OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN
TAHUN ini semua dalam kalangan masyarakat terutama yang beragama Islam mesti menanam azam dan melakukan perubahan apabila sudah tidak ada lagi tempat untuk ‘berpesta’ makan sempena Ramadan. Setiap tahun Ramadan menjadikan sesetengah dalam kalangan kita berbelanja lebih untuk memenuhi selera makan.
Berbelanja lebih satu perkara, tetapi lebih memalukan ialah orang Islam yang melakukan pembaziran yang paling besar semasa bulan Ramadan. Setiap tahun ada sahaja statistik jumlah sampah yang meningkat pada bulan Ramadan. Ini termasuklah lebihan makanan.
‘Berpesta’ makan bukan budaya yang baik, tidak kira sama ada bulan Ramadan atau tidak. Makan bukan satu pesta. Tambahan pula pada bulan Ramadan. Kenapa gaya hidup begini menjadi ikut-ikutan seolah-olah sudah tidak boleh dihentikan?
Harus diingat, Ramadan tahun ini bermula lebih kurang sepuluh hari selepas Perintah Larangan Pergerakan (PLP) berakhir pada 14 April. Selama sebulan kita dilarang bergerak untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19, tentu tidak munasabah sepuluh hari berikutnya kita terus bebas.
Cuma yang tamat adalah PLP, penularan virus bergantung kepada kepatuhan masyarakat semasa perintah itu dikuatkuasakan. Bagaimanapun wabak bukan seperti hujan yang boleh berhenti dengan tiba-tiba. Sekalipun pada 14 April negara telah pulih sepenuhnya dari Covid-19, saki baki masih menerawang mencari mangsa.
Mengambil semangat PLP, kerajaan Terengganu dan Melaka telah mengumumkan tidak ada bazar Ramadan di negeri berkenaan. Sementara Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Anuar Musa juga membayangkan keputusan yang serupa. Negeri-negeri lain juga dijangka mengambil keputusan yang sama demi keselamatan orang ramai.
Adalah sangat tepat sekiranya semua negeri mengambil pendekatan mengutamakan keselamatan orangramai – mengarahkan tidak ada bazar Ramadan termasuk yang menjual pakaian. Keadaan di tempat begini mewujudkan perhimpunan yang sudah pasti menjadi agen penularan Covid-19.
Walaupun bazar Ramadan dianggap oleh sesetengah pihak sebagai tempat golongan peniaga kecil menjana pendapatan, tetapi ada dua perkara yang mesti diambilkira. Pertama, mesti mengutamakan keselamatan dan kedua, mewujudkan satu budaya hidup baru tidak mengaitkan Ramadan dengan ‘pesta’ makan serta pembaziran.
Kerajaan tentu ada pertimbangan yang lain sebelum mengarahkan semua pusat membeli belah ditutup untuk menghalang penularan wabak yang sangat bahaya ini. Tetapi orangramai sebagai masyarakat yang berakal boleh menguruskan sendiri keperluan menghindari wabak berbanding membeli baju raya. Seperti tahun-tahun sebelum ini, pusat membeli belah akan penuh sesak sepanjang bulan Ramadan.
Bayangkan, dalam keadaan yang sesak dan bersentuhan antara satu dengan lain semata-mata untuk bergaya pada Hari Raya Aidilfitri, tentulah tidak ada maknanya menjalani PLP selama sebulan untuk tujuan memutuskan rantaian virus.
Oleh yang demikian, ini terletak pada kesedaran individu di manakah keutamaan mereka menjelang hari raya? Adakah kita sedia berkorban untuk berhari raya ala kadar atau sanggup mengorbankan nyawa semata-mata mahu menyambut hari raya dengan pakaian baru? Tidak semua keputusan di tangan kerajaan, banyak juga keputusan di tangan kita.
Mungkin penularan wabak yang mencemaskan ini boleh membawa kita kembali ke pangkal jalan, mengerjakan puasa bulan Ramadan, menyambut hari raya seadanya kerana Aidilfitri bukan ‘pesta’ menjurangkan kaya dan miskin.
Bertolak daripada kesedaran menyambut Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, tahun-tahun berikutnya, bazar Ramadan dan pusat membeli belah akan dimanfaatkan sebaik-baiknya. Kalau wujud kesedaran begini, dengan sendirinya bazar Ramadan dan pusat membeli belah tidak lagi menjadi ‘pesta’. Sebaliknya tempat yang meyediakan keperluan. – KUSEMAN.COM