RAKYAT perlu berhati-hati dengan tindakan sesetengah elit politik negara ini yang mempergunakan frasa ‘mandat rakyat’ untuk menggugat kerajaan sedia ada yang mengikut lunas undang-undang tertinggi – Perlembagaan Persekutuan.
Frasa ‘mandat rakyat’ diratibkan di sana sini untuk mengabui mata fikir rakyat bahawa kerajaan sedia ada tidak mendapat mandat rakyat tetapi menyelinap ikut ‘dari pintu belakang’. Walaupun sebenarnya mengikut Perlembagaan dan melalui pintu depan Istana Negara.
Apabila melalui pintu depan Istana Negara, ada lagikah rakyat yang masih percaya kerajaan sedia ada mengikut ‘pintu belakang’? Kalau ada, elok mereka membuka jendela fikir seluasnya untuk melihat kebenaran.
Keluarlah dari belenggu politik pasca kebenaran (post truth) yang menterbalikkan kepalsuan menjadi kebenaran.
Buktinya elit politik cuba memberikan persepsi kerajaan sekarang sebagai tidak sah, inilah warna sebenar elit politik yang mempergunakan semua perkara waima isntitusi beraja. Ketika rakyat bertungkus lumus melawan wabak penyakit dan ekonomi yang teruk terjejas, elit politik terus membuat onar untuk mencari ruang politik.
Di mana letaknya demi kepentingan rakyat yang meniti di bibir kalau dalam keadaan yang sangat menekan rakyat pun mereka tidak insaf dengan kelakuan buruk untuk ke puncak kuasa? Siang dan malam merangka strategi untuk menumbangkan kerajaan padahal Pilihan Raya Umum (PRU15) masih jauh.
Adakah puak elit politik ini mengambil kira kepentingan rakyat ketika dengan sengaja mencipta Pilihan Raya Kecil (PRK) yang menjadi taktik untuk kepentingan politik? Adakah elit politik ini mendapat pandangan rakyat sama ada perlu atau tidak PRK?
Wakil rakyat yang ada adalah pilihan rakyat tetapi dipaksa meletak jawatan dan kerajaan terpaksa menanggung belanja PRK yang bermotif politik ini. Adakah PRK yang sengaja dibuat itu satu ‘mandat rakyat’?
Menggunakan klausa tertentu elit politik berupaya mencipta PRK yang sebenarnya tidak perlu sama sekali. Tujuannya sebagai jalan pintas untuk menghantar si polan elit politik ke Parlimen. Ini menunggang rakyat bukan kepentingan rakyat.
Apabila kerajaan sekarang dibentuk mengikut Perlembagaan, elit politik berkepentingan menganggap ‘pintu belakang’. Tetapi tindakan mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk menumbangkan kerajaan bukan ‘pintu belakang’?
Kesimpulannya rakyat perlu berwaspada dengan kelicikan dan mulut manis elit politik yang seolah-olah menjadi hamba kepada rakyat, sedangkan hakikatnya menunggang rakyat. Inilah buruknya demokrasi – apabila wujud elit politik yang hanya mahukan kuasa. – Ku Seman