Salah sebuah klip video hari raya yang mencetuskan rasa kurang senang masyarakat kerana nilai-nilai yang bertentangan dengan Islam dan adat dalam masyarakat. (Gambar Berita Harian)

Oleh Ku Amirul Faiz

PEMBENTUKAN negara bangsa tidak boleh dipisahkan dengan adat, bangsa dan agama yang diamalkan oleh masyarakat setempat. Begitu jugalah dengan bangsa Malaysia.

Lantaran itu menjadi kelaziman bagi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum untuk menerima Ramadan sebagai sebahagian daripada bulan suci umat Islam.

Sejak di awal usia persekolahan, kebanyakan kita diajar kesucian dan kepentingan bulan suci ini kepada orang Islam. Kesannya secara umum, masyarakat tanpa mengira latar belakang maklum bahawa pada bulan ini dianjurkan untuk melakukan perkara-perkara yang murni dan bermoral.

Inilah asas mengapa kebanyakan masyarakat begitu terkesan dengan penyebaran video muzik melibatkan penari-penari lelaki yang berperwatakan lembut dan menari dengan koreografi jelik, baru-baru ini.

Malah penari dalam video tersebut yang berpakaian baju Melayu, bersongkok dengan ada dalam kalangan mereka memakai baju dalam tanpa lengan dilihat menari mengundang rasa kurang senang masyarakat.

Masyarakat secara umum tidak boleh dipersalahkan dengan rasa kurang senang ini kerana video muzik tersebut lari daripada norma dan amalan masyarakat setempat.

Bolehkah mereka berselindung di sebalik nama kesenian? Apa sahaja alasan penerbit dan penari dalam video muzik tersebut sekalipun atas alasan hak asasi perlu dibataskan dan diimbangkan dengan nilai adat masyarakat setempat.

Biarpun yang mencemuh akan digelar kuno, ketinggalan zaman dan berfikiran tertutup tetapi norma masyarakat setempat tidak boleh diketepikan.

Video muzik tersebut akan ditonton dan dikongsi oleh pelayar-pelayar maya yang sudah pasti akan memberikan kesan kepada imej masyarakat negara ini secara amnya.

Adat dan tatasusila bangsa Timur perlu dipertahankan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Hakikatnya, tidak ada mana-mana adat kaum-kaum di Malaysia yang boleh menerima tarian koreografi lelaki dengan mimik muka gedik seperti dipaparkan dalam video tersebut.

Sebenarnya penari atau pelakon dalam video muzik tersebut boleh sahaja menari secara biasa menyerlahkan bakat tarian mereka tanpa perlu membuat mimik muka dan lenggok badan menjelikkan. Penolakan umum terhadap video seperti itu bukanlah disebabkan pemikiran masyarakat terkongkong.

Masyarakat sebaliknya sememangnya berfikiran terbuka. Cuma hasil ‘seni’ oleh mana-mana pihak harus mempertahankan adat ketimuran. Iaitu adat orang Timur yang penuh dengan kesusilaan. Hasil seni yang dihasilkan tidak boleh sama sekali cuba mempromosikan agenda songsang dan seksual yang ditolak secara umum oleh masyarakat.

Hasil seni yang dipertontonkan sebaliknya harus selari dengan adat, agama dan penerimaan setempat.Barangkali mungkin ada yang mempertahankan bahawa video muzik tersebut hanyalah sebagai salah satu ekspresi kesenian semata-mata dan tidak berniat untuk mempromosikan apa-apa agenda songsang dan seksual.

Namun, perkara yang diniatkan tidak sama dengan perbuatan yang dirakamkan. Video muzik ini hanyalah sebahagian daripada berpuluh ribu kandungan multimedia yang jelik dan songsang.

Oleh kerana itu, semua pihak termasuklah pencipta kandungan harus berhati-hati dalam menghasilkan kandungan multimedia untuk tatapan umum.

Pihak yang memuat naik video muzik tersebut boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sekiranya dituduh di mahkamah dan didapati bersalah, mereka akan berhadapan dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi tempoh setahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, pelakon atau penari dalam video yang menimbulkan provokasi kepada orang awam berhadapan dengan risiko untuk disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Di bawah seksyen ini, sesiapa sahaja yang sengaja mengaibkan atau menyebabkan bangkitan marah seseorang atau mengetahui mungkin bangkitan marah akan menyebabkan memecahkan keamanan awam atau melakukan kesalahan lain, sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh sampai dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Undang-undang yang ada bukanlah untuk menafikan kebebasan daripada mengekspresikan diri seseorang tetapi ia adalah untuk melindungi masyarakat.

Apa-apa sahaja kandungan multimedia tidak bermoral, jelik dan lucah yang bercanggah dengan norma masyarakat boleh dihalang dengan tujuan menjaga moraliti awam.

Elemen moral dalam undang-undang juga bukanlah sesuatu yang asing. Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 10(2) memberikan kuasa kepada Parlimen untuk menyekat kebebasan bagi ketenteraman awam atau prinsip moral.

Bagaimanapun, selain pelaksanaan undang-undang sedia ada, kesedaran daripada pencipta kandungan ini perlu ada. Malaysia mempunyai pelbagai artis berbakat.

Hasil seni yang dihasilkan juga mendapat pengiktirafan bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Kandungan multimedia seperti video muzik ini tidak sedikit pun dapat menaikkan dan meningkatkan reputasi seni negara sebaliknya menambah luka dalam masyarakat.

Tuntasnya, apa pun sebab seni dan budaya yang diberikan, ia tidak menjadi justifikasi kandungan video muzik seperti ini dimuat naik dan seterusnya ditayangkan untuk tatapan umum.

Menarilah dengan baik, menyanyilah dengan merdu dan terbitlah apa-apa kandungan muzik yang baik supaya tidak nampak jelik kita di pandangan umum.  (Utusan Malaysia 7 Mei 2022)

  • KU AMIRUL FAIZ adalah pengamal undang-undang yang juga Ketua Penerangan GPMS (Wilayah Persekutuan) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa).
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *