Hanya Melayu dan peribumi yang sanggup mati menuntut merdeka (Gambar hiasan).

OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, suasana menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-62 ini agak sepi. Sejak minggu kedua Ogos juga berlalu seperti biasa – tidak ada tanda-tanda ada ‘hari besar’ pada hujung bulannya. Sebaliknya timbul pencerca negara – bendera Malaysia diterbalikkan tanpa tindakan sewajarnya.

Cuma dalam tiga empat hari sebelum 31 Ogos  ruang udara Putrajaya agak gegak gempita deruman jet pejuang sesi  raptai sambutan ulang tahun merdeka.  Deruman menggegarkan itu hanya di udara tetapi  di atas tanah yang merdeka ini sepi sahaja.  Apakah ini kesan lanskap politik baru yang mahu menulis semula sejarah negara ini?

Sebenarnya bangsa yang memperjuangkan merdeka itu sahaja yang tahu nilai hari bersejarah ini.  Mereka yang hanya memerhati pejuang kemerdekaan bertungkus lumus, bermandi darah dan banyak juga yang gugur,  barangkali tidak  berasa apa-apa.

Walaupun sambutan 31 Ogos tahun ini begitu sepi tetapi di jiwa orang Melayu dan peribumi, itulah jasa nenek moyang mereka yang paling besar pada agama, bangsa dan negara. Tanpa keberanian dan pengorbanan mereka negara Melayu ini pasti tidak merdeka.

Yang lain hanya memerhati dari jauh. Yang terkorban, putus kaki, putus tangan untuk mendapat kemerdekaan adalah rakyat asal – Melayu dan peribumi. Ini tanah mereka. Kalau tanah ini juga milik yang lain, kenapa mereka tidak sanggup mati demi tanah ini?

Biarlah kalau orang lain tidak menghargai dan memandang sepi. Tetapi orang Melayu dan peribumi tetap menghargai  kemerdekaan yang laluannya penuh dengan duri dan api.  Banyak dalam kalangan  nenek mereka bukan sahaja  ‘menggadaikan’  airmata tetapi darah dan nyawa untuk merdeka.

Mereka menggadai nyawa melawan penjajah yang silih berganti, kemudian  berdepan pula dengan ideologi komunis  yang dibawa dari  Tanah Besar China hingga menjulang Chin Peng sebagai pemimpin agung komunis di wilayah sebelah sini. 

Pejuang silam antaranya Tok Janggut, Tok Gajah, Mat Kilau, Tok Ku Paloh, Datuk Bahaman  semuanya dari rumpun Melayu yang sangat berjasa kepada tanah airnya.  Mereka sedar negara ini  milik Melayu dan  tidak ada siapa lagi yang diharapkan sanggup mati kecuali orang Melayu dan peribumi.

Perajurit yang terkorban di hutan belantara melawan pengganas komunis adalah daripada golongan sama yang mempertahankan tanah airnya yang satu ini. Mereka tidak ada tanah lain selain Tanah Melayu  yang satu ini. Maka apa sahaja yang menghalang kemerdekaan akan ditentangnya.

Malah yang menggerakkan kesedaran dan membangkitkan semangat rakyat juga dalam kalangan wartawan dan guru-guru Melayu. Nenek moyang kita yang menjadi guru bukan sekadar mengajar tetapi memerdekakan pemikiran. Wartawan Melayu bukan sekadar memberi maklumat tetapi menanam yakin dan sabar bahawa ‘Tanah Melayu pasti merdeka.”

Kerana itu merdeka semestinya membawa makna yang sangat besar kepada generasi orang Melayu dan peribumi yang mewarisi tanah ini. Kaum lain bukan tidak ada, tetapi mereka sibuk melombong kekayaan, mendirikan penempatan.

Ternyata kalau orang Melayu tidak bangkit melawan, Malayan Union tidak dapat dikuburkan. Kebersatuan orang Melayu yang terdiri dari pemimpin masyarakat,  wartawan, guru dan seluruhnya membuatkan  gagasan Malayan Union gagal.  Ini jasa orang Melayu yang tidak ada siapa yang boleh menyanggahnya.

Jasa orang Melayu terhadap negara yang satu ini sangat besar dan mereka berhak diberi kelebihan kerana ini tanah asalnya. Walaupun begitu mereka masih lagi sanggup bertolak ansur dengan kaum lain selepas negara mencapai kemerdekaan.  Sisi ini jarang dikenang oleh kaum lain.

Demi  impian menyokong berdirinya negara merdeka yang masih muda, orang Melayu sanggup mengorbankan sekolah Melayu apabila menerima cadangan kerajaan mewujudkan sekolah kebangsaan. Sekolah kebangsaan  untuk semua – Melayu, Cina dan India.  Tetapi orang Cina dan India  membantah. Mereka tidak membubarkan sekolah bahasa ibunda hingga hari ini. Degil sungguh.

Orang Melayu mengorbankan institusi pendidikan Melayu untuk memberi laluan  sistem pendidikan kebangsaan bagi semua kaum.  Tetapi susu dibalas tuba,  sekolah Melayu lenyap tetapi sekolah Cina dan  Tamil terus kekal dan mendapat bantuan kerajaan.

Terima kasih orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak yang menghadiahkan merdeka. 

Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “Terima kasih Melayu dan peribumi kerana hadiahkan merdeka”
  1. Teruskan ku dgn peringatan begini. Samada mereka sedar atau tidak, insaf atau tidak, samada mereka berlapa g dada atau menutup pintu hati, teruskan dgn bara perjuangan. Katakan ga pada denyut nadi bangsa sampai bila bila selagi darah bangsa mengalir. Takbir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *