Perhimpunan reformasi menggegarkan Kuala Lumpur pada 1998 tetapi berhenti dengan sendirinya. (Gambar hiasan)

Oleh Ku Seman K Hussain

SEBAIK sahaja menghala lensa kamera ke arah gerombolan  demonstran yang semakin hampir, tiba-tiba ada semacam lembaga terjun dan terkena di belakang saya. Dalam hati berkata, sah ini penyeluk saku.  Saya tidak mengambil masa lama untuk bertindak.

Dengan pantas siku dan kaki pun bertindak untuk menyelamatkan dompet. Seorang anak muda berbaju T berlambang tengkorak yang menutup muka dengan sapu tangan merah terbaring di celah kaki saya. Dia mengelupur hendak bangun tetapi tidak berdaya.

Dia ketakutan. Seluar jeans lusuh yang koyak penuh debu pasir.  “Maaf abe,  ambo terlanggar abe tadi. Maaf abe…”  Saya masih lagi tidak melepaskan,  ternyata dia bukan watak penyeluk saku.

Saya masih ingat hari itu Sabtu dalam bulan Ogos tahun 1998. Saya berada di sebalik tembok dekat Bangunan Sultan Abdul Samad.  Di situ ada mahkamah. Sudut tempat saya berdiri itu amat cantik untuk merakam pergerakan  demonstran perhimpunan haram roformasi.

Perhimpunan haram itu tercetus ekoran pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.  Tempat saya berdiri itu juga terlindung dan selamat daripada Pasukan Simpanan Persekutan (FRU) yang ligat melibas para demonstran untuk menyuraikan perhimpunan.

Anak muda tadi berkali-kali minta maaf. Saya menarik sapu tangan merah yang menutup separuh mukanya. Dia  masih muda, jangkaan saya  dalam lingkungan sebelum 30-an, jauh lebih muda berbanding saya yang sudah  berusia 38 tahun. Peluh merenik di mukanya.  Cemas dan ketakutan.

Ternyata dia bukan penyeluk saku atau perompak yang terliur tengok kamera saya. Saya menarik tangannya untuk bangun.  Dia masih ketakutan dan kebinggungan.  Saya berpaling ke arah gerombolan demonstran yang sudah melepasi tempat saya berlindung.

Keadaan anak muda itu  canggung menunjukkan dia orang luar atau baru menetap di bandar raya itu. Perwatakannya tidak gedebe seperti sesetengah anak muda yang samseng. Barangkali baru hendak ‘hidup’  dan menjadi pejuang seperti kebanyakkan yang lain.

“Pasai apa hang terjun macam kena ligan rimau?”  tanya saya sambil merenung anak matanya yang kemudian dilarikan ke kiri dan kanan. Melihat fizikalnya, kalau dia melawan pun tidaklah gentar sangat, apa lagi mudah sangat ditumbangkan sebelum itu.

“Ambo mari sini nak berjuang, abe. Berjuang menegak keadilan,”  kata anak muda itu dengan penuh semangat. Saya senyum sinis memperli dan dia berpaling ke kiri dan kanan. Ternyata terlalu mentah untuk bercakap pasal keadilan dan perjuangan.  Saya jangka dia salah seorang demonstran yang lari daripada libasan rotan FRU.

“Tu depa yang ramai-ramai tu tak tau apa-apa pun. Macam hang juga pantang dicuit emosi terus mengelegak. Terus nak berjuang. Berjuang apa kebenda la tu.”

“Tapi ambo lain abe. Ambo ada prinsip. Ada perjuangan. Abe jange nok hina ambo.” Terjegil juga mata anak muda itu apabila diprovokasi.  Dia marah. Saya  menepuk nepuk bahunya sambil ketawa terkekeh  seolah-olah menganjing kata-katanya yang penuh semangat.

“Hang nak menuntut keadilan apa dan untuk sapa?” kata saya sambil mengajak dia  bergerak ke bawah pohon rendang di belakang Bangunan Sultan Abdul Samad.  Dia masih takut-takut, mata liar seolah-olah melakukan kesalahan paling besar.

“Abe ni polis? Atau mata-mata gelap?”  tanya dia pendek sambil menatap saya dari atas ke bawah. Saya ketawa tetapi dia masih dalam ketakutan. Macam ini pun ada yang hendak menjadi pejuang.

