OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN
SEPANJANG Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac dan dijangka tamat 12 Mei ini ‘memaksa’ sesetengah majikan membenarkan petugas bekerja dari rumah. Kalau tidak kerana PKP banyak majikan yang masih berprasangka buruk dan tidak percaya sesetengah kerja boleh dilakukan dari rumah.
Ada majikan masih lagi memahami definisi ‘bekerja’ ialah berada di pejabat dan di depan ketua. Padahal dengan teknologi komunikasi ada kerja boleh dibuat di luar pejabat dan tidak menjejas produktiviti. Inilah norma baru di banyak negara maju.
Keberadaan di tempat kerja bukan lagi mutlak. Menjaga masa kedatangan dan balik sudah ketinggalan pada era bekerja diukur produktiviti bukan keberadaan di pejabat. Menganggap semua kerja hanya di pejabat sama dengan tanggapan penjajah British terhadap pekerja estet – mesti ada di estet.
Melaksanakan sistem berkerja di rumah antara ciri-ciri pengurusan yang pintar. ‘Pintar’ dalam konteks ini ialah mudah dilaksanakan, meningkat perolehan dan mengurangkan kos. Ini lebih baik daripada mengecilkan operasi (downsizing) yang boleh kurangkan kos tetapi masa yang sama mengecilkan perolehan.
Kajian yang dibuat Gallup di Amerika Syarikat mendapati 33 peratus individu yang bekerja tiga atau empat hari di rumah merasa ‘berkeadaan bekerja’ seperti di pejabat. Malah dengan inisiatif sendiri mewujudkan persekitaran tempat kerja (work station) di rumah seperti pejabat.
Menurut American Economic Review, bekerja di rumah menguntungkan majikan. Ini kerana secara purata gaji akan dipotong sekitar enam peratus bagi yang bekerja di rumah. Majikan dapat menjimatkan kos gaji.
Pekerja pula menikmati penjimatan kos pengangkutan dan belanja di tempat kerja dan yang penting tidak ada masa terbuang di atas jalan. Terlalu lama berada di atas jalan mencetuskan tekanan. Pekerja yang tertekan menjejaskan kualiti kerja.
Masa di atas jalan boleh dimanfaat kepada keluarga. Harus diingat, masa di atas jalan bukan masa bekerja. Inilah masa yang digunakan untuk bersama-sama keluarga. Dari segi psikologi keluarga yang harmoni melahirkan pekerja yang berkualiti.
Misalnya untuk masuk kerja pukul 9 pagi, tetapi banyak tempat di Lembah Kelang, seseorang perlu bangun selewat-lewatnta pukul 6.30 pagi. Ini termasuk menguruskan penghantaran anak ke tempat jagaan dan masa di atas jalan. Waktu balik pukul 6 petang akan sampai ke rumah paling awal 7.30 malam.
Bayangkan kalau bangun pukul 6.30 pagi dan bekerja di rumah pukul 9 pagi. Dua jam setengah boleh digunakan untuk menguruskan keluarga termasuk menghantar anak ke pusat jagaan. Pukul 6.01 petang boleh kembali bersama-sama keluarga.
Tahap kesihatan berkait rapat dengan keadaan di tempat kerja. Sesetengah pejabat terlalu padat dan tidak cukup udara bersih, demikian menurut American Lung Association. Melaksanakan sistem bekerja di rumah boleh mengurang kepadatan di ruang kerja di pejabat. Yang bekerja di pejabat mendapat manfaat daripada rakan-rakan yang bekerja di rumah.
Ini bermakna mengurangkan kesesakan ruang kerja boleh meningkatkan produktiviti. Menurut National Bureau of Economic Research, tahap udara tercemar yang tinggi menjejaskan produktiviti bagi pekerja kolar putih di dalam pejabat. Majikan perlu bijak mengatasi masalah ini.
Lama sebelum wabak Covid-19 dan PKP majikan di negara-negara maju telah memulakan sistem bekerja anjal, menggalakkan bekerja dari rumah dan memanfaatkan semaksimumnya kecanggihan teknologi komunikasi. Sudah lama. Cuma sesetengah majikan di negara ini masih lambat menerima perubahan.
Tahun 2020 boleh dijadikan satu detik mula perubahan minda secara besar-besaran dalam kalangan majikan untuk menyesuaikan dengan kecanggihan teknologi terutama komunikasi. Wabak Covid-19 adalah pemangkin kepada alam dan cara bekerja yang baru.
Semasa Covid-19, penggunaan aplikasi Zoom untuk mengadakan sesi mesyuarat atau diskusi maya meningkat sebanyak 131.1 peratus. Inilah kecanggihan teknologi yang menjadi ekosistem pada sistem bekerja di rumah. Ini belum lagi teknologi biasa dalam grup Whatsapp atau Telegram. Setiap detik boleh berkomunikasi.
Pembangunan sumber manusia menjadi agenda penting sektor pekerjaan di negara-negara yang maju. Majikan sentiasa mencari kaedah untuk memberikan keselesaan dan meraikan sisi keperluan manusia kepada pekerja. Masa yang sama tidak merugikan malah lebih menguntungkan kedua-dua pihak.
Wabak Covid-19 memberikan norma baru kepada semua orang. Termasuk majikan juga pekerja. Norma baru bukan sekadar mencuci tangan dan perjarakkan sosial tetapi sistem kerja yang anjal, bekerja di rumah dan di luar pemantauan. Ingat, definisi ‘bekerja’ pada era kecanggihan teknologi adalah berada di mana, pada bila-bila. Yang diperlukan ialah hasil bukan keberadaan di tempat kerja. – kuseman.com