OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

Dia meninggalkan tanah airnya yang maju dan menjanjikan kehidupan yang mewah untuk bermusafir di negara bergolak, mundur dan serba kekurangan. Dia berkelana sebagai doktor di Afghanistan selama lebih 30 tahun.

Sekiranya terus bersenang dengan kehidupan di tanah airnya, sedangkan di satu sudut dunia lain ada manusia memerlukan khidmat kesihatan, dia rasa bersalah tidak menoleh pada sudut yang terpinggir itu.

Berbekalkan ilmu perubatan dan pengalaman serta sedikit simpanan, dia  memulakan hidup di Afghanistan yang siang malam dkejutkan bunyi bom dan motar. Dia mempertaruh nyawanya untuk nyawa yang lebih banyak di negara itu.

GAMBAR fail pada 2018. Dr Nakamura sedang memberi taklimat mengenai keadaan di Afghanistan di pejabatnya di Penshawar.

Itulah sosok yang sangat sohor Dr Tetsu Nakamura dari Jepun yang membangunkan prasarana kesihatan kepada golongan miskin di Aghanistan sejak  1984.  Hingga kini dia boleh berbangga kerana usaha membuahkan hasil.

Bagaimanapun semalam (4 Disember),  peluru penyerang menamatkan hayatnya. Nakamura bersama-sama lima pembantunya tewas dalam serangan di bandar Jalalabad di timur Afghanistan.  Nakamura menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke hospital berdekatan.

Difahamkan kawasan berkenaan memang menjadi tumpuan penyerang yang mensasarkan pekerja bantuan kemanusiaan seperti yang dilakukan oleh Nakamura. Tetapi sehingga rencana ini ditulis tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab, sama ada Taliban atau ISIS.

Air mata kesedihan masyarakat setempat yang menikmati usaha murni Nakamura gugur bagai hujan. Mereka kehilangan manusia yang dikirimkan takdir untuk memberi khidmat tanpa balas.

Dr Nakamura dalam satu seminar tahun 2001.

Nakamura membuktikan kemanusiaan menyeberang semua sempadan – agama, etnik dan budaya.  Kelananya begitu panjang untuk memberi khidmat, bukan mengumpul kekayaan. Ini kerana dia bukan politikus juga bukan ahli korporat. Dia doktor.

Dia merasai getir sebagai sukarelawan ketika Afghanistan menjadi rebutan dua kuasa besar – Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat. Bagaimanapun pasca perang yang diimpikan keamanan apabila negara dipimpin oleh anak bangsa tidak kurang juga konfliknya.

Nakamura dilahirkan di Fukuoka pada 1946, melanjutkan pengajian jurusan perubatan di Universiti Kyushu dan  pada 1973 diterima menjadi doktor pelatih.  Minat mendaki gunung sejak remaja itu membawa dia ke timur Afghanistan.

Pada 1984 Nakamura menyertai program Japan Overseas Christian Medical Cooperative Service sebagai sukarelawan di Mission Hospital di Peshawar tidak jauh sempadan Afghanistan – Pakistan.

Semasa serangan tentera Kesatuan Soviet, Nakamura mendirikan  satu pusat kesihatan kecemasan untuk manfaat pelarian Afghanistan yang mengarus ke Pakistan serta mengadakan klinik bergerak di zon perang.

Advertisement
“Sebagai doktor, tidak ada yang lebih membahagiakan selain memulihkan pesakit dan menghantar mereka pulang ke rumah.” –Dr Nakamura.

Pasca perang dan Taliban menguasai Afghanistan, Nakamura mendapat kepercayaan Taliban untuk mewujudkan klinik  untuk keperluan orang miskin di kawasan luar bandar. Dia tidak diganggu meneruskan khidmat sukarelanya.

Pergorbanan Nakamura terhadap Afghanistan sukar dilakukan orang lain kecuali iltizam yang tinggi terhadap kemanusiaan. Dia membina Hospital Penshawar pada 1998 memuatkan 70 katil sebagai pangkalan utamanya. Selain itu dibina juga empat klinik satelit.

Nakamura mengemudi hospital dan klinik bersama-sama pasukan doktor sukarela dari Jepun, doktor tempatan dan kakitangan lain untuk memberikan khidmat kesihatan yang komprehensif kepada 150,000 pesakit setahun. Ini termasuk mangsa perang dari wilayah berdekatan.

Sejak tahun 2000 pula Nakamura memulakan projek air bersih kepada penduduk di wilayah berkenaan. Dia menambahbaik sistem bekalan air menerusi telaga paip. Hingga kini, projek telaga ‘Nakamura’ itu memberi kemudahan kepada lebih 250,000 penduduk.

Peliknya Nakamura tidak mengambil sedikitpun hasil daripada perkhidmatan yang disediakan kepada penduduk. Dia hidup secara amat sederhana hasil simpanan semasa menjadi doktor di negaranya. 

Dr Nakamura menerima Anugerah Ramon Magsaysay daripada Presiden Filipina, Arroyo pada 2013.

Usaha yang tidak mengenal lelah itu diingati apabila diberikan Anugerah Ramon Magsaysay pada 2013. Anugerah ini sebagai menghargai iltizam Nakamura mengurangkan penderitaan semasa perang dengan perkhidmatan kesihatan kepada golongan pelarian dan penduduk di pergunungan yang tersisih daripada pembangunan.

Dalam satu temubual dengan stesen penyiaran NHK beberapa tahun lalu, apabila ditanya mengenai kepulangannya,  Nakamura berkata, “Saya akan pulang selepas semua yang dilakukan selesai.”

Dia menambah, “Di sini kami belum lagi ada kelengkapan untuk pembedahan dan pemulihan.  Saya tidak boleh meninggalkan mereka dalam keadaan begini.  Sebagai doktor, tidak ada yang lebih membahagiakan selain memulihkan pesakit dan menghantar mereka pulang ke rumah.”

Mulai semalam Afghanistan muram. Manusia baik dan pemurah khidmatnya telah tiada. Nakamura tidak sempat pulang ke tanah asalnya kerana kerjanya belum selesai. Orang yang baik, nama dan jasanya sering melintas di garis fikir mereka yang kenal apa lagi menikmati hidup hasil lelahnya. Dr Tetsu Nakamura, insan mulia yang peduli manusia.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *