Peruntukkan pertahanan di dunia meningkat  sebanyak 75 peratus  pada AS$1.7 trilion dalam tempoh 20 tahun. (Gambar hiasan The World)

 

Oleh Ku Seman Ku Hussain

SENJATA adalah pemangkin  permusuhan antara manusia, kemudian meletus perang  untuk mempertahankan angkuh dan bongkak sesama sendiri. Teknologi pula bukan sahaja memudahkan kehidupan,  tetapi ada kalanya memusuhi manusia dan kemanusiaan apabila digunakan untuk menghasilkan senjata pemusnah.

Dalam laporan Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI), Amerika Syarikat (AS) menjuara penjualan senjata perang dunia bagi lima tahun terakhir (2016-2020).  Negara kedua, Rusia, ketiga (Perancis), keempat (Jerman) dan kelima (China).

AS mencatatkan 41.7 peratus daripada keseluruhan perdagangan senjata dunia.  Untuk tahun 2020 sahaja  penjualan senjata AS mencatatkan AS$3.7 bilion, diikuti Rusia sebanyak AS$3.2 bilion dan Perancis AS1.95 bilion.  Angka-angka ini sangat menggerunkan kerana usaha  memporak perandakan dunia memberi keuntungan kepada pengeluar senjata.

Empat konglomerat AS mencatatkan pulangan tertinggi dalam industri pengeluaran senjata dunia. Lockhead Martin mencatat pulangan AS$53.2 bilion, Boeing (AS$33.5 bilion), Northrop Grumman (AS$29.2 bilion) dan  Raytheon Technologies (AS$25.3 bilion).

Pengimport senjata utama dunia terutama daripada AS ialah Arab Saudi, diikuti India, Mesir, Australia dan China.  Sementara untuk jangka masa 2016 hingga 2020 sahaja negara-negara Asia Barat mencatatkan 25 peratus daripada pembelian senjata dunia. Ini menunjukkan negara-negara bergolak antara pelanggan utama pengeluar senjata.

The State Department World Military Expenditures and Arm Transfer 2019 Report  melaporkan,  peruntukkan pertahanan di dunia meningkat 75 peratus  pada AS$1.7 trilion dalam tempoh 20 tahun. Sepanjang sepuluh tahun lalu pula China menambah peruntukkan pertahanan sebanyak 83 peratus, sementara AS menyusut 17 peratus.

Laporan itu meramalkan menjelang 2030, AS  memperuntukkan lebih AS$1 trilion pada  pertahanan dan menjadi negara paling atas terbanyak  diikuti China (AS736 bilion) dan India (AS$213 bilion).

Senjata berteknologi tinggi untuk membunuh manusia menjadi industri yang menguntungkan negara pengeluar seperti AS. Negara-negara yang merasakan berada dalam ancaman luar atau pembuli jiran berlumba-lumba memberikan peruntukkan besar pada kelengkapan pertahanan.

China misalnya yang sentiasa berdepan dengan provokasi dan ancaman secara langsung daripada AS, selain menghasilkan senjata sendiri,  China banyak membeli senjata daripada Rusia yang merupakan musuh tradisi AS era Perang Dingin.  Rusia pula mempunyai negara-negara pembeli yang tidak terikat atau memusuhi AS.

Manusia yang diberikan ilmu pengetahuan yang tinggi mencipta senjata, selain mempertahankan diri digunakan juga untuk membunuh manusia.  Manusia begini boleh dianalogikan sebagai kayu hulu kapak.

Kayu yang dijadikan hulu kapak asalnya daripada sebatang balak,  digergaji dan dikecilkan sebelum menjadi berguna pada kapak.  Ini kerana kapak tidak berguna tanpa hulu.  Tetapi apabila dijadikan hulu kapak,  kayu itu dipergunakan kapak untuk menumbangkan balak – asal usulnya sebelum menjadi hulu kapak.

Bom atom adalah satu mercu tanda pencapaian  manusia dalam sains mencipta senjata yang luar biasa pada zamannya. Itulah kali pertama senjata bertenaga atom  digunakan dalam perang dan ‘berjaya’ memusnahkan berjuta-juta manusia. Hal ini sangat menyedihkan semua yang ada sisi kemanusiaan dalam dirinya.

