Selepas separuh daripada keluarganya terbunuh akibat konflik di negara sendiri, Mohammad Brouk nekad untuk keluar dari Homs, Syria bagi menyelamatkan diri.
Dari Lubnan dia dan keluarganya berpindah ke Turki dan kemudian mendapat status pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk ditempatkan ke negara ketiga.
Selepas dua tahun lapan bulan, impiannya untuk memulakan hidup baru menjadi kenyataan apabila Britain bersedia menerima mereka.
Namun apabila tiba di negara itu, ia tidak seindah seperti yang diharapkan.
Dia dan keluarganya tidak bernasib baik kerana berterusan menjadi mangsa perkauman dan sentimen anti pendatang.
Kejadian pada Ahad lalu (29 September 2019) membuatkan Mohammad berfikir semula keputusan yang diambil sebelum ini. Kekesalannya kemudian disiarkan di portal The Sun.
“Saya lebih rela balik dan mengambil risiko di Syria daripada apa yang berlaku di luar rumah”, reaksi itu diberikan Mohammad selepas dia ditolak dan diludah selain dicaci maki.
Kejadian berlaku ketika dia cuba menyelamat dua anaknya dari menjadi mangsa serangan kumpulan remaja bersenjata di Bridgend, Wales.
Katanya, nasib baik dia berada berhampiran, kalau tidak anaknya sudah tentu ditikam dengan pisau. Akibat kecederaan yang dialami Mohammad kini terpaksa menjalani pembedahan tulang belakang.
“Apabila saya sampai ke negara ini, saya begitu gembira kerana saya rasa telah selamat. Kelmarin saya menangis kerana saya di sini. Seandainya saya tahu ini akan berlaku, saya lebih rela berada di Syria,” katanya seperti yang dilapor The Sun.
Dalam kejadian pada petang Ahad lepas, Oday Brouk dan Qusay Brouk masing-masing berusia 17 dan 13 tahun menjadi mangsa serangan sewaktu dalam perjalanan pulang dari gimnasium bersama-sama dua lagi rakan senegaranya.
Katanya, ketika menunggu bas sekumpulan remaja menghampiri dan mengeluarkan kata-kata kesat. Pada masa sama, salah seorang suspek kemudian mengeluarkan pisau.
Menurut Oday, keadaan menjadi tegang selepas salah seorang daripada penyerang mencekik lehernya dan ketika itu dia cuba melawan untuk melepaskan diri.
“Kami tidak mengendahkan tetapi mereka terus ejek. Salah seorang daripada mereka mencekik dan saya cuba lepaskan tetapi dia enggan jadi saya tolak. Ia amat menyakitkan, saya hampir tidak boleh bernafas,” katanya.
Ketika itu mangsa memekik memanggil ayah mereka dan memberitahu dikejar kumpulan berkenaan dengan kata-kata, “Keluar dari negara aku”.
Ketika ditemuramah, Oday mendedahkan rakan-rakan sekelasnya di Bridgend College sering membuli dengan memanggilnya pengganas.
Susulan serangan berkenaan, seorang remaja berusia 16 tahun telah ditahan bagi siasatan lanjut. /Foto Media Wales
* RAZALI AWANG adalah Perunding Media Syria Care.