Oleh Ku Seman Ku Hussain
LAGU Dendang Perantau ciptaan P. Ramlee dan lirik oleh S Sudarmaji menyingkap budaya hidup orang Melayu di kepulauan Nusantara iaitu merantau. Ini adalah satu proses kehidupan yang bukan asing lagi dalam kalangan orang Melayu.
Sama ada dalam skala yang kecil atau besar, merantau adalah proses mematangkan diri dengan pengalaman apabila keluar daripada garis lingkungan tanah kelahiran dan didamingi oleh keluarga serta sanak saudara.
Kalau zaman sebelum penjajah memecah perintah kepulauan Melayu menjadi negara-negara yang kecil, merantau selalunya berlaku dengan merentas laut dan pulau dalam gugusan yang sama. Sebab itu Melayu dalam gugusan kepulauan Melayu bukan pendatang seperti yang didakwa pihak tertenu.
Merantau sudah lama menjadi suatu budaya hidup orang Melayu. Merantau bererti keluar meninggalkan kampung halaman dan sanak keluarga ke satu daerah asing untuk mencari pengalaman, mencipta kejayaan selain daripada memahirkan diri berdepan cabaran.
Lagu Dendang Perantau mempunyai pertautan rapat dengan budaya merantau dalam masyarakat Melayu dan tradisi kembali ke kampung halaman apabila menyambut kedatangan hari raya. P Ramlee sendiri merantau dari kampung halaman di Pulau Pinang ke Singapura untuk membina penghidupan baharu sebagai seniman.
Perjalanan hidup P Ramlee menjadi teras pada penciptaan lirik lagu Dendang Perantau. Beliau merantau ke Singapura untuk mengubah hidup dan berjaya menjasi seniman terkenal. Walaupun Singapura sebuah kota penuh gemerlapan tetapi hari raya tetap mengingatkan P Ramlee pada kampungnya yang ditinggalkan.
Ketika lagu Dendang Perantau dicipta, mobiliti sosial dalam kalangan orang kampung ke kota besar tidak pesat seperti sekarang. Walaupun berlaku proses merantau pada dekad-dekad berkenaan malah yang lebih awal, tetapi lebih banyak kepada mereka yang memilih kerjaya dalam ketenteraan.
Keadaan ini berubah apabila Kuala Lumpur misalnya membuka banyak peluang pekerjaan pada tahun 1970-an dan semakin pesat pada tahun 1980-an. Mobiliti sosial berlaku dengan rancaknya di mana anak muda dari kampung mengubah hidup dengan bekerja di Kuala Lumpur.
Ibu kota ini adalah destinasi perantau datang mencari rezeki. Walaupun kehidupan di kota sangat mencabar, kemanusiannya nipis, tetapi di sinilah lubuk rezeki untuk mencari sesuap nasi. Malah di sini jugalah mereka yang licik boleh mencangkul gunung emas yang nilainya boleh mengkayakan anak cucu selama tujuh keturunan.
Walaupun sudah banyak yang sudah ‘berkampung’ di Kuala Lumpur, tetapi teras keluarga dan saudara mara masih di kampung. Lagu Dendang Perantau menjadi semakin besar signifikannya dengan keadaan sosial semasa ketika menjelang hari raya.
Kuala Lumpur digerakkan oleh perantau yang berkelana dari utara, selatan dan timur. Maka tidak hairanlah Dendang Perantau semakin menepati keadaan sosial semasa dalam konteks merantau dan hari raya. Lagu ini menyemarakkan ingatan pada kampung halaman dalam suasana pesta hari raya yang paling besar bagi orang Melayu.
Dendang Perantau melanpaui roman percintaan, malah sebuah hambatan rasa yang membawa semua anak rantau pada alam dan manusia di kampung kelahiran. Lirik yang mudah tetapi membawa maksud yang dalam menjadikan Dendang Perantau sebagai suara syahdu yang menggamit pulang anak-anak kampung di perantauan.
Lukisan alam di kampung halaman yang belum tercemar oleh jentolak modenisasi dalam lagu ini meninggalkan kesan yang sangat nostalgik, tidak kurang ingatan kepada ayah dan bonda kembali ke perlu masa lalu yang indah. Mereka yang pernah merentas kehidupan kampung yang jauh daripada hkruk pikuk kota pasti dapat menyelami pelukisan alam dan suasana lagu Dendang Perantau.
Lagu ini membawa perantau mengenang kembali alam kampung yang tenang dan damai, danau dan tepian mandi menjadi lambang pada nilai asli yang masih tersisa. Selain ayah dan bonda yang menunggu dalam seksa rindu di jendela, alam inilah yang ikut menggamit perantau yang dulunya anak-anak kecil yang berlari di dadanya.
Dendang Perantau telah mengikat kukuh dua tradisi yang ada dalam sanubari orang Melayu – perantau dan hari raya. Kedua-dua ini diangkat dengan penuh perlambangan mengembangkan wacana mobiliti sosial anak kampung ke kota besar.
Tanpa disedari, hari raya pula telah menjadi sebahagian daripada pesta budaya orang Melayu. Mereka akan memastikan akar umbi budaya dan tradisi tidak terabai pada hari raya. Setahun sekali banyak yang kembali menjadi ‘Melayu’ dengan busana dan tradisi kunjung mengunjung yang mengeratkan hubungan keluarga.
Apabila semakin banyak merantau ke kota, wujud pula fenomena balik kampung dalam kalangan perantau di kota. Balik kampung yakni pulang berhari raya bersama keluarga dan sanak saudara menjadi satu budaya baharu. Buktinya saban tahun berlaku kesesakan di pintu keluar dari ibu kota dan sepanjang lebuh rayanya.
Budaya balik kampung berkembang subur dalam kalangan perantau dan generasi yang mempunyai pertalian dengan kampung halaman. Walaupun banyak dalam kalangan perantau sudah ‘berkampung’ berpuluh tahun di Kuala Lumpur, balik kampung tetap berlaku.
Hari raya dan kampung halaman menjadi satu pertautan yang sukar dipisahkan. Malah maksud beraya bagi orang Melayu adalah menyambut acara yang penuh festive sifatnya di kampung bersama-sama sanak saudara. Di Kuala Lumpur hanya ada keluarga, tetapi tidak ada sanak saudara dan akar keturunan.
Walaupun begitu seseengah kampung halaman telah berubah wajah dengan drastik dan sudah tidak ada lagi wajahnya yang dulu. Sekalipun hilang di mata tetapi kenangan itu tersimpan sempurna di dalam jiwa. Suatu hari pada hari raya kita kembali ke pangkal kenangan sambil memaut kukuh sebuah ikatan antara generasi. (Utusan Malaysia 2 Mei 2022)