Inilah ‘kejayaan’ sekumpulan saintis AS dalam Projek Manhattan  yang dipimpin J. Robert Oppenheimer pada dekad 1940-an.  Tetapi apalah ertinya pencapaian sains yang luar biasa ini apabila akhirnya  teknologi senjata itu membunuh berjuta nyawa dan kesan radiasinya  berlarutan berpuluh tahun lamanya.

Advertisement

Saintis J. Robert Oppenheimer digelar ‘Father of the Atomic Bomb’  bertanggungjawab mencipta Little Boy, bom atom yang menghancurkan Hiroshima dan Fat Man yang digugurkan ke atas Nagasaki berselang tiga hari.

Memang benar bom atom tidak digunakan lagi dalam mana-mana perang selepas Perang Dunia Kedua. Tetapi teknologi yang menghasilkan senjata jauh lebih canggih untuk membunuh tidak pernah terhenti.

Kita hanya boleh membayangkan betapa amannya dunia kalau tidak ada negara dan syarikat pengeluar senjata perang di dunia ini. Bagaimanapun hakikatnya mengeksport senjata pembunuh manusia lebih menguntungkan daripada memberikan gandum atau susu untuk menghidupkan dan mensejahtera manusia.

Menjadi manusia pasca Perang Dunia Kedua memang kompleks. Tangan kanan memberi makanan untuk kelangsungan hidup  tetapi tangan kiri memberi senjata supaya manusia bermusuhan kemudian berbunuhan. Kilang senjata hanya mahu mencatat keuntungan dan tidak peduli akan nyawa dan kemanusiaan yang hilang.

Di dunia ini ada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ada beberapa badan antarabangsa lain yang matlamat utamanya keamanan. Dalam PBB sendiri ada Majlis Keselamatan yang kononnya memerah otak untuk pelestarian keamanan.  Tetapi semakin galak Majlis Keselamatan bermesyuarat, semakin banyak manusia menjadi mangsa senjata perang.

AS menjadi anggota PBB dan menjadi kuasa veto dalam Majlis Keselamatan. Antara anggota lain Majlis Keselamatan ialah China dan Rusia. Tentu sekali amat sukar untuk mendefinisikan ‘keselamatan’ dan ‘keamanan’  apabila negara yang mengaut untung daripada penjualan senjata memonopoli Majlis Keselamatan.

Sebenarnya negara pengeluar senjata utama dunia sangat onar dalam merancakkan penjualan senjata kepada negara lain terutama yang bergolak.  AS mencipta Perang Telok pada tahun 1990-an bukan percuma. 

Negara terlibat misalnya Kuwait yang mendapat bantuan AS menganyang  Iraq pimpinan Saddam Hussein bukan percuma. Bil  belanja perang semuanya ditanggung oleh Kuwait.  Tidak cukup dengan Perang Telok,  AS melancarkan perang terhadap Iraq pada 2003.

Perang itu dimurnikan dengan menjaja demokrasi yang dikatakan dicabul oleh Iraq.  AS datang dengan membawa ‘demokrasi’  yang menjadi harapan sesetengah dalam kalangan rakyat yang termakan propaganda Barat.  Tetapi hingga kini, selepas Saddam dibunuh, Iraq dihancurkan,  minyak yang menjadi sumber kekayaan dijarah AS,  demokrasi masih juga tidak wujud. Bil senjata perang ditanggung oleh Iraq.

Senjata keluaran AS atau Rusia tidak laku sekiranya tidak ada peperangan.  Tugas penting negara pembekal senjata ialah mencipta perang kemudian menawarkan bantuan. Bantuan itu adalah senjata yang digunakan  dan bukan secara percuma.  Semakin banyak pergolakan, semakin meningkat permintaan pada bekalan senjata.

AS dan Rusia sama-sama membekalkan senjata dalam perang yang tidak berkesudahan di Syria.  Kedua-duanya mengaut keuntungan daripada penjualan senjata. Mereka berperang dalam perniagaan tanpa mengotorkan dengan darah untuk mendapat keuntungan berlipat ganda. – Utusan Malaysia 30 Ogos 2021

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *