Keunikan Uzbekistan sentiasa menggamit pelancong.

OLEH SAKINI MOHD SAID (Dari Samarkand, Uzbekistan)

Meskipun cuaca penghujung musim panas begitu terik dan menyengat kulit, namun saya tetap meneruskan niat untuk menziarahi Kompleks Makam Imam al-Bukhari RA yang sudah banyak saya dengar kehebatan seni binanya.

Memasuki kawasan persekitaran yang menempatkan makam cendekiawan Islam, pengumpul dan perawi hadis tersohor ini yang terletak di perkampungan Hartang, daerah Payaryk kira-kira 30 kilometer dari Samarkand ini, saya berasa begitu tenang sekali.

Daripada pintu gerbang kompleks, saya sudah dapat melihat keunikan seni bina Uzbekistan. Pintu gerbang itu diukir indah dengan ayat-ayat Al-Quran serta rekaan geometri.

Di kawasan asal makam ini terdapat sebuah bangunan berbentuk empat segi yang dibina oleh kerajaan Uzbekistan pada sekitar 1997, iaitu kira-kira 1,225 tahun selepas kematian Imam al-Bukhari. Ia dibuka dengan rasmi pada 23 Oktober 1998.

“Cantiknya!” Tidak habis-habis hati saya menyebut ayat ini sambil jari terus membelek mozek berwarna putih, biru, hijau pada pintu besar makam berkenaan.

GEMBIRA JUMPA

Sedang saya leka mengambil gambar serta video, terdengar suara di belakang saya dan seketika menoleh, ada seorang wanita menghampiri saya.

Dia berkata sesuatu tetapi dalam bahasa Uzbekistan yang sudah tentunya saya tidak faham. Berulang-ulang kali dia berkata dengan suara yang semakin kuat. Saya diam tergamam.

Melihatkan apa yang berlaku, wartawan foto Bernama, Mahayudin Mohamad yang turut serta untuk liputan festival muzik berprestij, 12th International Music Festival ‘Sharq Taronalari’ tajaan Kedutaan Uzbekistan di Kuala Lumpur, menghampiri saya. 

Sekejapan juga, pengiring kami, mahasiswi Fakulti Bahasa Inggeris Institut Bahasa Asing Negeri Samarkand, Rozimurotova Nilufar bergerak pantas ke arah kami.

Penjelasannya melegakan hati kami. Rupanya wanita itu bernama Marina dan dia mengenali saya di Amir Timur Square di Tashkent, ibu negara Uzbekistan.

Seni bina tradisi terus dilestari di Uzbekistan.

Ungkapan wanita itu, “Siz meni esladingizmi? Biz siz bilan Toshkentda uchrashganmiz. Amir Timur xiyobonida siz faqat meni suratga tushuryapsiz” kata Nilufar lebih kurang bermaksud “dia mengambil gambar saya di Amir Timur Square. Dia masih ingat saya tak”?

Saya beritahu Nilufar (menyebut nama ini mengingatkan saya kepada seorang artis tanah air yang tersohor) memang saya banyak ambil gambar dan saya lupa wajah wanita yang bernama Marina itu. Tangan saya membelek gambar-gambar yang disimpan dalam telefon bimbit saya dan akhirnya saya menemui gambar Marina.

BEGITU PERAMAH

Memang saya seronok berkenalan dengan Marina di Amir Timur Square di Tashkent. Wanita berusia lewat 30an itu datang bersama rakannya dan seorang lelaki tua. Dia begitu gembira apabila mengetahui saya dari Malaysia dan menceritakan bahawa dia turut mempunyai saudara bernama Sakini, sama seperti nama saya.

Ya, tidak dinafikan kebanyakan warga Uzbek yang saya temui sangat gembira berjumpa dengan rakyat Malaysia. Bermula daripada sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent, Uzbekistan sehinggalah perjalanan balik ke Malaysia, saya sentiasa diiringi keramahan warga Uzbek.

Malah, ada antaranya yang pernah datang ke Malaysia mempunyai plak menara berkembar Petronas di kereta mereka selain mengagumi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Apa yang pasti, biarpun saya hanya berada di negara itu selama seminggu (23 hingga 30 Ogos), namun keramahan penduduknya menjadikan kunjungan pertama saya ini begitu indah sekali.

Istimewanya, mereka melayan saya seperti keluarga malah ada yang mengajak saya ke kampung mereka untuk mengalami sendiri kehidupan di desa. Selain itu, ada juga yang meminta emaknya menyulam “suzani”, kraftangan tekstil kebanggaan warga Uzbekistan untuk diberikan kepada saya.

Wanita dengan pakaian tradisi Uzbekistan.

SAMARKAND, UZBEKISTAN

Uzbekistan, negara yang tidak pernah terlintas dalam senarai destinasi untuk saya melancong. Namun, pengalaman bertugas di sana mengubah persepsi saya. Banyak keistimewaan Uzbekistan termasuk sejarah ketamadunannya yang membuatkan saya merancang untuk menjadikannya destinasi percutian jika ada rezeki.

