OLEH DR MAHADI J MURAT

BILA tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  tamat pada 14 April nanti, usia kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjangkau genap 45 hari.

Dalam masa 45 hari ini fokus utama kerajaan nampaknya bertumpu kepada memerangi Covid-19, disamping melaksanakan beberapa inisiatif dan strategi merangsang “ekonomi sebagai benteng pertahanan” yang mengukuhkan barisan rakyat dan negara.

Yang menariknya, walaupun pemimpin, pengurusan dan jentera kerajaan di bawah PN nampaknya tak banyak yang sibuk di hadapan umum, namun hasil kerja harian dan kesatuan mereka telah mewujudkan momentum yang baik. 

Sekiranya ini dapat terus dilangsungkan, kejayaan besar akan dapat diraih. InsyaAllah. Cara ini juga,  yang terbaik, yang menjawab semua cemuhan dan kritikan orang. “The best argument is actions. Action speak louder than words. Action create results..”, kata orang.

Pada mata orang ramai kerajaan ini adalah yang baik. Yang terbentuk mengikut Perlembagaan  selepas enam hari  teraju kerajaan sebelumnya meletak jawatan pada 24 Februari 2020. 

Kalau ada yang mengatakan ini kerajaan pintu ‘belakang’, atau kerajaan yang dibentuk bukan daripada mandat rakyat, pendapat ini tidak tepat. Kerana, kerajaan ini dibentuk hasil daripada keputusan secara berdepan  antara Ahli Parlimen yang mewakili rakyat, dan Yang DiPertuan Agong, sebagai Raja Berpelembagaan.

Sememangnya benar, rakyat memilih Pakatan Harapan Tun Mahathir sebagai kerajaan pada PRU-14. Tetapi kerajaan ini hayatnya hanya berjalan selama 22 bulan, apabila beliau dengan sendiri dan dengan tiba-tiba meletak jawatan. 

Mandat  lima tahun yang diberikan rakyat kepada PH Tun Mahathir tidak disudahkan, atas pelbagai sebab, terutama kemelut politik sesama sendiri yang busuk baunya.

Soal pertukaran kerajaan di pertengahan penggal Parlimen atau pembentukan kerajaan baru selepas tak ada kerajaan, bukan perkara salah atau janggal dilakukan. Malah ia adalah perkara yang betul, dan merupakan tanggungjawab wajib dilaksana.

Saya teringat,seorang menonton siri televisyen The Crown, dan Designated Survivor, di saluran Netflix. Salah satu adegan dalam The Crown yang menarik perhatian di mana Winston Churcill Perdana Menteri British ke 61 menyebut nama Herold Wilson muda yang tak disukainya kepada Queen Elizabeth II, semasa dia mengadap baginda ketika menjadi Perdana Menteri kali kedua dalam tahun 1951. 

Churcill menjadi Perdana Menteri kali pertama pada tahun 1940 – 45. Dua kali dia menjadi Perdana Menteri macam Tun Mahathir juga.

Designated Survivor  pula  tentang seorang bekas profesor, Tom Kirkman yang dilantik sebagai Menteri (setiausaha) baharu yang dengan tiba-tiba mendapati dirinya terpaksa menjadi Presiden Amerika Syarikat apabila Presiden dan anggota kabinet yang lain terbunuh dalam satu letupan besar di Washington. 

Dalam kesibukan berdepan dengan ancaman pengganas dan berusaha menyelamatkan negara dari kehancuran, Kirkman juga terpaksa berhadapan dengan seorang bekas presiden tua, iaitu Moss yang mencabar kedudukan Kirkman sebagai presiden.

Plot cerita filem memang kena begitu, untuk menarik. Tapi dalam realiti, plot kehidupan kadang-kandang berlebih-lebih dari plot filem yang kita tahu.

Pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri mengikut Perlembagaan dan tidak boleh dipertikaikan lagi. (Gambar Bernama)
Vladimir Putin (Gambar South China Morning Post)

Satu lagi perkara yang mengusik saya ialah tentang Vladimir Putin, presiden Rusia (2000 – 2008) yang tamat tempoh sebagai presiden, dilantik sebagai Perdana Menteri oleh sekutunya presiden Dmitry Medvedev. 

Selepas menjadi Perdana Menteri di bawah Medvedev, Putin kemudian bangkit semula menjadi presiden sekali lagi pada tahun 2012 sehinggalah sekarang. Putin juga menjadi presiden sebanyak dua kali.

Itulah politik yang dikatakan sebagai seni serba mungkin, yang diamalkan orang untuk mencari kebaikan, atau mengejar yang sebaliknya untuk diri

Di Malaysia kisah Tan Sri Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan dipertengahan penggal Parlimen bukanlah perkara luar biasa. Kerajaan pimpinan Tun Razak pun dibentuk pada pertengahan penggal Parlimen, iaitu pada 22 September 1970. 

Kerajaan Tun Razak bukan kerajaan selepas pilihanraya umum. Pilihanraya umum selepas Tun Razak memimpin kerajaan hanya diadakan pada 24 Ogos 1974. 

Selepas Tun Razak, Tun Hussein Onn pula membentuk kerajaan pada 15 Januari 1976, tidak juga dari keputusan pilihanraya umum. Begitu juga dengan Tun Mahathir. Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan kali pertama pada 16 Julai 1981 iaitu pada pertengahan penggal Parlimen, sembilan bulan sebelum pilihanraya umum 22 April 1982 diadakan. 

Begitu jugalah dengan Perdana Menteri yang lain-lain. Semuanya membentuk kerajaan bukan dengan mandat langsung dari pilihanraya umum, tetapi melalui mandat Ahli  Parlimen.

Di United Kingdom pun begitu juga. Kita boleh melihatnya dengan mudah kebelakangan ini. Pertukaran kerajaan Perdana Menteri David Cameron kepada Theresa May, dari Theresa May kepada Boris Johnson semuanya terjadi tidak selepas pilihanraya umum.

Demokrasi ala Westminster yang diamalkan di Malaysia dan negara-negara Komanwel lain, memilih Ahli Parlimen sebagai wakil kepada rakyat, Antara tugas utama mereka ialah membentuk kerajaan. Kaedah “First past the post” (FPTP) ini sesuai dengan iklim sosio-budaya, politik dan sejarah negara yang mewarisi pentadbiran British sejak sebelum merdeka lagi. 

Untuk Malaysia beralih kepada konsep undi popular atau proportionate representation  seperti di Amerika Syarikat atau di Indonesia misalnya, ia memerlukan penelitian mendalam secara menyeluruh yang melibatkan seluruh struktur pentadbiran dan perundangan negara.

Saya menyokong Malaysia kekal dengan first past the post ini kerana merujuk United Kingdom yang telah mengamalkannya semenjak Robert Walpole (1730 – 1742) lagi, kerana, ia adalah model demokrasi mampan yang stabil.

Mengatakan kerajaan PN sebagai kerajaan pintu belakang atau kerajaan yang merompak mandat rakyat di pertengahan jalan adalah prasangka yang amat tersasar, nakal dan daif. – KUSEMAN.COM

  • DR  MAHADI J MURAT adalah pengarah filem, sarjana pengajian media dan Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media (Semesta). Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian KUSEMAN.COM
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *