Institusi mesti memikul tanggungjawab melentur generasi muda suaya menjadi warga yang baik kepada masyarakat dan negara.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

TRAGEDI yang mengorbankan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017 adalah kemuncak perbuatan buli di negara ini. Pembulian yang mencalarkan nama UPNM ini amat sadis,  mangsa diseksa dengan seterika wap hingga medatangkan kecederaan parah.

Kes yang tidak berperikemanusiaan ini menjadi perhatian umum sejak 2017. Enam daripada tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun. Walaupun tertuduh menerima hukuman, isunya tidak berakhir di situ.

Tragedi ini bukan sahaja menimpa keluarga mangsa dan tertuduh malah kita semua. Semua yang waras tidak mahu hal ini berlaku  kepada sesiapa sahaja – mangsa didera dan tertuduh.  Mereka terlalu muda dan khidmat bakti amat diperlukan oleh negara.

Walaupun begitu tragedi berkenaan tidak mengejutkan sesetengah pihak terutama birokrat pendidikan. Berlakunya hal seperti ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan masyarakat dan birokrat kita. Pembangunan akademik dan keinsanan tidak seimbang dan ada kelompangan.

Buli bukan perkara baharu dalam masyarakat. Perbuatan keji ini berlaku di peringkat sekolah rendah, menengah, pengajian tinggi hingga dalam dunia pekerjaan. Bagaimanapun banyak pihak seolah-olah sudah menerima ini sebagai suatu yang biasa.

Orang kita hanya akan heboh apabila sesuatu kes buli terbongkar. Masing-masing  dan di semua peringkat dari birokrat di kementerian hingga pengunjung gerai di tepi jalan bercakap mengenai perkara yang sama. Tetapi selepas beberapa ketika masing-masing senyap hingga berlaku kes terbaru.

Ketika belum wujud media sosial, kes-kes buli dipendamkan di peringkat sekolah atau universiti sahaja. Kebetulan tidak ada kes yang teruk hingga meragut nyawa. Pentadbir sekolah dan universiti pula akan mengambil pendekatan menutup serapat-rapatnya supaya tidak bocor kepada orang luar.

Bagaimanapun apabila ada media sosial,  banyak kes buli terbongkar walaupun pihak sekolah atau universiti begitu ligat ‘bersilat’ untuk menutup.  Tetapi kuasa yang luar biasa pada media sosial – bukan sekadar gambar malah video ditular sebagai bukti.

Walaupun begitu tidak semua kes buli ini terbongkar kepada orang luar.  Banyak yang diselesaikan di peringkat dalaman untuk menjaga nama baik institusi pendidikan berkenaan. Kalau tidak ada yang patah tangan atau kaki, tertutuplah kes yang membarah dan menjadi tradisi itu.

Kalau mengikut statistik Kementerian Pendidikan, pada 2015 sebanyak 3,011 kes buli dilaporkan dan jumlah meningkat hingga 3,488 kes pada 2016. Kemudan agak menurun pada 2,795 kes pada 2017. Kita perlu faham, ini kes ang dilaporkan.

Maka statistik itu boleh sahaja dilupakan.  Ia tidak menggambarkan keadaan yang sebenar.  Statistik hanya mencatat kes yang terbongkar.  Banyak kes yang tidak terbongkar tidak dimasukkan dalam statistik berkenaan.

Buli bukan orientasi yang membawa makna positif. Buli tidak ada makna postif kecuali negatif semuanya. Ada yang berkata, buli adalah permulaan sebuah kehidupan yang saling memahami antara satu dengan lain.  Kalau itulah maksudnya, itu bukan buli. Itu orientasi terutama kepada pelajar baharu.

Memang ada pelajar senior ‘mengerjakan’ pelajar baharu dengan mengarahkan mencuci pakaian atau mengemaskan bilik dan sebagainya. Malah ‘menyeksa’ pelajar baharu  menangkap nyamuk atau mencabut rumput.  Itu bukan buli. perbuatan buli memang tidak ada nilai-nilai yang menuju keakraban dan positif.

Sikap sesetengah pengetua,  dekan dan kepimpinan di universiti yang mengejar pencapaian akademik sahaja memungkinkan kes-kes seperti ini akan berterusan.  Masing-masing berlumpa untuk meletakkan nama institusi sebagai cemerlang dalam akademik.

Padahal hakikat kehidupan manusia bukan sahaja memerlukan kecemerlangan akademik. Nilai-nilai yang berkaitan keinsanan – tolak ansur,  budi pekerti, jujur dan amanah sama pentingnya. Birokrat di sektor penddikan juga perlu memperkukuh hala tuju pembentukan peribadi generasi muda. Ini tanggungjawab mereka selain keluarga.

Kes buli,  apa lagi yang mendatangan kecederaan dan mengancam nyawa tidak boleh diselesaikan dengan tindakan undang-undang.  Maka birokrat pendidikan tidak boleh mengharapkan undang-undang mengubah keadaan yang sedia ada – buli hingga meragut nyawa.

Oleh hal yang demikian birokrat tidak boleh lepas tangan apabila berlaku sesuatu kes buli. Pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan mesti bertanggungjawab dan membentangkan pelan tindakan. Walaupun sudah empat tahun  kes buli yang meragut nyawa itu, belum ada pelan tindakan daripada dua kementerian berkenaan. Apa jaminan mereka kepada keluarga?

Kejadian buli di peringkat universiti ini akan terbawa-bawa apabila individu berkenaan masuk ke alam pekerjaan.  Kebetulan pula berada pada kedudukan yang tinggi dan mempunyai peluang untuk membuli kakitangan  bawahan dengan tanpa rasa keinsanan.

Memang benar kejadian buli dalam sektor pekerjaan masih dianggap baharu di negara ini. Tetapi tidak boleh dinafikan berlaku secara tertutup.  Buli di sektor pekerjaan lebih pada yang bercorak psikologi yang mencetuskan penderaan dan trauma berpanjangan kepada mangsa.

Di negara Eropah dan Amerika Syarikat,  buli telah menjadi perkara penting dan dikenal pasti sebagai ancaman keselamatan di tempat kerja.  Tetapi  Kementerian Sumber Manusia jangan tersengeh kerana itu berlaku di Barat. Perkara yang buruk pantas sahaja dibawa masuk  ke negara ini.

Di Malaysia, buli atau  definsi kekerasan di tempat kerja telah didokumenkan sebagai  ‘Guidance of Prevention of Stress and Violence at Workplace’ oleh Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH) pada tahun 2001. Baguslah mengambil langkah pantas ini.

Bagaimanapun memerlukan sikap yang proaktif untuk melihat setiap perkembangan terbaru berkaitan kekerasan di tempat kerja. Kes yang melibatkan masa depan pengadu adalah suatu yang sangat rumit.  Jangan sekadar menunggu laporan, tetapi kena ada pendekatan tertentu mengesan kes berkenaan.

Orang tua-tua selalu berpesan, melentur buluh biarlah semasa masih rebung. Ini satu pesan yang sangat bijaksana. Maknanya berusahalah melentur generasi muda suaya menjadi warga yang baik kepada masyarakat dan negara. Diharapkan inilah kes  buli terakhir yang mendatangkan kecederaan yang parah dan meragut nyawa. (Utusan Malaysia 8 Nov 2021)

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *