26 September 2019 3:00 AM
NEW YORK 25 Sept. – Israel yang hampir tidak wujud pada 1947 terus merampas tanah Palestin sehingga hari ini dengan tujuan menghapuskan negara tersebut dan perjanjian abad ini oleh Amerika Syarikat (AS) akan menyokong hasrat wilayah berkenaan.
Portal The Jerusalem Post melaporkan, penegasan itu dinyatakan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, semalam.
“Di mana sempadan Israel? Adakah sempadan 1947, sempadan 1967 atau terdapat sempadan lain yang perlu kami ketahui?,” soal Erdogan merujuk kepada pelan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk meluaskan kedaulatan Israel di Tebing Barat.
Ketika berucap, Erdogan menunjukkan empat keping kadbod yang memaparkan peta penduduk Palestin berwarna hijau manakala Israel berwarna putih, bagi menunjukkan sempadan Israel yang berubah dari 1947 sehingga hari ini.
Ironinya, langkah Erdogan membawa kadbod peta Palestin dan Israel itu meniru teknik digunakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semasa mendedahkan program nuklear Iran pada 2012.
Dalam perhimpunan itu, Erdogan juga menyuarakan pandangannya menentang pengiktirafan AS terhadap pengambilalihan Bukit Golan oleh Israel pada 1981, dirampas sama seperti wilayah Palestin lain di hadapan mata dunia.
Beliau juga menuduh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump mahu memusnahkan negara Palestin dengan niat kononnya mahu menyelesaikan konflik Israel-Palestin.
“Saya agak hairan, bagaimana dengan peta Israel ini? Di manakah Israel, di manakah tanah Israel bermula dan berakhir?. Lihat peta ini, di manakah Israel pada tahun 1947 dan di manakah mereka sekarang terutamanya antara tahun 1949 dan 1967?,” katanya.
Erdogan sambil merujuk petanya menegaskan: “Inilah tanah Palestin pada tahun 1947, ini seolah-olah menunjukkan tiada kehadiran Israel di tanah tersebut dan seluruh wilayah adalah milik rakyat Palestin.”
Katanya, tahun 1947 dilihat sebagai tahun tanah Palestin mula berkurangan dan Israel semakin bertambah yang mana pada hari ini, Israel masih berkembang manakala Palestin pula menyusut.
Dalam pada itu, Erdogan juga menggesa PBB mengambil tindakan tegas dan melaksanakan resolusi berkaitan terhadap Israel kerana mereka masih mahu merampas baki tanah berkenaan.
“Di bawah ‘bumbung’ ini, kita menghasilkan resolusi tanpa sebarang kesan, jadi anda fikir bilakah keadilan akan menang?,” katanya.
Tambah Presiden Turki itu, beliau juga menyatakan sokongan terhadap penyelesaian dua negara pada sempadan pra-1967 serta memberi amaran kepada AS bahawa sebarang resolusi mereka tidak akan berfungsi.
Sementara itu, portal TRT World melaporkan, ucapan Erdogan itu menerima pujian daripada komuniti antarabangsa sebagai satu-satunya pemimpin yang menyuarakan untuk golongan Islam yang tertindas di negara-negara lain.
Ucapan Presiden Turki itu tular dalam beberapa laman media sosial terutamanya Twitter dengan tanda pagar #OurVoiceErdogan menjadi ‘trending’ antara 10 tanda pagar global terbaik dengan menerima lebih 330,000 ciapan. – UTUSAN MALAYSIA