Oleh Ku Seman Ku Hussain
SIFAT pemurah dalam kalangan rakyat negara ini yang menghulurkan begitu banyak bantuan kepada golongan yang berdepan kesempitan hidup amat membanggakan. Sifat pemurah ini merentasi sempadan kaum dan agama.
Saya sangat gembira dengan sifat pemurah yang ditunjukkan ini. Kepada orang Islam yang pemurah, ini secara tidak langsung memberikan gambaran murni bahawa Islam itu agama yang menganjurkan umatnya tolong menolong, ambil endah dan tidak tegar melihat insan lain berada dalam kesempitan.
Bagaimanapun banyak yang menghulurkan sumbangan secara diam – tidak heboh atau dihebahkan di media terutama media sosial. Kecuali pihak korporat, hampir tidak ada individu yang memperagakan sumbangan sebagai satu bahan publisiti diri. Sifat ini juga amat terpuji.
Malah bertepatan dengan ajaran Islam supaya ‘tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak tahu.’ Maknanya tidak perlu menghebah hingga ke tahap memperagakan sumbangan berkenaan. Memang benar kerja baik harus diuar-uarkan kepada umum. Tetapi banyak juga yang bimbang perbuatan ini akan timbul perasaan bermegah-megah secara bawah sedar.
Maka banyak yang memilih untuk terus memberikan sumbangan secara senyap, tidak menghebahkan di media apa lagi di media sosial. Bertepatan pula dengan matlamat membantu bukan untuk mendapat publisiti. Oleh yang demikian kita tidak nampak dalam kalangan Islam yang menghebahkan sumbangan mereka.
Maka kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa dalam kalangan orang Islam yang berkemampuan tidak bersifat pemurah. Atau dianggap tidak membantu mereka yang dibelenggu kesempitan. Memang banyak yang membantu, cuma tidak diangkat menjadi status dalam media sosial.
Malah difahamkan banyak juga dalam kalangan hartawan menyalurkan sumbangan sama ada terus kepada penerima atau kepada badan yang menguruskan bantuan. Bagaimanapun hampir semuanya melakukan dengan iklhas. Buktinya ‘tangan kanan memberi tangan kiri tidak tahu.’
Malah banyak juga dalam kalangan hartawan mewujudkan yayasan untuk menyalurkan bantuan secara lebih sistematik kepada kumpulan sasaran. Disebabkan tidak bersifat politik maka penyaluran sumbangan ini tidak menjadi bahan berita di media atau ditularkan di media sosial.
Bilionaire Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary misalnya mewujudkan Yayasan AlBukhary untuk menyalurkan sumbangan kepada yang tidak berkemampuan. Antaranya membiayai pendidikan pelajar miskin di institusi pengajian tinggi.
Tetapi banyak yang tidak tahu tentang bantuan berkenaan, jauh sekali menjadi bahan tular di media sosial kerana empunyai diri memegang prinsip tidak menghebahkan sumbangan yang dilakukan.
Seingat saya Syed Mokhtar tidak bercakap kepada wartawan mengenai sumbangan yang dibuat oleh Yayasan AlBukhary. Bagaimanapun sumbangan itu mengalir tepat kepada sasaran. Bukan sahaja kepada pelajar dalam negara malah dari luar negara yang dikenal pasti layak untuk dibantu.
Oleh yang demikian, kita tidak akan jumpa media sosial yang menularkan perihal Yayasan AlBukhary. Ini menunjukkan kepada kita bahawa sesuatu yang tidak kita ketahui bukan bermakna tidak ada atau tidak berlaku. Ini terletak pada sikap individu – ada yang mengambil pendekatan malu pada publisiti dan ada yang sebaliknya.
Bagaimanapun diharapkan banyak lagi golongan yang berkemampuan terus menyalurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan. Sebenarnya banyak jalan dan pendekatan untuk membantu, misalnya menyampaikan ilmu tanpa berkira soal upah dan sebagainya.
Tetapi tanpa menafikan sumbangan besar oleh individu, masyarakat tidak wajar membuat kesimpulan akan kegagalan sistem penyampaian oleh agensi atau pihak yang diberi tanggungjawab membantu golongan masyarakat yang berdepan kesempitan hidup.
Kita meraikan sumbangan yang diberikan oleh hartawan, tetapi pada masa yang sama tidak menafikan pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), Baitulmal di Jabatan Agama di negeri-negeri menyalurkan bantuan.
Saya percaya individu yang pemurah itu tidak beranggapan demikian, malah mengakui begitu banyak bantuan diberikan oleh pihak berwajib. Individu yang pemurah melakukan kerana tanggungjawab dan mempunyai kemampuan dan bukan untuk menyaingi suatu yang telah lama berperanan membantu masyarakat.
Malah dalam usaha menyampaikan sumbangan mereka tidak ketepikan pihak-pihak tertentu – ketua masyarakat setempat, pihak berkuasa institusi dan sebagainya. Ini bukan birokrasi tetapi untuk melicinan proses penyampaian dan mendapatkan individu yang layak dan tepat. Tentulah tidak manis mentang-mentang duit banyak kita boleh redah sahaja lingkungan pihak lain. Ini boleh memporak-perandakan sistem yang ada.
Hal ini ditimbulkan kerana sesetengah pihak menganggap birokrasi telah membuatkan banyak golonagn yang layak menerima bantuan tersingkir daripada senarai. Malah dibandingkan, tidak sepantas sesetengah individu yang datang memberi bantuan – bukan sahaja bantuan kewangan malah mendapatkan kediaman dan ditanggung oleh individu berkenaan.
Pihak seperti JKM atau Baitulmal menguruskan wang yang dikutip daripada orang ramai. Tentulah ada prosedur-prosedur tertentu yang perlu dilihat sesuatu bantuan diluluskan kepada penerima. Kalau memberikan bantuan yang tidak menepati kelayakan, nanti dianggap tidak amanah menguruskan wang rakyat.
Seperkara lagi JKM atau Baitulmal tidak membawa kru media sosial untuk membuat liputan dan menghebahkan kepada orang ramai. Petunjuk prestasi utama (KPI) JKM dan Baitulmal bukan populariti tetapi sumbangan sampai kepada sasaran.
JKM misalnya memperuntukkan RM1.53 bilion apabila Penetapan Garis Kemiskinan (PGK) dinaikkan daripada pendapatan isi rumah RM980 menjadi RM2,208 baru-baru ini. Dianggarkan lebih kurang 500,000 isi rumah layak mendapat bantuan bulanan JKM untuk meringan beban.
Maka janganlah cepat menghukum pihak-pihak yang diberi tanggungjawab ini gagal dalam khidmat mereka. Warga maya harus membetulkan persepsi yang tidak betul ini. Jangan terburu-buru menyimpulkan sesuatu yang hanya dilihat dengan mata kerana banyak juga yang terlindung. Tambahan pula bukan semua kemaruk publisiti. (Utusan Malaysia 21 Disember 2020)