Oleh Ku Seman Ku Hussain
SULTAN Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman) berpandangan jauh apabila menganugerahkan tanah seluas 222 ekar di Kuala Lumpur kepada orang Melayu pada 1899. Tindakan itu ternyata memberi sumbangan sosial untuk mengimbangi peratusan penduduk Melayu di bandar raya ini.
Tanah bertuah bernama Kampung Baru itu kini menjadi satu-satunya petempatan Melayu terbesar di tengah Kuala Lumpur. Bukan itu sahaja tetapi menjadi faktor mengimbangi peratusan Melayu dengan kaum lain terutama Cina. Peratus Melayu di tengah Kuala Lumpur sangat penting. Ketidakseimbangan boleh menjadi punca keretakan dan ketegangan soaial antara kaum.
Dalam Kampung Baru ada tujuh kampung kecil iaitu Kampung Hujung Pasir, Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Pindah, Kampung Paya, Kampung Atas A dan Kampung Atas B. Melihat semua kampung ini, mata jerung pelahap pasti terbeliak kerana nilainya setaraf emas.
Tanpa tindakan Sultan Selangor, penjajah British tentu menyingkirkan orang Melayu ke pinggir Kuala Lumpur. Memanglah mengikut naratif sejarah oleh British, merekalah yang menyediakan petempatan orang Melayu di Kampung Baru. Hal ini sangat bertentangan dengan banyak kajian sejarah yang mendedahkan sikap berat sebelah British terhadap pelombong Cina yang diketuai oleh Yap Ah Loy.
Dikelilingi bangunan pencakar awan kawasan segi tiga emas yang nilai hartananya sudah seperti emas. Terlalu tinggi. Keadaan ini dengan sendirinya menjadikan Kampung Melayu sangat bernilai dari sudut komersial.
Perkampungan awal orang Melayu di Kuala Lumpur itu kini menjadi seperti sebuah pulau yang masih banyak rumah teradisi Melayu – setidak-tidaknya pada seni bina bumbung. Pulau di tengah-tengah pembangunan fizikal itu selalu diintai dengan cadangan-cadangan untuk ‘memajukan’. Hakikatnya disebabkan nilai hartanah yang tinggi dan memberi keuntungan kepada pemaju.
Kawasan di sekeliling Kampung Baru menjadi tanda aras pembangunan fizikal Kuala Lumpur. Kampung Baru juga tidak jauh dengan KLCC yang pernah menjadi menara tertinggi di dunia. Dari restoran berputar Menara Kuala Lumpur yang ketinggian hampir satu kilometer dari paras laut pula memberikan pemandangan Kampung Baru dari udara.
Dari Menara Kuala Lumpur juga Kampung Baru kelihatan seolah-olah dipagar bangunan pencakar awan. Maknanya tidak ada siapa yang boleh menceroboh atau mengambil Kampung Baru daripada waris keluarga Melayu di situ. Itu pemandangan yang unik, cuma yang oportunis sahaja membina persepsi Kampung Baru ‘mencacatkan’ pemandang.
Berada di Kampung Baru seperti kembali ke rumah sendiri di kampung halaman. Berdinding papan dan beratap zink dengan seni bina bumbung Melayu tradisi yang unik. Masih ada bunyi kokokan ayam yang sangat nostalgik bagi perantau di Kuala Lumpur. Secara tiba-tiba terasa selamat daripada rempuhan budaya rakus Kuala Lumpur yang menjengah era modenisasi.
Isu ‘memajukan’ Kampung Baru tidak pernah sunyi sejak saya berada di Kuala Lumpur tahun 1984. Sentiasa ada isu yang dibangkitkan seolah-olah Kampung Baru yang merencatkan pembangunan Kuala Lumpur seluruhnya. Membangunkan Kampung Baru tidak sahaja mengubah fizikal, tetapi keberadaan orang Melayu sebagai pemilik hartanah.
Oleh hal yang demikian, semua yang berkaitan Kampung Baru tidak harus dilakukan secara melulu. Banyak pertimbangan yang mesti diambil kira. Ia tidak semudah menyelesaikan masalah matematik. Kampung Baru tidak boleh diukur dengan nilai hartanah kawasan di sekitar semata-mata. Kampung Baru melampaui hal-hal yang berkaitan pampasan sekalipun ada yang sanggup membayar dengan nilai yang tinggi.