Malah, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa Uzbekistan juga antara satu negara Asia Tengah yang menyimpan banyak sejarah ketamadunan Islam dan boleh dikatakan menjejakkan kaki ke sini seolah-olah berada di bumi Anbiya penuh barakah.

Advertisement

Ini memandangkan Uzbekistan mempunyai beberapa masjid lama berusia ratusan tahun, Muzium Amir Timur dengan ribuan manuskrip ketamadunan Islam, Kompleks Imam Khazrati atau Hast Imam yang menempatkan Al-Quran tulisan tangan pertama dan dikatakan terdapat bekas percikan darah Saidina Uthman Affan RA pada pertengahan abad ketujuh.

Selain itu, ia juga melahirkan ramai ilmuwan, cendekiawan Islam dan juga pakar bidang matematik serta astronomi seperti Mohammad bin Shahrukh bin Timur Mirza Ulugh Beg Guragan.

Banyak lagi sebenarnya destinasi sejarah ketamadunan Islam di negara Asia Tengah ini khususnya di Tashkent, ibu negara Uzbekistan juga di bandar Bukhara. Namun saya menghabiskan banyak masa di Samarkand kerana festival muzik tersebut berlangsung di sana iaitu di Registan Square.

Samarkand, bandar kedua terbesar di Uzbekistan memerlukan lima jam perjalanan menggunakan pengangkutan darat dan tiga jam dengan Afrosiyab atau keretapi laju daripada Tashkent.

Turut dikenali sebagai Pearl of the East, Samarkand yang dijumpai kira-kira 700 sebelum masihi dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO ini juga tidak terkecuali kaya dengan sejarah kegemilangan Islam yang boleh diterokai.

Ini kerana ia pernah menjadi nadi utama perdagangan dalam sejarah laluan sutera di antara China dan Mediterranean pada zaman purba kala serta pusat penting penyebaran agama Islam sekali gus pastinya bandar ini kaya dengan khazanah monumen bersejarah.

AKAN KEMBALI

Sambil berjalan di sekitar kawasan Makam, jurufoto Bernama, Mahayuddin memberitahu saya beliau pernah mengunjungi Makam Imam al-Bukhari pada 2008.

“Di makam ini ada satu kolam. Semasa aku mengunjungi makam ini pada 2008 untuk satu liputan, ada orang di sini beritahu sesiapa yang minum air di kolam itu akan kembali lagi ke negara ini. Dan, kali ini aku datang lagi,” cerita Mahayudin kepada saya. 

Bagaimanapun, itu hanyalah kepercayaan masyarakat tempatan yang menganggap air kolam tersebut suci dan boleh dikatakan kebanyakan pengunjung sekitar mahupun luar pastinya tidak melepaskan peluang meminum air berkenaan. 

Biarpun demikian, tujuan utama ke kompleks itu adalah menziarahi makam cendekiawan Islam dan perawi hadis terkemuka dunia, Imam al-Bukhari atau nama sebenarnya Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Ju’fiy al-Bukhari.

Dikurniakan daya hafalan tinggi, beliau sejak kecil lagi sudah cenderung menghafaz hadis Nabi Muhammad SAW dan juga mempelajari ilmu agama lain. Imam al-Bukhari meneliti sebanyak 600,000 hadis sebelum memilih hanya 7,275 daripadanya yang difikirkan menepati takrif kesahihan dimasukkan dalam bukunya Al-Jami‘ As-Sahih atau biasa disebut “Sahih al-Bukhari”.

Tidak sekadar menziarahi makam beliau, kompleks itu juga mempunyai muzium dan Masjid al-Bukhari di mana kebanyakannya tidak akan melepaskan peluang menunaikan solat sunat di sana termasuklah saya dan Mahayudin.

KOTA PENUH SEJARAH

Sebuah lagi lokasi yang sarat dengan seni bina Uzbekistan yang hebat boleh dilihat di Registan Square yang terletak di tengah bandar Samarkand. Ia merupakan monumen bersejarah gabungan tiga bangunan madrasah iaitu Ulughbek, Sher-Dor dan Tillya-Kari.

Ia dilabelkan sebagai pemandangan paling indah di negara Asia Tengah dan merupakan antara destinasi wajib juga dikunjungi di Samarkand. 

Semasa zaman purba kala, Registan Square merupakan tempat mengumpulkan penduduk apabila hendak dibuat pengumuman mengenai dekri diraja dan tempat perdagangan untuk kafilah serta penyebaran ilmu agama, matematik dan astronomi. 

Tempat bersejarah lainnya adalah mengamati keunikan seni bina Islam Kompleks Gur-Emir yang menempatkan makam pemerintah, pemimpin unggul Uzbekistan Amir Timur, kompleks Shah-i-Zindah (makam Qusam ibni Abbas, sepupu Nabi Muhammad SAW), Balai Cerap Ulughbek (ahli astronomi Islam) dan banyak lagi.

Memang benarlah, Samarkand merupakan kota penuh sejarah. Dan, pastinya peluang menjejaki negara tersebut merupakan pengalaman amat berharga buat saya. – BERNAMA

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *