MAULIDUR Rasul atau hari keputeraan Baginda Rasulullah SAW esok (29 Oktober) bersamaan 12 Rabiulawal 1442 Hijrah bukanlah satu acara tahunan yang biasanya akan dilupakan sehinggalah tarikh yang sama muncul pada tahun seterusnya.
Walaupun acara sambutan dengan perarakan yang gilang-gemilang tidak dapat diadakan, perkara yang penting daripada Maulidur Rasul adalah bagaimana untuk membawa tumpuan khalayak menghayati keperibadian Nabi junjungan sekalian umat Islam.
Dalam keadaan krisis untuk mencari tokoh atau ikon pemimpin yang tinggi integriti dan karismanya, amat tepat sekali Nabi Muhammad SAW dijadikan rujukan untuk melahirkan generasi yang bertanggungjawab terhadap agama melalui sifat-sifat yang dimiliki oleh baginda. Nabi Muhammad bukan sekadar Man of the Year tetapi pemimpin unggul sepanjang zaman.
Tiada tokoh dalam kalangan manusia yang sehebat Nabi Muhammad SAW daripada segala sudut; pemikiran, kepimpinan dan tingkah laku yang terpuji waima ketika berdepan dengan musuh yang mahu menghapuskan Baginda.
Dalam keadaan mutakhir ini di mana kita sering berhadapan dengan krisis lunturnya sifat-sifat terpuji dalam kalangan sesetengah pemimpin dunia Islam, Nabi Muhammad wajib ditonjolkan sebagai petunjuk dan rujukan untuk memandu ke jalan yang diredai Allah.
Wujudnya Islamofobia dalam kalangan masyarakat dan pemimpin Barat membuktikan pemimpin-pemimpin di dunia Islam gagal menonjolkan pemikiran dan sifat-sifat menjunjung keamanan dan kedamaian yang dipelopori oleh Nabi Muhammad SAW. Walhal Islam mempunyai pemimpin yang bukan sahaja hebat tetapi berpekerti mulia, sifat yang tidak ada pada pemimpin Barat yang sentiasa memusuhi Islam.
Justeru, antara tugas pemimpin Islam semasa sepatutnya mengalih tumpuan Barat yang sering merujuk Islam daripada perspektif pemimpin ekstrem kumpulan pengganas. Malangnya, sesetengah pemimpin Islam sendiri tidak menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan.
Oleh kerana wujud sesetengah pemimpin Islam sendiri yang tidak mengikut lunas kepimpinan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW, sudah tentulah wujud pandangan serong dalam kalangan bukan Islam terhadap pemimpin Islam.
Hal-hal yang seperti inilah yang membuktikan bahawa memahami dan menghayati sifat-sifat terpuji Nabi Muhammad SAW sebenarnya jauh lebih penting berbanding hanya sambutan besar-besaran pada setiap kali ulang tahun keputeraan Baginda.
Ini kerana rahsia mewujudkan keamanan dunia ada terkandung dalam sifat-sifat Nabi Muhammad SAW. Dengan memiliki kualiti umat Islam yang menghayati peribadi mulia junjungan Islam itu serta dalam kalangan pemimpin yang mencontohi ketegasan, keberanian dan tanggungjawab Nabi Muhammad SAW, Islam mampu muncul sebagai pencetus keamanan sejagat.
Amanah dan bertanggungjawab melaksanakan tugas adalah antara sifat terpuji Nabi Muhammad SAW yang semestinya menjadi pegangan setiap pemimpin Islam kerana amanah adalah penanda aras dalam sesebuah kepimpinan, apa lagi dalam masyarakat Islam.
Nabi Muhammad SAW juga ialah contoh pemimpin unggul yang telah berjaya membina tamadun agung, memperkenalkan wawasan dan visi kehidupan yang tidak berakhir di alam yang fana ini tetapi memperingatkan umat manusia akan kewujudan kuasa yang lebih agung di alam Akhirat.
Menyedari kehebatan Baginda SAW inilah musuh-musuh Islam yang dalam diam mengkagumi Baginda tidak jemu menghina Junjungan Mulia ini untuk memomokkan manusia supaya membenci Baginda. Bak kata cerdik pandai; pokok yang berada di puncak gununglah yang akan teruk dilanda badai, Rasulullah SAW sering ditonjolkan dengan imej buruk dan hina oleh mereka untuk menenggelamkan keperibadian mulia Baginda.
Tindakan Charlie Hebdo yang mahu menerbitkan semula kartun kontroversi menghina Nabi Muhammad SAW yang menjadi punca serangan daripada penembak beragama Islam terhadap akhbar berkenaan pada tahun 2015 bukanlah serangan terbaru musuh Islam terhadap Rasulullah.
Menurut laporan media antarabangsa, tindakan itu adalah bagi menandakan bermulanya perbicaraan adik beradik, Said dan Cherif Kouachi melakukan serangan bersenjata di pejabat akhbar itu di Paris.
Ia adalah siri serangan yang tidak berkesudahan oleh jiwa-jiwa yang gagal dalam menangani penyakit hati mereka, yang penuh dendam terhadap insan hebat seperti Baginda SAW. Namun bagi umat Islam seluruh dunia; kehebatan peribadi Baginda SAW bagai ular menyusur akar, tak akan hilang bisanya.
Dalam menghadapi musibah pandemik Covid-19 yang masih belum nampak pengakhirannya ini serta persediaan menyambut ulangtahun keputeraan Baginda esok, seluruh umat Islam malah semakin dekat dengan Baginda SAW dengan mengulangkaji sirah dan pendekatan Baginda dalam mendepani sebarang bencana. – Dari portal HBIT.MY