Oleh Razali Awang

KEADAAN di Asia Barat semakin tegang selepas satu lagi negara yang menjadi penampan di rantau berkenaan, Jordan terjebak ke dalam perebutan kuasa. Jordan antara negara di Asia Barat yang tidak tergugat dengan agenda Barat melalui Arab Spring beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun keadaan itu dilihat sudah tergugat. Ada bibit perpecahan dan perebutan kuasa dalam kalanan keluarga diraja. Malah tidak mustahil Barat akan mengambil peluang untuk menjadikan Jordan ikut ranap dalam gelombang Arab Spring.

Bekas Putera Mahkota Jordan, Putera Hamzah bin Hussein kini dilaporkan dikenakan tahanan dalam rumah bersama-sama  dua bekas pegawai kanan,  iaitu Sharif Hassan bin Zaid, yang juga kerabat diraja dan Bassem Awadallah, yang pernah menjadi pengarah di pejabat Raja Abdullah. Turut ditahan ialah  berpuluh-puluh yang lain.

Putera Hamzah bin Hussein

Kesemua  mereka didakwa terbabit dalam cubaan rampasan kuasa menjatuhkan abang tirinya, Raja Abdullah bin Hussein pada Sabtu lalu.

Menurut laporan tentera, mereka ditahan  dan kini dikenakan siasatan menyeluruh oleh agensi keselamatan Jordan. Meskipun perkembangan yang berlaku telah menjadi tajuk utama, Jordan menafikan dakwaan penahanan itu.

The Washington Post dalam laporannya mengesahkan penahanan  itu dan mendakwa ia turut membabitkan beberapa pegawai kanan tentera dan pemimpin kabilah, yang selama ini menjadi penyokong setia sistem pemerintah beraja Hashimiyah.

Advertisement

Dalam reaksinya, Jemaah DiRaja Arab Saudi mengeluarkan kenyataan memberi sokongan kepada Raja Abdullah  bagi mengekalkan keamanan di Jordan.

Ia menimbulkan persoalan kerana dua tokoh utama yang ditahan iaitu Sharif Hassan dan Bassem Awadallah, sebelum ini dilaporkan begitu akrab dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman  dan didakwa menjadi perundingnya.

Reaksi yang sama turut diberikan  olehJabatan Negara Amerika Syarikat yang menyifatkan Raja Abdullah sebagai rakan kongsi.

Putera Hamzah, 41 tahun adalah anaknda Raja Hussein dengan isteri keempat, Permaisuri Noor, warga  Amerika Syarikat berketurunan Syria.

Baginda dilantik Putera Mahkota Jordan sehingga 2004 apabila disingkirkan oleh  Raja Abdullah yang kemudian melantik anakndanya, Putera Hussein.

  • RAZALI AWANG adalah sukarelawan Media Syria Care.
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *