SEPERTI jutaan mangsa konflik Syria yang lain, Hurriya atau Umm Walid dan Shamsa atau Umm Muhanna, terpaksa menjalani hidup jauh berbeza dengan apa yang pernah dikecapi satu ketika dahulu.
Bagi Umm Walid dan suaminya, Mustafa serta anak-anak, mereka terpaksa berpindah dari kampung Tal Hattabat di selatan Aleppo dan kemudian menetap di kem Airport Road yang terletak antara Salqin dan Harin di utara Idlib.
Kisah yang sama juga menimpa Umm Muhanna dan keluarganya yang berlindung di situ selepas melarikan diri dari Barada. Lima tahun berlalu, mereka terpaksa menempuh pelbagai kesukaran.
Namun bagi kedua-dua wanita ini, mereka mempunyai cara tersendiri untuk menangani tekanan yang dilalui. Caranya, menjadikan khemah yang didiami bukan setakat tempat berteduh tetapi lebih dari itu.
Secara luaran, ia nampak dimamah tahun, namun susun atur dalamannya menyenangkan mata memandang. Segalanya ringkas, kemas dan tersusun.
“Disebabkan perpindahan, kami telah melalui keadaan yang amat payah, yang tidak dirasai semua orang. Jadi kami cuba memperbaiki keadaan psikologi diri sendiri”, kata Umm Walid.
Dia yang membantu suaminya menjual pakaian di pasar lambak berhampiran menggunakan masa lapang menghias khemah dan halaman.
“Suami saya begitu menyanjung idea dan apa yang saya usahakan. Dia tolong tengokkan bunga dan pokok. Empat orang anak saya amat gembira dengan keadaan ini”, jelasnya.
Di sekeliling khemahnya terdapat 35 jenis tanaman dan pokok bunga yang mempunyai pelbagai fungsi dan khasiat.
Cerita yang hampir sama dikongsi Umm Muhanna yang sememangnya telah lama menjadikan menanam bunga sebagai hobi. Sebelum konflik lagi.
“Kami menanam di sekeliling khemah untuk mencantikkan dan pandangan semulajadi,” jelasnya.
Bagi suaminya, Mubarak yang bertugas sebagai sukarelawan White Helmets apa yang diusahakan Umm Muhanna dapat menenangkan diri sekaligus mengurangkan tekanan yang dilalui.
“Bunga memberi kami harapan ketika berhadapan dengan tempoh masa ini”, katanya seperti yang dipetik dari Middle East Eye.
- RAZALI AWANG adalah Perunding Media Syria Care.
terimakasih kak artikelnya sangat membantu tugas kuliah saya. sukses terus dan ditunggu artikel selanjutnya
perkenalkan nama saya Sarwono dari ISB Atma Luhur