Oleh Harits Asyraf Hasnan
KUALA LUMPUR, 4 Jan – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak wajar disegerakan atas alasan untuk memulihkan ekonomi negara.
Itu pandangan majoriti yang dikongsikan oleh 74,699 responden menerusi tinjauan pendapat di tiga laman sosial Astro AWANI meliputi Twitter, Telegram dan YouTube.
Tinjauan ini dilakukan susulan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan kerajaan yang stabil adalah penting dalam memulihkan ekonomi negara terutama dalam menarik dan mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI).
Sejumlah 44,948 responden meliputi 60 peratus menyatakan tidak bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid itu.
Mereka yang tidak bersetuju ini kebanyakannya bimbang COVID-19 akan semakin menular selepas mengambil iktibar apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.
“Pulihkan ekonomi setuju, tapi mengadakan PRU15 tak setuju. Tak nampak ke hari ini kes berterabur? Masih lagi nak mengadakan PRU15?
“Tak ambil iktibar ke dari PRN Sabah? Kalau rasa macam nak kes berterabur di seluruh Malaysia sehingga tiada zon hijau, dipersilakan untuk buat PRU sekarang,” memetik pandangan yang diutarakan oleh Zulqarnain Shaiful Bahrin menerusi ruang komen di Telegram Astro AWANI.
Pemilik akaun dikenali sebagai Funky Diva berpandangan, ada pelbagai cara lain untuk memulihkan ekonomi.
“Banyak cara lain lagi untuk pulihkan ekonomi! PRU mendatangkan bala,” katanya.
Sementara pemilik akaun Najib Faik pula akui, sekiranya semua Ahli Parlimen memberi sokongan kepada kerajaan sekarang, sudah tentu ekonomi akan berjaya dipulihkan.
“Kalau semua Ahli Parlimen bagi sokongan dekat kerajaan sekarang, mesti ekonomi akan pulih. Masalahnya mereka yang gila kuasa, lepas itu nak bagi alasan kena buat PRU untuk pulihkan ekonomi,” luahnya.
Dalam pada itu, 16,628 responden merangkumi 22 peratus memilih opsyen tidak peduli. Sementara 18 peratus, bersamaan 13,123 responden memilih bersetuju dengan cadangan Ahmad Zahid itu.
“Setuju teramatlah sangat. Sekurang-kurangnya, PRU akan memberi kerajaan baharu dengan mandat baharu, tidak kira siapa yang menang kerana ketika ini kerajaan yang tidak dipilih ini ‘hilang hala tuju’,” kata pemilik akaun Twitter, Afiq.
Pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk pada Ahad, Ahmad Zahid akui kebimbangan ramai pihak mengenai risiko jangkitan COVID-19.
Bagaimanapun, beliau yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang dicadangkan mengikut piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan sepanjang PRU-15 diadakan.
Katanya, lebih 30 negara sudah mengadakan pilihan raya sepanjang pandemik COVID-19 dengan terakhir ialah pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang diadakan dengan SOP ketat. – Astro Awani.