Maknanya jangan sama sekali terpancing atau memancing dengan pampasan yang tinggi. Tujuan asal Sultan Selangor menganugerah Kampung Baru kepada orang Melayu perlu difahami terutama dalam kalangan pemimpin dan pembuat dasar. Faham betul-betul tujuan Sultan Selangor berbuat demikian.
Sultan Selangor berpandangan jauh tentang masa depan orang Melayu di Kuala Lumpur, bukan sahaja ketika itu, malah berabad ke depan. Walaupun sejak 1 Februari 1974 Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan, tetapi hasrat Sultan Selangor perlu dipertahankan oleh pembuat dasar.
Kalau tidak ada Kampung Baru dengan sekatan-sekatan tertentu misalnya tidak boleh dipindah milik kepada bukan Melayu, orang Melayu sudah tidak ada tanah di pusat bandar. Dengan nilai hartanah yang melambung macam belon, orang Melayu secara tidak sedar tertolak ke pinggir bandar raya. Menyanyi lagu Anak Kecil Bermain Api pun sudah tidak berguna lagi.
Lihatlah yang berlaku di kampung setinggan Melayu, Kampung Kerinchi. Kampung Melayu ini dibangunkan kerana banyak si mata duitan yang pelahap menggunakan alasan ‘pembangunan’. Kesnnya orang Melayu yang lama mendiami kampung itu hilang entah di mana. Bukan sahaja waris orang Melayu di situ hilang, nama Kampung Kerinchi pun dipadam.
Kampung Kerinchi satu contoh klasik hilangnya sebuah kampung Melayu di tengah Kuala Lumpur apabila pertimbangan menjuruskan pada keuntungan kebendaan. Berapa kerat sahaja penduduk asal Kampung Kerinchi mempunyai hartanah mewah di Bangsar South.
Setiap pembangunan di Kuala Lumpur perlu mengekalkan penduduk asal kawasan berkenaan. Apa salahnya di Kampung Kerinchi dibangunkan rumah mampu milik yang teratur dan selesa kepada setiap penduduk asal? Penduduk asal mesti dikekalkan dan selebihnya atas budi bicara pembuat dasar mungkin dibolehkan projek yang bersifat mewah.
Jangan melihat setinggan Kampung Kerinchi tidak ada hak di sudut undang-undang dan boleh diperlakukan sesuka hati oleh pemaju. Sepatutnya tidak diberikan pampasan, tetapi kediaman yang selesa di kawasan asalnya. Inilah cara menaikkan taraf hidup masyarakat setinggan, bukan memindahkan mereka ke kawasan lain.
Saya sangat percaya kalau tidak ada sekatan-sekatan tertentu, Kampung Baru sudah menjadi seperti Bukit Bintang dan sekitarnya. Tetapi kini Kampung Baru masih terpelihara sebagai pengimbang keberadaan Melayu di pusat bandar raya. Daripada sudut sosiopolitik, komposisi kaum bagi bandar raya seperti Kuala Lumur sangat penting dan tidak boleh dikompromi.
Hal-hal seperti ini tidak berlaku secara semula jadi. Ini mesti dibentuk dan dirancang oleh pembuat dasar. Dianggarkan lebih 20,000 orang yang mendiami di 4,000 kediaman. Pembuat dasar harus berhati-hati berdepan dengan segala jerung yang pelahap untuk ‘membangunkan’ Kampung Baru.
Berhati-hatilah, sekali tersilap langkah Kampung Baru dan Melayu akan hilang di Kuala Lumpur. Tidak mustahil bertukar menjadi New Village selepas Kampung Kerinchi menjadi Bangsar South. Nama yang bercirikan tempatan tidak bernilai komersial di Kuala Lumpur.
Maka ambillah iktibar daripada Sultan Sulaiman, lebih seabad jasa dan pandangan jauhnya sentiasa dikenang. – (Wilayahku 18 MAC 2022)