Secara umumnya kelab malam membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

“EKONOMI negara kita sedang menunjukkan tanda-tanda pemulihan setelah hampir semua sektor dibuka semula. Yang tak buka hanya kelab malam. Saya fikir kalau tak buka selama-lamanya pun bagus juga kot,”  kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Konvensyen Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.

Saya sangat suka dengan petikan, “Saya fikir kalau tak buka selama-lamanya bagus juga kot.”  Ia sangat bermakna walaupun dilaporkan Muhyiddin berkata sambil tersenyum.  Mustahilkah kalau benar-benar dilaksanakan? 

Kalau ‘mustahil’ menutup semua kelab malam, boleh sahaja tidak mengeluarkan lesen baharu. Rasanya cukuplah ruang yang diberikan pada kelab malam menjadi pemangkin kehidupan berfoya-foya dan hedonisme. Ini kerana kebahagiaan bukanlah dengan keseronokan semata-mata tetapi mengisi hidup dengan lebih bermakna.

Siapakah yang mahu menafikan kelab malam tidak menjadi pemangkin kehidupan tidak berakhlak? Kelab malam tumbuh dengan tiga serangkai – pergaulan bebas, wanita dan arak.  Beritahu saya kelab malam yang melarang ketiga-tiga perkara ini.

Jadi, apa isunya kalau ditutup, dikurangkan jumlahnya atau menghentikan pengeluaran lesen baharu? Setakat ini saya belum menemui kebaikan atau sumbangan kelab malam kepada masyarakat umum.  Kalau ada pun baiknya, tetapi angkara dan keburukan jauh lebih besar yang menjurus pada kerosakan dalam jangka masa yang panjang.

Beberapa tahun lalu ada menteri cadangkan diwujudkan sebuah kawasan ‘red light’ untuk memberikan hiburan malam kepada pelancong dari luar negara. Tentu kita faham maksud hiburan malam yang dimaksudkan itu. Hujahnya, idea itu merangsang sektor pelancongan.

Polis telah menyerbu dan menahan 310 individu di sebuah kelan malam di Damansara kerana melanggar PKPP baru-baru ini (Gambar Harian Metro)

Kalau saya berpeluang bercakap dengan menteri berkenaan ketika itu, saya akan beritahu dia bahawa pelancong datang ke negara ini bukan mencari hiburan. Kalau mahu mencari hiburan, banyak lagi tempat di negara lain yang lebih bebas industri hiburan dan seks mereka.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun sangat menjejaskan ekonomi,  tetapi pada sisi lain boleh memberi manfaat kepada yang rajin berfikir. Misalnya sepanjang PKP  warga bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur berpeluang menyedut udara yang segar.

Malah Sungai Kelang dan Sungai Gombak yang  berkeladak di tengah-tengah Kuala Lumpur juga bertukar menjadi bersih. Ini  kerana kegiatan di kawasan  industri dan segala macam restoran mengalirkan sisa kotoran ke longkang seterusnya ke dua sungai ini. 

Belum pernah dalam sejarah Kuala Lumpur keadaan alam dan udaranya begitu bersih seperti sepanjang PKP. Semua ini adalah gambaran bahawa alam yang jernih dan bersih boleh dicapai dengan mengawal kelakuan manusia.

Maka jasa paling besar PKP ialah menghentikan kegiatan yang menjurus pada keruntuhan akhlak di kelab malam, pusat judi dan tidak terkecuali pusat pelacuran.  Semasa PKP operasi kegatan ini terhenti dan Kuala Lumpur bebas  daripada segala pencemaran akhlak dan moral.

Ini baru selari dengan kedudukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara sebuah negara Islam.

Maknanya selain mendatangkan kesukaran kepada banyak pihak,  PKP  juga membuktikan Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar lain boleh ‘bersih’  daripada kegiatan yang bertentangan akhlak, dengan syarat penguasa  melaksanakan dengan penuh iltizam.

Inilah hikmah tersembunyi PKP yang tidak disingkap oleh sesetengah dalam kalangan kita. Oleh yang demikian,  rajin-rajinlah berfikir dan memerhati serta mencari petunjuk daripada segala sesuatu yang berlaku di depan mata. PKP memang suatu yang menyerikkan tetapi ada yang baiknya.

Pada masa yang sama PKP juga membuka helai demi helai kelakuan buruk manusia – salah satunya mewujudkan perniagaan yang hasilnya memberi keruntuhan kepada manusia sendiri. Tidal adillah mengkayakan tauke kelab malam dengan merosakkan yang lain.

Di kawasan di mana premis kelab malam beroperasi  juga kerap berlaku jenayah dan mendatangkan kegusaran kepada warga di sekitarnya. Orang mabuk memekak, pergaduhan dan tidak kurang juga yang membawa pada pembunuhan. Bukan kemajuan begini yang kita cari.

Saya tidak tahu berapa banyak sumbangan pengusaha tempat-tempat seperti ini pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kalau menyumbang pendapatan yang sangat besar sekalipun, penguasa mesti memilih yang menjurus kesejahteraan hidup warganya. 

Jangan pula ada yang bermimpi hendak menjadikan Kuala Lumpur seperti Las Vegas. Beberapa tahun lalu keheningan dan kedamaian malam di Putrajaya pun cuba digugat apabila ada menteri menganggap pusat pentadbiran itu ‘mati’ di sebelah malam. 

Untuk ‘menghidupkan’ malam di Putrajaya,  sebuah kelab malam pernah dicadangkan di Putrajaya.  Nasib baik cadangan ini tidak menjadi kenyataan. Mereka lupa bahawa Putrajaya dibina dengan meniupkan roh Islam yang sejahtera untuk semua – Islam dan bukan Islam.  Malah digariskan pusat pentadbiran Persekutuan ini bebas arak, pusat hiburan dan segala yang menjadi entiti merosakkan susila.

Memang benar, kehidupan malam di Putrajaya tidak seperti Jalan P. Ramlee atau Bukit Bintang di Kuala Lumpur yang sinonim dengan arak, wanita dan muzik liar dan tidak kurang juga jenayah. 

Suasana di Putrajaya memang sunyi kalau mengikut definisi kehidupan malam seperti di Kuala Lumpur. Tetapi sebenarnya meriah apabila warga keluar beriadah di sekitar tasik di tepi Masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan. 

Malah dataran di depan Masjid Putra sentiasa riuh-rendah dengan hilai ketawa kanak-kanak bersama-sama keluarga. Suasana ini sangat harmoni, sesuai dengan definisi teras berdirinya Putrajaya iaitu adil, tertib, bersih dan mendokong cara hidup yang sejahtera.

Kesejahteraan tidak datang dengan gaya hidup yang hanya berpaksikan keseronokan tanpa batas seperti ditawarkan di kelab-kelab malam. 

Sebagaimana kita bahagia tatkala memandang langit tanah air bersih dan jernih, begitulah juga harapan kita pada budaya warganya. Cukup-cukuplah berseronok tanpa batas, sudah tiba masanya gurauan Muhyiddin direnung dengan penuh tanggungjawab. (Utusan Malaysia 21 Sept 2020)

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *