Oleh Mohd Ridwan Talib

TINDAKAN Malaysia mengekstradisi warga Korea Utara kepada Amerika Syarikat (AS) membuktikan institusi kehakiman di negara ini menghormati Perjanjian Ekstradisi antara Malaysia dan AS dan ini suatu yang amat terpuji.

Sementara  tindakan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia tidak lebih sebuah drama geopolitik yang didalangi oleh  pemimpin utama Kim Jong Un. Malah tindakan Korea Utara itu dilihat bertentangan dengan hubungan diplomatik yang sudah sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.

Keputusan Mahkamah Persekutuan  mengekstradisi Mun Chol Myung ke  AS adalah amat tepat dalam kerangka undang-undang antarabangsa. Ini bertepatan dengan komitmen kukuh Malaysia dalam menguatkuasakan sekatan ekonomi yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas rejim Korea Utara. 

Tindakan Mahkamah Persekutuan ini juga selari dengan dasar Malaysia terhadap ketelusan sistem kewangan global. Ini bersesuaian dengan imejnya sebagai hub kewangan Islam global.

Hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Utara hancur disebabkan keangkuhan pemimpin tertinggi negara itu. (Gambar Berita Harian)

Sudah terlalu lama nama Malaysia terpalit dengan imej buruk sebagai sarang penjenayah antarabangsa, khususnya dari Korea Utara. Sebagai contoh, pada 2017, Glocom  sebuah syarikat teknologi yang berpengkalan di Malaysia – telah disenaraikan oleh PBB sebagai syarikat boneka (front companies) yang menyokong rangkaian jenayah siber Korea Utara. Aktiviti jenayah ini hanyalah bermotif menjana laba untuk dana membiayai program haram senjata nuklear Korea Utara. 

Malah pada 13 Febuari 2017 Kim Jong Nam – abang tiri kepada Kim Jong Un  telah dibunuh di KLIA atas motif perebutan kuasa. Kes pembunuhan itu  menyebabkan hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Utara tergantung, sehinggalah Korea Utara bertindak memutuskannya baru-baru ini. Maka, sudah tiba waktunya untuk Malaysia mengambil pendirian tegas terhadap rangkaian jenayah antarabangsa yang didalangi oleh rejim Korea Utara. 

Korea Utara pula perlu faham bahawa tindakan undang-undang yang diambil oleh Malaysia bukanlah terhadap kerajaan Korea Utara, tetapi terhadap suspek yang kebetulan warganegara Korea Utara. Maka, dalam isu ini kedaulatan (sovereignty) Korea Utara tidak pernah terjejas.  

Tambahan pula, Mun Chul Myong bukanlah seorang diplomat Korea Utara. Jika beliau adalah seorang diplomat, sudah tentu Malaysia akan bertindak dengan bijaksana dan berhati-hati kerana keperluan untuk mematuhi undang-undang antarabangsa seperti Vienna Convention on Diplomatic Relations 1961. Sudah tentu Malaysia tidak mahu berulangnya insiden pengusiran bekas Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol pada 2017 atas alasan persona non grata. 

Dalam apa situasi sekalipun, Malaysia telah bertindak secara objektif dan ini dilakukan bersandarkan prinsip keadilan sejagat seperti Rule of Law dan Natural Justice. Mun Chol Myung telah pun diberikan hak mendapat perbicaraan yang adil di Malaysia hingga ke peringkat tertinggi hierarki kehakiman Malaysia, iaitu Mahkamah Persekutuan. 

Malah, semasa prosiding peguambelanya telah menyatakan bahawa Mun Chol Myung adalah ‘mangsa’ kepada persengketaan politik antara Korea Utara dan  AS, bukannya antara Korea Utara dan Malaysia. Ini  membuktikan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan itu dibuat bukan kerana tunduk pada tekanan daripada kuasa luar, khususnya AS.

Advertisement

Apatah lagi, prosiding undang-undang yang berlangsung di Malaysia hanyalah berkaitan dengan ekstradisi, sedangkan perbicaraan yang sebenar hanya akan berlangsung di AS.

Korea Utara harus membetulkan sudut pandangnya terhadap Malaysia. Malaysia bukanlah musuh tetapi teman yang setia kepada Korea Utara, terutama pada kala susah. Ini bersesuaian dengan dasar hubungan luar Malaysia yang berteraskan neutrality dan non-alignment,  di mana Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik dengan semua negara tanpa mengambil kira perbezaan ideologi politik. 

Kerajaan Malaysia mengarahkan Kedutaan Kores Utara di Kuala Lumpur ditutup dalam masa 48 jam selepas Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan negara ini.

Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia hanya memenuhi komitmen undang-undang dengan melaksanakan perjanjian ekstradisi yang sah dengan AS. Sebagai sebuah negara yang memencilkan diri, Korea Utara sepatutnya mengukuhkan ikatan hubungan diplomatik dengan negara-negara yang sudah lama bersahabat dengannya seperti Malaysia. Tindakan memutuskan hubungan diplomatik adalah keputusan yang akan disesali oleh Korea Utara kelak.  

Pada masa yang sama, pujian haruslah diberikan kepada badan kehakiman Malaysia khususnya Mahkamah Persekutuan. Ini  kerana keputusan ekstradisi tersebut telah membuktikan peranannya sebagai pembela keadilan dan kebenaran. 

Keputusan ini membuktikan kewibawaan badan kehakiman. Malah  tidak boleh disangkal lagi apabila kredibiliti mahkamah di Malaysia mula dipersoal oleh umum natijah daripada beberapa keputusan dalam kes-kes berprofil tinggi. 

Keputusan tersebut telah mencetuskan gegaran bukan saja di Malaysia, malah di rantau Asia Tenggara dan di seluruh dunia. Ini kerana, Mun Chol Myung adalah satu-satunya warga Korea Utara yang gagal diekstradisi oleh mana-mana negara di dunia ke Amerika Syarikat. 

Malaysia adalah negara pertama yang berjaya mengekstradisi dan ini adalah suatu kejayaan yang amat membanggakan. Ini membuktikan peri pentingnya peranan institusi  kehakiman di Malaysia, malah telah menjulang nama Malaysia di peringkat dunia dalam konteks ketegasan dan ketelusan menguatkuasakan undang-undang antarabangsa. 

Langkah berani Malaysia ini perlu dicontohi dalam kalangan negara-negara ASEAN dalam menangani dan memerangi rangkaian jenayah antarabangsa Korea Utara. Sudah tiba masanya untuk semua negara ASEAN bergerak dalam satu saf yang utuh demi melumpuhkan jenayah antarabangsa ini melalui platform undang-undang yang telus. 

Penguatkuasaan undang-undang antarabangsa wajib dilaksanakan  tanpa rasa gentar, takut dan diskriminasi. Langkah pertama telah pun dimulakan oleh Malaysia. Disokong dengan kearifan institusi kehakiman, nescaya nama Malaysia akan terus harum di persada antarabangsa. 

  • MOHD RIDWAN TALIB adalah pengamal undang-undang. Ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *