Ku Seman Ku Hussain
RABU lalu (13 Januari) sekali lagi kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri. Kali pertama pada Mac tahun lalu kemudian diteruskan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKPP. Dalam keadaan yang menghadkan radius pergerakan, banyak majikan membenarkan sistem ‘bekerja dari rumah.’
Frasa ‘bekerja dari rumah’ atau ‘work from home’ mula menjadi sebutan sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac tahun lalu. Frasa ini seolah-olah baru menjelma, padahal di banyak negara lain ‘bekerja dari rumah’ sudah menjadi amalan biasa bukan sahaja musim pandemik.
Bagi rakan-rakan saya dalam kewartawanan, bekerja di luar ruang pejabat bukan suatu yang baharu. ‘Pejabat’ mereka di merata-rata – restoran mamak, bistro malah gerai Makcik Kiah pun menjadi tempat bekerja.
Walaupun begitu kualiti hasil kerja di luar ruang pejabat tidak pernah susut malah lebih baik. Mereka terselamat daripada terdera dengan kesesakan di Kuala Lumpur yang kenderaannya bergerak seperti ‘siput babi’. Penguasa Kuala Lumpur bertukar ganti, ‘siput babi’ tidak ada.
PKP secara tidak langsung mengubah cara bekerja yang sebenarnya lebih mudah, tetapi dipayahkan oleh sesetengah ketua yang menolak sesuatu yang baharu. Terbukti ada banyak bidang yang boleh dilakukan di luar ruang pejabat. Pejabat normal baharu ada di dalam komputer riba dan telefon pintar.
Tetapi sesetengah majikan masih lagi memahami definisi ‘bekerja’ ialah berada di depan ketua di pejabat. Padahal dengan teknologi komunikasi ada kerja boleh dibuat di mana-mana tanpa menjejas produktiviti dan kualiti. Inilah normal baharu di banyak negara maju.
Keberadaan di tempat kerja bukan lagi mutlak. Menjaga masa datang dan balik sudah ketinggalan pada era bekerja yang diukur produktiviti bukan keberadaan di pejabat. Menganggap semua bidang kerja hanya di pejabat samalah dengan mandor dari India upahan British yang menjaga buruh di estet.
Melaksanakan sistem berkerja di rumah antara ciri-ciri pengurusan yang pintar. ‘Pintar’ dalam konteks ini ialah mudah dilaksanakan, meningkat perolehan dan mengurangkan kos dan beban kemanusiaan.
Ini lebih baik daripada mengecilkan operasi (downsizing) yang hanya boleh kurangkan kos tetapi masa yang sama mengecilkan perolehan. Lebih teruk mengarahkan bekerja secara multitasking untuk memerah keringat secara tidak bermoral.
Kajian yang dibuat Gallup di Amerika Syarikat mendapati 33 peratus individu yang bekerja tiga atau empat hari di rumah merasa ‘berkeadaan bekerja’ seperti di pejabat. Malah dengan inisiatif pekerja sendiri mewujudkan persekitaran tempat kerja (work station) seperti pejabat.
Menurut American Economic Review, bekerja di rumah menguntungkan majikan. Ini kerana secara purata gaji akan dipotong sekitar enam peratus bagi yang bekerja di rumah. Majikan dapat menjimatkan kos gaji tetapi kualiti perolehan yang lebih baik.
Pekerja pula menikmati penjimatan kos pengangkutan dan belanja di tempat kerja dan yang penting tidak ada masa terbuang di atas jalan. Terlalu lama berada di atas jalan mencetuskan tekanan. Pekerja yang tertekan menjejaskan kualiti kerja.
Masa di atas jalan boleh dimanfaat untuk keluarga. Harus diingat, masa di atas jalan bukan masa bekerja. Inilah masa yang digunakan untuk bersama-sama keluarga. Dari segi psikologi, keluarga yang harmoni melahirkan pekerja yang berkualiti. Majikan mesti membuka mata dengan hal-hal begini.
Misalnya untuk masuk kerja pukul 9 pagi, tetapi banyak tempat di Lembah Kelang, seseorang perlu bangun selewat-lewatnta pukul 6.00 pagi. Ini termasuk menguruskan penghantaran anak ke tempat jagaan dan masa di atas jalan. Waktu balik pukul 6 petang akan sampai ke rumah paling awal 8.00 malam.
Tahap kesihatan berkait rapat dengan keadaan di tempat kerja. Sesetengah pejabat terlalu padat dan tidak cukup kitaran udara bersih, demikian menurut American Lung Association. Melaksanakan sistem bekerja di rumah boleh mengurang kepadatan di ruang kerja di pejabat. Yang bekerja di pejabat mendapat manfaat daripada rakan-rakan yang bekerja di rumah.
Ini bermakna mengurangkan kesesakan ruang kerja boleh meningkatkan produktiviti. Menurut National Bureau of Economic Research, tahap udara tercemar yang tinggi menjejaskan produktiviti bagi pekerja kolar putih di dalam pejabat. Majikan perlu bijak mengatasi masalah ini.
Lama sebelum wabak Covid-19 dan PKP majikan di negara-negara maju telah memulakan sistem bekerja anjal, menggalakkan bekerja dari rumah dan memanfaatkan semaksimumnya kecanggihan teknologi komunikasi. Sudah lama. Cuma sesetengah majikan di negara ini masih lambat menerima perubahan.
Tahun 2020 boleh dianggap sebagai detik mula perubahan secara besar-besaran dalam kalangan majikan untuk menyesuaikan dengan kecanggihan teknologi terutama komunikasi. Wabak Covid-19 adalah pemangkin kepada alam dan cara bekerja yang baharu.
Semasa Covid-19 tahun lalu, penggunaan aplikasi Zoom untuk mengadakan sesi mesyuarat atau diskusi maya meningkat sebanyak 131.1 peratus. Inilah kecanggihan teknologi yang menjadi ekosistem pada sistem bekerja di rumah. Ini belum lagi teknologi biasa dalam grup Whatsapp atau Telegram. Setiap detik boleh berkomunikasi.
Pembangunan sumber manusia menjadi agenda penting sektor pekerjaan di negara-negara yang maju. Majikan sentiasa mencari kaedah memberikan keselesaan dan meraikan keperluan manusia para pekerja. Masa yang sama tidak merugikan malah lebih menguntungkan kedua-dua pihak.
Di negara kita PKP memberikan normal baharu kepada semua orang – termasuk majikan dan uga pekerja. Normal baharu bukan sekadar mencuci tangan dan menjaga jarak fizikal, tetapi sistem kerja yang anjal, bekerja di rumah dan di luar pemantauan.
Kalau masih ada ketua yang mengukur pencapaian pekerja dengan keberadaan di pejabat, mereka sebenarnya hidup pada zaman yang salah. Sepatutnya mereka menjadi mandor dari India yang dibawa oleh penjajah British untuk menjaga buruh di estet getah negara ini. – kuseman.com