“Aku bukan polis.  Saja suka ambik gambaq orang berarak yang tak tentu hala tu. Hang pula mai dari mana?”

Advertisement

“Ambo mari dari Kota Bharu.  Lima saing ambo entah hilang mana.  Kami mari nak sokong perjuangan menegak keadilan. Mari nak berjuang,”  dia masih lagi mengulangi perkataan perjuangan dan keadilan. Saya mula rasa loya.  Hampir termuntah. Ah anak muda ini, otak  yang mentah simpahlah baik-baik.

“Hang tok sah la buang masa buat kerja yang sia-sia ni.  Buang duit mai dari jauh. Puak anarkis tu bukan berjuang. Depa berpesta. Anarkis suka buat  havoc,”  tegas saya panjang lebar, tetapi dia seperti tidak berpuas hati. Dari matanya saya tahu dia tidak berpuas hati.

“Abe, hidup ni kalau tak ada perjuangan, lebih baik mati saja.  Ambo tak mahu macam tu…. “  katanya terhenti.  Dia mengesat peluh yang merenik di muka. Saya membuka beg sandang dan menghulurkan sebotol air mineral yang masih sejuk. Saya kerap berdepan dengan budak mentah seperti ini.

Di bawah pohon rendang itu saya memberi kualiah percuma kepada anak muda bernama Asse Mamat   (mungkin Hassan Mamat) itu.  Ternyata dia antara anak muda yang naif dan mudah ditunggang.  Cakap macam burung kakak tua, ajuk sahaja apa yang didengar. Saya tidak percaya kata-kata itu datang daripada jiwanya. 

Saya katakan kepada Asse Mamat yang sudah kehilangan suara supaya tidak memperemehkan istilah perjuangan dan keadilan. Makna kedua-dua perkataan itu sangat besar.  Cakap sahaja bolehlah, tetapi kena perambat dengan FRU pun sudah kecut perut.

Dia nampak amat lelah dan kecewa.  Barangkali kerana ego, dia tidak menunjukkan reaksi sudah tewas  dengan hujah saya.  Kalau kena lempang dengan FRU mesti meraung. 

Saya pula tidak memerlukan kemenangan. Malah tidak mahu orang mengikut  hujah saya secara melulu. Saya mahu orang berfikir.  Saya tidak memerlukan orang mengikut tanpa berfikir.

Kami bergerak menyusur ke laluan pejalan kaki di tepi Bank Pertanian dan Dayabumi kemudian mengikuti  jambatan  yang melintasi Sungai Kelang ke Central Market.  Petang itu Sungai Kelang mengalir lesu walaupun Kuala Lumpur panas berbahang dengan pekikan reformasi,

Saya mengajak dia ke Restoran Yusoff dalam Central Market.  Itu port saya sejak Central Market dibuka sebagai pusat jualan barangan cenderamata pada 1985. Antara yang ada dalam restoran mamak itu  adalah  Loloq (penulis lirik), T Alias Taib (penyair), Sani Sudin (Kopratasa), Iedet (pelukis potret) dan beberapa lagi.

Dari jauh di pintu belakang menghala  ke Central Square,  A Samad Said bercakap-cakap dengan pelukis poeret tersohor,  Aris Aziz. Ketika itu Central Market menjadi markas golongan seniman bertemu dan berbual. Malah yang sudah menjadi artis juga selalu ada di situ.

“Depa semua tu seniman. Depa pun berjuang juga tapi dengan cara depa. Tak payah nak berpanas buat perhimpunan haram,”  kata saya sambil mencicah roti canai dengan kuah kari dan Asse Mamat dengan berselera makan nasi goreng kampung.  

“Sat lagi kita pi Masjid Negara. Hang tak payah mai la perhimpunan tu, depa yang atas-atas tu duit bertimbun tak habis makan tujuh keturunan. Hang dapat apa?”

“Abe, ambo nak kelik. Nak gi Stesen Bas Putra. Male ni jugok nak kelik Kota Bharu.”  Saya terharu campur gembira. Kemudian berkali-kali Asse Mamat mengeluh seperti menyesal dengan apa yang dilakukan.  Asse Mamat bukan orang pertama yang berpatah balik ke pangkal.  Sudah banyak.  (Wilayahku 1 April 2022)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *