Oleh Ku Seman Ku Hussain
MADU dan racun. Hitam dan putih. Bangga dan mual. Semuanya bersatu pada garis masa Mac hingga September, tahun 2020. Beberapa peristiwa yang berlaku wajar menjadi iktibar dan sempadan supaya tidak mengulangi pada masa hadapan.
Pada garis masa yang sama berlaku penularan dua wabak tidak dilupakan – Covid-19 dan politik yang bercempera. Lebih tragis lagi apabila mimpi-mimpi indah sang politikus tiba-tiba dipancung siang yang tidak disangka-sangka. Perlembagaan tetap dipertahankan, kerajaan pun dibentuk mengikut undang-undang.
Tahun ini menyaksikan Dr Mahathir meletak jawatan kali kedua pada Februari 2020, seterusnya negara dilanda wabak Covid-19 yang memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tetapi berdepan dengan dua wabak sekaligus bukan perkara yang mudah.
Nampaknya jauh lebih mudah memutuskan rantaian wabak Covid -19 dengan pelaksanaan penjarakan fizikal, sekatan rentas daerah dan negeri berbanding wabak politik yang terus menggelegak hingga kini. Sejak Mac, suhunya tidak pernah berkurangan dan sedikit sebanyak memberi kesan pada usaha melawan Covid-19.
Walaupun wabak Covid-19 berjaya diperlahankan ke tahap yang paling minimum di segi angka kes baharu dan kematian, wabak politik pula terus hangat, malah tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda. Banyak pula hujah yang tidak tepat diangkat sebagai fakta dan diratibkan kepada juak-juak yang setia.
Sebenarnya sebalik tragedi wabak yang sangat luar biasa bagi Malaysia dan dunia, kita tetap boleh berbangga dengan kejayaan kerajaan berdepan dengan ujian berat pada abad baharu itu.
Sepanjang Mac hingga September, inilah pencapaian luar biasa kita – kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), pasukan barisan hadapan serta seluruh warga melaksanakan peranan masing-masing.
Perkara yang baik tidak perlu merasa malu untuk mengakuinya. Tidak perlulah terus menafikan kejayaan hanya kerana ia bukan datang dari kelompok yang disokong.
Kerajaan kita memang berjaya berdepan dengan wabak luar biasa ini dengan barisan hadapan yang sangat komited dengan perjuangan dan tanggungjawab. Ketika wabak di puncak kita ada pemimpin yang menjadi nakhoda. Pemimpin ini telah melaksanakan yang terbaik untuk kita dan negara.
Tidak kiralah suratan atau kebetulan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri ketika wabak semakin mengganas. Ketika itu negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) yang berteknologi tinggi pun tertiarap, tetapi Malaysia berjaya merentas fasa genting dengan selamat.
Selain AS, beberapa negara kaya yang lain juga tersungkur – kes positif dan angka kematian meningkat dengan mendadak. Faktornya bukan ketiadaan teknologi tetapi pemimpin telah buntu dan hilang punca, ditambah pula sikap sesetengah warganya yang tidak seperti kita.
Sebahagian besar dalam kalangan kita patuh pada arahan kerajaan. Kesedaran dan kebersatuan memerangi wabak amat tinggi. Akhirnya negara yang kecil ini menjadi rujukan dunia apabila berjaya keluar dari fasa genting.
Anak semua bangsa – tidak kira siapa ayah, ibu dan fahaman politiknya bangkit dengan iltizam yang luar biasa. Tembok kaum dan politik diruntuhkan, mereka menyalakan keyakinan tatkala barisan hadapan lelah dan kehabisan tenaga.
Kita tidak berpengalaman berdepan dengan wabak seperti ini dan ketika bahtera dilanca bencana dan taufan yang menggila, sokongan kepada nakhoda bukan lagi satu pilihan, sebaliknya ia perlukan kepatuhan padu.
PKP adalah langkah paling drastik untuk memastikan keselamatan warga dari ancaman wabak. Apabila menghentikan pergerakan manusia, ekonomi turut menjadi beku. Semua orang terkesan – bezanya hanya kecil atau besar. Malah ini bukan salah sesiapa. Ini tragedi yang mesti dihadapi secara bersama.
Jabatan Perangkaan pada Mei lalu mencatatkan pengangguran meningkat 5.3 peratus menjadikan jumlah penganggur sebanyak 826,100 orang – peningkatan sebanyak 47,300 orang berbanding sebelum PKP. Ini adalah kesan yang nyata akibat Covid-19 dengan pelaksanaan PKP.
Namun dalam kecemasan berdepan masalah sebesar ini, wabak ini ternyata masih tidak berjaya meredakan gelora politik kepartian yang tidak kurang hebatnya.
Hari ini dalam enjin carian Google hanya mengambil masa 0.4 saat untuk mencari 47.7 juta kata carian ‘pintu belakang’ dan 0.31 saat untuk mencari 99,700 kata carian ‘tebuk atap’. Kedua-dua ini adalah simpulan bahasa Melayu yang tiba-tiba menjadi sohor kini (trending) sepanjang enam bulan kebelakangan ini. Simpulan bahasa ini meniti pada setiap bibir penyokong tegar politik yang berlawanan arah.
Ketika kerajaan berhempas pulas melawan wabak, ada pihak yang mempopularkan dua simpulan bahasa ini. Seolah-olah inilah kata-kata yang wajib apabila membuka mulut di siaran langsung melalui media sosial.
Kita yang waras wajar menerima sohor kini kedua-dua simpulan bahasa ini dengan fikiran yang positif. Tidak semua perkara perlu diberikan reaksi atau dilayan dengan tidak baik. Adakalanya diam dan senyum menjadi jawapan yang paling menyiatkan rasa.
Menoleh sejarah, kita banyak bersatu dan berjaya menempuh ujian setiap kali tanah air diganggu-gugat oleh anasir luar yang mahu menjajah kita. Kita boleh bersatu hati dalam memerangi serangan pandemik, tetapi apabila buka mulut sahaja pasal politik, kita bergasak semahunya.
Maka, di manakah fungsi politik yang mengatur sistem kehidupan manusia untuk hidup teratur dan sejahtera? (UTUSAN MALAYSIA 7 September 2020)