OLEH PROFESOR DR HASHIM YAACOB

Sejumlah orang Melayu marah kepada Tun Mahathir apabila beliau mengatakan bahawa Melayu itu malas, suka serah kerja kepada orang lain, berat membayar hutang, tidak bekerja sekuat orang lain dan orang Melayu kurang menguasai ilmu yang diperlukan untuk buat keputusan.

Apakah kata-kata beliau itu tiada kebenarannya atau memang tidak benar sama sekali? 

Tun Mahathir adalah pemimpin Melayu yang banyak pengalaman melihat gelagat bangsanya. Beliau menegur untuk memperbaiki masa depan bangsanya supaya menjadi lebih maju dan dapat bersaing dengan rakyat yang berbilang bangsa dalam negara ini. Saya ingin bertanya, adakah pada waktu ini orang Melayu boleh bersaing dengan bangsa-bangsa lain? 

Lihat dan tengoklah saudara sekalian, kepada dan jawablah sendiri keadaan di sekeliling kita dan jawablah sendiri.

Tun Dr Mahathir Mohamad (Gambar NST)

Tun Mahathir mahu supaya orang Melayu beringat sebelum kena, beringat sebelum habis. Kita jangan melenting kerana ada orang yang menegur demi kebaikan kita sendiri. 

Kalau ada pekung di dada, apakah kita hendak biarkan dan menutupnya dengan baju, kerana kita malu sehinggakan kita tidak sedar bahawa pekung itu makin lama ditutup sebegitu, maka makin ia membesar. 

Pekung sebegini hendaklah disedari oleh tuanpunya pekung, dan mesti mengubatinya sehingga sembuh. Jangan kita menyapu sampah ke bawah permaidani, yang akhirnya akan membawa kemusnahan kepada permaidani itu.

Sekiranya beberapa kenyataan yang dibuat oleh Tun Mahathir  itu adalah benar, maka orang Melayu hendaklah mengambil tindakan untuk membaikinya. Jangan jadi seperti anjing bercawat ekor, iaitu perbuatan yang sia-sia kerana perasaan malu. Orang Melayu mestilah menerima kenyataan dan menghadapinya dengan iltizam untuk mencemerlangkan kedudukan. 

Cuba saudara mengamati dua cerita di bawah ini yang ingin saya paparkan supaya menjadi teladan. Janganlah saudara marahkan saya kerana menyatakan perkara ini. Saya bukan menghina bangsa saya sendiri, jauh dari itu. Tetapi berpendapat ini adalah kewajipan saya untuk pengetahuan saudara sekalian. Moga-moga saudara menyedarinya.

Tun Mahathir pernah berkata bahawa orang Melayu suka menyerahkan kerja kepada orang lain dan tidak ambil berat tanggungjawab, serta tidak bekerja sekuat seperti bangsa lain.

Beberapa tahun lalu, saya mengajar pelajar-pelajar ulangan yang gagal dalam peperiksaan akhir. Terdapat tujuh belas pelajar dalam kelas itu 15 Melayu, satu Cina, dan satu India. Apabila saya meminta mereka untuk menamakan wakil kelas, lima belas pelajar Melayu itu mencalonkan pelajar India yang seorang itu untuk menjadi wakil. 

Apakah ini bukan pekerjaan menyerahkan kerja kepada orang lain dan tidak ambil berat tentang tanggungjawab? Mengapa pula terdapat lima belas orang pelajar Melayu dan  hanya dua orang bukan Melayu sahaja yang gagal? Bukankah ini fakta yang menunjukkan bahawa Melayu kurang bekerja kuat lalu tidak dapat bersaing dengan bangsa lain? 

Jangan pula saudara marahkan saya kerana menyatakan hal ini. Kalaupun saya tidak menyatakan hal ini, orang tahu juga. Saya hanya sayangkan bangsa saya. 

Tun Mahathir juga ada berkata bahawa orang Melayu berat untuk mebayar hutang, dan tak malu kalau tak bayar hutang. Dalam hidup saya, saya pernah memberi hutang kepada orang-orang berbagai bangsa yang memerlukan bantuan. 

Saya dapati orang Melayulah yang kerap sekali tidak membayar hutang kepada saya. Apakah saudara sendiri juga pernah mengalami keadaaan seperti yang saya alami ini? 

Janganlah kita sebagai orang Melayu menjadi emosional apabila kita diberitahu tentang kelemahan kita. Buatlah sesuatu untuk menghapuskan kelemahan itu. Jangan merasa malu untuk menerima hakikat bahawa kita mempunyai kelemahan. Bangsa-bangsa lain juga mempunyai kelemahan-kelemahan sendiri. Berazamlah untuk memperbaikinya kelemahan-kelemahan itu. 

Kalau roboh kota Melaka, mari dirikan Malaysia merdeka. Jangan terlena oleh kesenangan yang sesaat. Mari kita mengilang kemudian membajak pula. Mari kita rajin mengais mengisi tembolok. 

Saukkanlah air, mandikan diri.

* PROFESOR EMERITUS DATUK DR HASHIM YAACOB adalah Naib Canselor Universiti Malaya kelapan. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM

Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “Peringatan Tun Mahathir kepada Melayu”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *