mana-mana badan dunia atau pemimpin antarabangsa untuk menghentikan “kegilaan” yang dilakukan ke atas orang awam di utara Syria.
Gambar-gambar ngeri dan tragis hanya setakat berlegar di media sosial dan atas talian. Tiada tindakan sewajarnya diambil. Bagi media utama dan antarabangsa pula, hanya menyiarkannya sesekali sahaja, bukan meletakkannya dalam tajuk utama.
- RAZALI AWANG adalah sukarelawan Syria Media Care. Tulisan ini kali pertama disiarkan di portal AlHijrah Online. Ini adalah pandangan peribadi penulis tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM