OLEH RAZALI AWANG
PENGUMUMAN Perdana Menteri Britain, Boris Johnson untuk tidak memberikan skim kematian akibat Covid-19 kepada pendatang yang bergaji rendah telah menimbulkan rasa tidak puas hati golongan berkenaan.
Salah seorang pelarian Syria yang bertarung nyawa di barisan hadapan menghadapi Covid-19 di sebuah hospital di Britain, menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu sebagai mengkhianati sumbangan yang telah diberikan.
Kecewa dengan tindakan Boris Johnson, dalam keadaan penuh emosi Hassan Akkad, 32 tahun memuatnaik rakaman di laman Twitter dengan harapan mesejnya akan sampai ke pemimpin Parti Konservatif itu.
Katanya, sepanjang seminggu bertugas pada bulan lalu, kebanyakan masanya dihabiskan di Unit Rawatan Rapi yang merawat pesakit Covid-19.
“Bagaimanapun hari ini, saya rasa dikhianati, ditikam dari belakang. Saya merasa terkejut apabila mendapati apa yang kamu (Johnson) telah putuskan, kerajaan putuskan untuk mengecualikan diri saya dan rakan-rakan.”
Tulisnya lagi, “Mereka yang bekerja sebagai pencuci, pengangkut barang dan pekerja kebajikan masyarakat, yang mana semuanya bergaji rendah, kamu telah membuat keputusan untuk mengecualikan kami dari skim kematian.”
Dalam luahan yang sama Hassan turut mempersoalkan apa akan jadi kepada keluarganya seandainya dia meninggal dunia ketika bertugas melawan Covid-19.
“Jadi kalau saya mati ketika melawan Covid-19, pasangan saya tidak dibenarkan untuk tinggal di sini. Inikah caranya kamu mengucapkan terima kasih kepada kami”, luahnya dengan penuh emosi.
Sebelum ini, atas rasa tanggungjawab dan berterima kasih, Hassan sanggup bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Whipps Cross selama lima hari seminggu bagi membalas budi rakyat Britain yang sudi menerimanya sehingga merasa seperti berada di negara sendiri.
“Kami pendatang berada di barisan hadapan melakukan tugasan yang mencabar bagi melawan pademik dan sekurang-kurangnya kamu (Boris) memberi keluarga kami tinggal sekiranya kami mati. Tolong pertimbang semula dan berharap mendapat maklum balas daripada kamu”, katanya.
Mengulas mengenai perkara yang dibangkitkan Hassan, kesatuan sekerja meyifatkan keputusan itu sebagai tidak berhati perut. – kuseman.com
- RAZALI AWANG adalah sukarelawan Media Syria Care .