RAKYAT sudah terlalu lama bergantung kepada pemimpin politik untuk memimpin mereka. Rakyat tahu tapi alpa, pemimpin politik dipilih dalam kalangan orang politik, maka yang dipilih ialah pemimpin politik, bukan pemimpin rakyat.
Pemimpin politik menjaga kehendak dan nafsu mereka – orang politik. Kehendak dan kepentingan rakyat bukan keutamaan orang politik.
Pemimpin politik menyuruh rakyat bersatu menyokong, tapi mereka tidak bersatu untuk menjaga kebajikan rakyat. Sebabnya orang politik di sekeliling pemimpin politik tidak mahu pemimpin mereka bersatu.
Alasannya mudah. Sekiranya pemimpin politik bersatu demi rakyat, orang politik akan jadi tidak relevan lagi. Pemimpin politik menjadi lebih relevan dan rakyat akan lebih makmur tapi orang politik akan merana kerana sudah tidak popular.
Jika rakyat mahu pemimpin yang mengutamakan kehendak rakyat, rakyat kenalah lakukan dua perkara ini. Pertama, nyahkan orang politik yang mengepung dan merosakkan pemimpin mereka.
Kelompok inilah yang jadi batu api merosakkan institusi kepimpinan Melayu yang sebelum ini sungguh berperadaban. Kedua, rakyat memilih pemimpin dalam kalangan rakyat, seperti orang politik memilih pemimpin dalam kalangan mereka.
Sebenarnya yang bercita-cita hingga meroyan hendak menjadi Perdana Menteri bukan pemimin rakyat. Spesies seperti ini hanya merasakan mereka cukup hebat dan rakyat terlalu memerlukan mereka jadi Perdana Menteri. Spesies seperti ini tidak pedulikan rakyat dah rakyat juga sudah bosan dengan mereka.
Usahlah rakyat bersedih dan keliru. Tak perlulah rakyat juga jadi meroyan dibuatnya. Zaman datuk-nenek saya dulu majoriti rakyat buta huruf, mereka ikut saja apa kata dua-tiga kerat dalam kalangan yang celik-huruf sikit tapi jiwanya murni untuk memimpin mereka.
Zaman saya majoriti yang seangkatan buta politik, kami ikut saja apa orang politik kata, sekalipun orang politik itu buta-hati.
Zaman cucu-cicit saya nanti menjadi majoriti buta-sejarah, sebab subjek sejarah diajar sekadar untuk keperluan akademik. Mereka mengutamakan survival dalam dunia tanpa sempadan yang kuat dipengaruhi budaya global.
Dalam arena politik ketika itu nanti, parti politik sudah tidak relevan. Masing-masing pilih pemimpin untuk perjuangkan kepentingan mereka. Sebagai rakyat, pengundi dan punca kuasa.
Pemimpin yang mereka pilih akan ke Parlimen memperjuangkan hak pengikut atau pengundi masing-masing. Siapa yang hendak menjadi Perdana Menteri jadilah, sebab duduk saja atas kerusi Perdana Menteri, kisah hidup mereka akan terpapar di semua media dan satu dunia tahu akan mengetahuinya.
Malah, percakapan telefon berpuluh-puluh tahun yang silam pun akan terbongkar. Itulah ragam dunia menjelang 2050. Begitulah panasnya kerusi Perdana Menteri ketika itu.
Soalnya, kita sekarang ini terlalu rimas dengan pemimpin politik yang saban hari meroyan tatkala rakyat di seluruh negara berjurai airmata, kais pagi makan pagi, menyabung nyawa berperang dengan Covid-19 yang semakin ganas juga meroyannya.
Majlis Perundingan Melayu (MPM) telah mengamanahkan seseorang menerajui satu pasukan petugas yang melibatkan banyak NGO untuk menghasilkan Manifesto Rakyat, mengajak rakyat bangkit memilih siapa dalam kalangan mereka yang berjiwa rakyat untuk ditampilkan berperanan sebagai pemimpin rakyat.
Tokoh-tokoh ini tidak perlu berparti politik. Setiap daripada mereka hanya perlukan jentera kecil menggerakkan gelombang masing-masing untuk rakyat memilih rakyat. Bukan masanya lagi Melayu jadi bangsa yang banyak cakap dan diperbodohkan pemimpin politik.
Melayu sudah tiada masa untuk bercakaran sesama sendiri, kolek sudah hampir karam, dapur sudah tidak berasap, anak sudah tak ke sekolah dan Covid-19 sudah tidak terbendung lagi. Jangan sampai semua masjid dan surau pun tak mampu menampong gelendangan dalam kalangan Melayu.
- DATUK DR HASSAN MAD adalah Setiausaha agung MPM. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mengambarkan pendirian KUSEMAN.COM.